SHAH ALAM – Pakatan Rakyat sentiasa bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri Sarawak sekiranya Ketua Menterinya, Tan Sri Abdul Taib Mahmud membuat keputusan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri dalam masa terdekat ini.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Baru Bian berkata, pihaknya juga telah menyediakan segala kelengkapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan berikutan peratus DUN itu dibubarkan amat tinggi.
“Semalam Taib berkata beliau akan membuat pengumuman mengenai masa depan politiknya esok (hari ini) atau Isnin dan untuk itu kita telah lama bersedia kerana pembubaran DUN Sarawak sudah dijangkakan,” katanya.
Baru berkata demikian ketika dihubungi Tv Selangor bagi mengulas kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud bahawa beliau akan membuat satu pengumuman penting hari ini.
Mengulas persoalan adakah sebarang permasalahan dalam isu pembahagian kerusi, Baru menegaskan tiada sebarang masalah yang dihadapi Pakatan Rakyat berikutan perkara tersebut telah dibincangkan dan ia dibuat secara bersama.
“Pengagihan kerusi dalam Pakatan Rakyat berjalan dengan lancar dan berhubung kenyataan yang dikeluarkan Parti Kebangsaan Sarawak melalui Naib Presidennya, Johnny Wong secara mudah membuat keputusan bertanding di lebih 50 kerusi DUN pada pilihan raya negeri ke-10 akan dibincangkan diperingkat parti,”
Jelas Baru lagi, beliau juga segala masalah dapat diatasi oleh pemimpin Pakatan Rakyat supaya hasrat PR untuk mencabar Barisan Nasional bagi saingan satu lawan satu akan direalisasikan pada pilihanraya negeri ke 10 ini.
Bagaimanapun mengulas tindakan Parti Kebangsaan Sarawak atau SNAP dengan mengingatkan PKR supaya 'mencermin diri' sebelum bertanding Baru berkata parti akan membuat satu keputusan untuk menyelesaikan perkara tersebut.
Baru berkata, PR juga akan mengadakan pertemuan dengan SNAP dalam masa terdekat ini dan yakin mampu mencapai satu keputusan yang akan memberi kepuasan kepada semua pihak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan