Selasa, 22 Mac 2011

Polis siasat kes video seks ikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkenaan klip video aksi seks mengikut Seksyen 292 Akta Kanun Keseksaan kerana kesalahan mengedar bahan lucah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, laporan polis diterima di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pagi tadi.

"...apa yang saya boleh katakan polis akan menyiasat kes ini," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini hari ini.

Mengikut peruntukan Seksyen 292 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan berkaitan tindakan itu, mereka yang didapati bersalah boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Anwar membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini pagi ini berhubung video yang dipertontonkan kepada beberapa wakil media di Carcosa Seri Negara semalam.

Dalam laporan itu, di mana salinan diedarkan kepada media, Anwar menafikan pembabitannya dalam video lucah itu.

Satu kumpulan yang enggan dikenali mendakwa mereka memiliki klip video hitam putih yang memaparkan aksi seks seorang pemimpin pembangkang dengan seorang pelacur wanita di sebuah hotel di sini yang menawarkan perkhidmatan seks.

Kumpulan itu yang diketuai seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya hanya sebagai Datuk T, berkata mereka akan menyerahkan pita video itu kepada pemimpin pembangkang berkenaan dan isterinya dalam masa seminggu ini.

Sementara itu, Ismail memberi amaran kepada pihak yang terbabit dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang akan datang, agar tidak melanggar peraturan sehingga boleh mencetuskan insiden yang tidak diingini.

Katanya pada masa yang sama, penyokong parti-parti politik yang terbabit dalam pilihan raya itu nanti, perlu bersikap matang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan.

Beliau berkata, polis bersiap sedia untuk berkhidmat sepanjang pilihan raya itu dan tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap pihak yang melanggar peraturan.

"Semua pihak termasuk penyokong parti politik diingatkan untuk mematuhi undang-undang serta prosedur yang ditetapkan dan tunjukkan moral yang tinggi," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian untuk pilihan raya negeri Sarawak yang ke-10, esok.

Tiada ulasan: