SINAR HARIAN ONLINE
SEKINCHAN – Sesi temu bual bersama calon ketua blok yang bakal dilantik memberi nilai tambah untuk mengelakkan berlaku pertikaian dalam kalangan petani di masa depan.
:Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim, berkata, sesi temu bual itu adalah untuk mengenal pasti calon ketua blok adalah petani yang mengusahakan sawah padi di kawasan diwakili mereka.
“Temu bual ini penting supaya tidak timbul pertikaian petani lain tentang kelayakan ketua blok yang dilantik pada masa depan.
“Kita hendak tahu peranan dan keberkesanan amanah yang diberikan terhadap sawah yang dikawal selia serta masalah berbangkit,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi temu bual bersama 67 calon ketua blok melibatkan 32 blok, dekat sini.
Difahamkan, sesi temu bual itu juga adalah medium untuk membuat pengesahan penerimaan calon ketua blok selepas dicadangkan ketua kampung masing-masing dan dipanjangkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran.
Menurut Suee Lim, pemerintahan sebelum ini melakukan proses lantikan ketua blok tanpa ada sesi temu bual dan tidak terbuka seperti mana yang dilakukan pada masa ini.
“Sebelum ini, pelantikan ketua blok adalah mereka yang condong menyokong parti politik tertentu dan mereka yang dilantik juga tidak sesuai dan kurang memainkan peranan serta amanah yang diberikan dalam menjaga kawasan diwakili.
“Menyedari situasi itu, kita memilih kaedah temu bual dengan matlamat calon ketua blok yang dilantik dapat memberikan khidmat yang terbaik kepada petani,” katanya.
Menurutnya, menjadi tugas utama ketua blok memantau selia sistem pengairan dan saliran sawah padi serta pengagihan baja kepada petani dalam kawasan.
“Keluhan petani tentang saliran rosak, air tidak sampai ke dalam kawasan sawah antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian dalam menangani masalah petani.
“Apa yang kita harapkan, tugas dan amanah yang diberikan kepada ketua blok digalas dengan penuh dedikasi dalam memastikan matlamat perwujudan ketua blok itu berkesan sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan permasalahan yang wujud,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan