Sabtu, 12 Mac 2011

Pegawai Mara dihantar ke Jepun pantau keadaan pelajar

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Para pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) sudah dihantar ke Jepun untuk memantau keadaan 207 pelajar tajaannya yang kebanyakannya mengikuti kursus kejuruteraan dan elektrikal.

“Kita maklumkan kepada Wisma Putra dan kedutaan (Malaysia) di Jepun tentang pelajar kita. Saya difahamkan mereka dalam keadaan selamat dan ibu bapa jangan bimbang.

“Saya yakin Jepun cukup bersedia untuk berhadapan dengan mala petaka seumpama ini,” kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara peringkat kebangsaan ke-12 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari.

Beliau berkata daripada 207 pelajar berkenaan, sejumlah 131 orang belajar di Tokyo dalam kursus kejuruteraan dan eletrikal.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk memanggil pulang pelajar sekiranya keadaan gempa bumi yang melanda Jepun bertambah buruk.

Mengenai penghantaran pelajar seterusnya ke Jepun, Shafie berkata Mara akan tetap menghantar 84 pelajar termasuk 50 orang yang mengikuti pengajian di universiti di sekitar Tokyo pada 19 dan 20 Mac ini.

Gempa bumi kuat bermagnitud 8.9 pada skala Richter melanda Pantai Honshu, Jepun pada 1.46 petang semalam menyebabkan lebih 1,000 orang terkorban.

Tiada ulasan: