Rabu, 9 Mac 2011

Nazri: Unit Wanita Pertama tidak wujud di JPM

BERNAMA

Rosmah
KUALA LUMPUR — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz hari ini menafikan kewujudan unit Wanita Pertama Malaysia (FLOM) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Justeru katanya, persoalan mengenai kewujudan pegawai-pegawai khas kepada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sewajarnya tidak timbul.

“Telah dinyatakan sebelum ini bahawa tidak ada kakitangan tetap dan kontrak yang diperuntukkan khusus untuk isteri Perdana Menteri.

“Oleh yang demikian tidak timbul elemen-elemen kos tambahan dan kakitangan yang menguruskan isteri Perdana Menteri kerana mereka adalah kakitangan kepada Perdana Menteri,” katanya ketika menjawab pertanyaan Loke Siew Fook (DAP-Rasah) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Loke ingin tahu fungsi unit FLOM, jumlah kakitangan dan peruntukan kos operasi unit itu bagi tahun 2011.

Menjawab soalan Loke yang ingin tahu bahawa sebelum ini tertera nama serta jawatan pegawai-pegawai yang ditugaskan membantu Rosmah dalam laman web JPM, Mohamed Nazri berkata pegawai itu merupakan kakitangan JPM yang ditugaskan membantu Rosmah dalam menjalankan tugas-tugas beliau selaku isteri Perdana Menteri.

Ini termasuk memudahkan kerja-kerja pentadbiran dan surat menyurat bagi mengelolakan jemputan rasmi yang diterima dari luar dan dalam negara, katanya.

Tiada ulasan: