SHAH ALAM : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri akan memberi penjelasan kepada orang ramai mengenai laporan audit Yayasan Selangor sebelum memutuskan status Pengurus Besar yayasan itu, Ilham Marzuki.
Ujarnya penjelasan mengenai akaun Yayasan Selangor yang mencatatkan defisit RM7.41 juta penting supaya tidak dimanipulasi oleh mana-mana pihak.
" Kita mesti menilai tugas dan tanggungjawab tersebut, esok mesyuarat pengarah Yayasan Selangor, perkara pertama ialah untuk memberi tahu media dan orang ramai mengenai status akaun Yayasan Selangor, bila ia diaudit dan apa harta yang ada pada Yayasan Selangor itu paling penting untuk kita dan selepas itu kita lihat bagaimana perbelanjaan dibandingkan dengan harta yang dimiliki oleh Yayasan Selangor, selepas itu baru kita menilai bagaimana bentuk pengurusan yang kita perlu,"ujar Khalid.
Kerajaan Selangor sebelum ini memecat Timbalan Pengurus Besar Yayasan Selangor Mohd Saifulruddin Sulaiman setelah badan itu mengalami kerugian RM7.41 juta
sehingga November lalu akibat perbelanjaan yang tidak telus dan tidak munasabah.
Pengurusan tidak berhemah, antara lain, menyebabkan kos sambutan Ulang Tahun ke 40 yayasan itu mencecah hampir RM1 juta, dengan syarikat pengurus sambutan itu dibayar upahnya walaupun aktiviti belum dilaksanakan.
Walau bagaimanapun, status Ilham Marzuki yang turut menggunakan kenderaan serta wang milik yayasan berkenaan untuk kegunaan peribadi di samping menikmati elaun lumayan yang tidak diluluskan, belum diputuskan.
Laporan audit menyarankan kontrak kedua-dua pegawai tertinggi yayasan itu ditamatkan. Saifulruddin dipecat dalam tempoh 24 jam pada Febuari lalu selepas beliau didapati hadir pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ilham, walaupun diarah bercuti sementara menunggu hasil siasatan.
"Kita akan bincang dahulu perkara ini dan tentukan sama ada pengurus besar ini sesuai untuk tugas-tugas tersebut," jelasnya.
Satu sidang media khas mengenainya akan diadakan pada Rabu ini selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri selangor.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan