Selasa, 15 Mac 2011

Nasib Penduduk Kg Baru Terus Dibela PR

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat akan terus komited mempertahankan hak penduduk Kampung Baru walau dengan apa cara sekalipun.

Wakilnya, Salahuddin Ayub yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, semangat perjuangan dan peruntukan undang-undang sedia ada akan digunakan sepenuhnya supaya tanah Kampung Baru kekal menjadi milik mereka yang hak ke atasnya.

" Saya mewakili ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat, kami berjanji atas nama Allah SWT, atas nama kemanusiaan, kita bersama dengan penduduk Kampung Baru
memperjuangkan tanah warisan ini dengan apa jua cara sekalipun,"kata Salahuddin.

Beliau berkata demikian pada majlis Deklarasi Pemilik dan Pewaris Tanah Kampung Baru di Dewan Kelab Sultan Sulaiman malam tadi.

Program anjuran Sekretariat pembangunan Kampung Baru (SPKB) malam tadi sepatutnya dihadiri oleh semua ahli parlimen Malaysia, BN dan Pakatan Rakyat, namun
malangnya ia hanya berjaya mengumpulkan ahli parlimen pembangkang sahaja.

Bercakap tentang hal itu, Salahuddin berkata, ia sememangnya satu petunjuk jelas tentang sikap ahli parlimen BN dalam membela nasib rakyat.

"Mengapa mereka tidak datang, mengapa mereka tidak berani berdepan dengan rakyat dan mempertahankan tanah Kampung Baru ini? Saya cuma mahu katakan satu sahaja, hari ini kita dapat menilai berapa bernilainya satu kerusi dalam parlimen,"katanya lagi.

Majoriti pemilik dan pewaris Kampung Baru menolak Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan mahukan rang undang-undang itu ditarik balik.

Walau bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin sebelum ini mendakwa 90 peratus penduduk Kampung Baru bersetuju dengan rang undang-undang berkenaan.

Namun beliau kemudiannya menyatakan hasrat kerajaan untuk menangguhkan perbahasan (RUU PPKB 2010) dalam sesi Parlimen bermula 7 Mac hingga 7 April ini.

Bacaan kali pertama RUU itu sebelum ini dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat, Disember tahun lalu.

Hakikatnya, keputusan kerajaan itu tidak memenuhi aspirasi penduduk Kampung Baru yang mahukan rang undang-undang tersebut dibatalkan.

Oleh yang demikian ujar Salahuddin, tiba masanya untuk rakyat Kampung Baru bangkit dan tidak diperkotak-katikkan oleh mereka yang mempunyai kuasa dan
kedudukan.

Nasihatnya, di samping ahli-ahli parlimen Pakatan Rakyat bekerja keras untuk membantu penduduk Kampung Baru di parlimen, penduduk juga harus menguatkan
dokongan kepada usaha gagasan itu.

" Selagi ada inci tanah dalam negara kita ini, selagi ada ruang undang-undang dan inci tanah yang menjadi hak kita, selagi ia termaktub dalam perlembagaan,kita gunakan untuk perjuangkan hak tuan-tuan," luah Salahuddin lagi.

Meskipun katanya, tentangan hebat akan diterima gagasan itu dalam parlimen Malaysia kerana jumlah undi BN yang lebih tinggi untuk meluluskan rang undang-undang, perjuangan tidak akan berahir semudah itu katanya.

" Itu tidak mengapa (BN menang undi dalam parlimen), kita masih ada Allah SWT, kita masih ada perjuangan. Kita ada anak muda pada hari ini untuk kita jatuhkan mereka secara demokratik, kita gunakan jari-jemari kita untuk jatuhkan mereka pada pilihanraya akan datang," katanya.

Tiada ulasan: