Sabtu, 12 Mac 2011

MP PKR Subang dilarang masuk Sarawak



KUALA LUMPUR — Pemimpin PKR R. Sivarasa dihalang daripada memasuki Sarawak hari ini, didakwa atas arahan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Bekas naib presiden PKR itu ditahan di lapangan terbang Kuching kira-kira 10.10 pagi ini oleh pegawai-pegawai imigresen.

Ini kali kedua Sivarasa dilarang memasuki Sarawak.

Beliau juga dilarang pada 2009 dan dihantar balik ke Kuala Lumpur.

Dalam mesej menerusi akaun Twitter tadi, Sivarasa berkata beliau berada di Kuching untuk menghadiri konvensyen PKR negeri yang merupakan aktiviti politik yang sah.

Ahli Parlimen Subang itu menaiki pesawat bersama Exco Kerajaan Negeri Selangor Dr Xavier Jayakumar, isterinya Sheila dan seorang kakitangan bernama Razak.

Kesemua mereka dibenarkan masuk kecuali beliau.

Dalam mesej susulan, Sivarasa berkata, “pegawai imigresen En Mehuen mengesahkan saya dilarang memasuki Sarawak atas arahan Ketua Menteri. Saya akan dihantar balik ke Kuala Lumpur menerusi penerbangan seterusnya.”

Beliau diberikan notis rasmi berhubung keputusan melarangnya memasuki Kuching dan diiringi anggota keselamatan ke Kuala Lumpur.

Sivarasa juga berkata tiada sebab diberikan berhubung keputusan melarangnya memasuki Sarawak kecuali mengatakan ia arahan pejabat Ketua Menteri.

Tiada ulasan: