Jumaat, 4 Mac 2011

Merlimau: BN makin selesa, PAS belum putus asa

TERKINI


KUALA LUMPUR — Dengan tempoh berkempen akan berakhir tengah malam esok, masih belum nampak tanda-tanda yang PAS mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau daripada penguasaan Barisan Nasional (BN).

Sebaliknya, BN lebih banyak menguasai “gelanggang pertarungan” dengan menawarkan pelbagai janji, projek selain menyelesaikan masalah infrastruktur di Merlimau.

Walaupun Merlimau, sebuah pekan kecil yang terletak dalam daerah Jasin namun kelihatan pembangunan pesat telah berlaku sejak 10 tahun lalu ketika Datuk Seri Mohd Ali Rustam mula menerajui Melaka.

Meskipun BN tidak mempunyai peti deposit namun dengan sokongan orang Melayu yang kuat sudah cukup untuk menjamin kemenangan calonnya di kubu kuat tradisi mereka.

Walaupun tidak semaju Bandaraya Melaka, namun sebagai sebuah pekan kecil yang mempunyai kemudahan pendidikan, infrastruktur dan kemudahan beriadah ia sudah cukup untuk memenuhi keperluan penduduk.

Faktor kepada kemenangan BN selama ini adalah undi orang Melayu. Tanpa orang Melayu, Merlimau sudah pasti dirampas PAS. Walaupun undi Cina agak besar tetapi ia bukan penentu kepada kemenangan kedua-dua parti yang bertanding.

Justeru, BN sejak hari penamaan calon telah mula menggerakkan gerak kerja untuk menemui pengundi terutamanya pengundi Melayu. Malah BN juga menggunakan pelbagai jentera kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah penduduk termasuk memperbaiki kemudahan infrastruktur terutamanya menurap kembali jalan raya yang mana kalau dilihat banyak kawasan di Merlimau mempunyai jalan raya yang baru diturap.

Melihat kepada keadaan ini, apa peluang PAS untuk menang? Adakah PAS boleh bersaing dengan BN? Atau kemungkinan majoriti kemenangan BN akan bertambah?

Jika benar, maka betullah kata-kata Mohd Ali sebelum ini yang mengingatkan PAS agar tidak bermimpi untuk merampas kerusi DUN Merlimau.

Menyedari kesukaran itu, PAS tidak mudah melatah, sebaliknya tetap berkeyakinan pengundi Merlimau akan melakukan perubahan dengan memilih parti Islam itu.

PAS juga dilihat tidak memberi tumpuan pada ceramah-ceramah, sebaliknya menukar strategi kempen dengan lebih memfokus kepada pengundi.

“Ya, sebab itu ceramah dikecilkan dan kita memberikan fokus kepada pengundi dengan berkempen rumah ke rumah dan ke tempat tumpuan penduduk.

“Strategi ini lebih tepat dari program ceramah yang kita buat, yang mana maklumat itu tak sampai kepada golongan sasaran.

“Tapi melalui pendekatan yang kita gunakan sekarang, kita akan terus mendapat respons daripada pengundi,” kata Timbalan Pesuruhjaya I PAS Melaka Adly Zahari.

Jelas beliau, ceramah merupakan salah satu kempen PAS yang boleh membantu menyampaikan maklumat kepada pengundi.

“Saya tak kata ceramah itu gagal... ia adalah salah satu strategi kita, ceramah adalah satu hala, ada beri kesan tapi kita nak tingkatkan lagi keberkesanannya sebab itu kita gunakan pendekatan lain.

“Kita tahu kalau buat ceramah ada pengundi yang datang tapi tak ramai, malah kita juga tak dapat nak kenal pasti mereka jika hendak dibanding dengan jumpa terus pengundi. Ini yang kita lakukan sekarang di sini,” katanya.

Justeru, persoalannya mampukah PAS memberi keyakinan kepada penduduk untuk membuat perubahan atau pengundi akan terus kekal memilih BN yang boleh disifatkan sebagai “penyelamat”.

Pilihan raya kecil DUN Merlimau menyaksikan pertarungan satu lawan satu antara calon BN Roslan Ahmad dan Yuhaizat Abdullah dari PAS.

Walaupun bertanding sebagai calon “underdog”, calon PAS Yuhaizat yakin pengundi Merlimau akan membuat perubahan Ahad ini.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka ini berkata, beliau dengan kerjasama jentera pilihan raya PAS-Pakatan Rakyat akan berusaha untuk menemui kesemua pengundi di DUN Merlimau.

Jelas Yuhaizat, beliau menerima respons yang baik di kalangan pengundi walaupun Merlimau merupakan kubu kuat BN.

“Saya sudah menemui hampir 70 peratus pengundi di Merlimau dan mereka memberikan sokongan yang baik terhadap saya, saya harap sokongan ini akan terus meningkat.

“Saya juga bukan hanya menemui pengundi tetapi juga peniaga-peniaga di Merlimau yang juga merupakan penduduk di sini,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata walaupun majoriti besar pengundi di Merlimau adalah penyokong setia BN namun ia bukan menghalang menyampaikan maklumat kepada mereka.

“Mereka ini juga merupakan penyokong terbesar dalam masyarakat untuk mendapatkan maklumat setempat.

“Justeru, sebagai menyatakan rasa penghargaan terhadap mereka, saya dalam merancakkan lagi kemeriahan dalam pilihan raya kecil,” katanya.

Jelas Yuhaizat, selain pengundi Melayu PAS juga memberikan tumpuan terhadap pengundi atas pagar.

Beliau turut menafikan PAS memberi lebih tumpuan kepada kawasan peti undi Ayer Merbau dan Kampung Chin Chin.

“Jentera pilihan raya PAS menumpukan semua tempat di Merlimau, bukan sahaja di Merbau dan Chin Chin, mungkin ada pihak yang melihat kawasan itu diberikan tumpuan kerana kebetulan saya berasal dari Chin Chin,” katanya.

Di tengah perkembangan ini, Mohd Ali menafikan dakwaan PAS kononnya BN mengamalkan budaya “politik samseng” dalam kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.

Tegas Ketua Menteri Melaka itu, BN tidak mengamalkan budaya tersebut, sebaliknya menuduh PAS sengaja membuat cerita untuk mendapatkan publisiti.

“Memang dinafikan, saya fikir PAS yang buat sendiri, itu taktik lama yang orang dah faham.

“Tak ada nampak pun samseng di sini kalau ada samseng PAS saya tak tahulah, setakat ini saya memang tak nampak (samseng), saya nampak semua aman... saya menang tak nampak samseng,” kata Mohd Ali kepada pemberita selepas hadir dalam satu program anjuran NGO 1Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Merlimau di sini malam tadi.

Mohd Ali yang juga Pengarah Pilihan Raya BN Merlimau menegaskan kempen parti tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti samseng seperti mana yang didakwa PAS.

Sebaliknya beliau menyindir parti Islam itu dengan berkata kemungkinan besar ahli PAS sendiri yang melakukan provokasi tersebut.

“Saya fikir mungkin orang PAS pancitkan tayar sendiri, lepas itu kata BN yang pancitkan.

“Ini PAS bukan boleh percaya, saya percaya dia pancitkan kereta dia lepas itu kata orang pancitkan.

“BN kita kempen bersih tapi apa yang dia kata (tuduh) kita jawablah,” tegas beliau.

PAS sebelum ini meminta agar BN menghentikan segala usaha untuk mencipta provokasi termasuk perbuatan khianat yang dilakukan.

Sebelum ini sebuah pentas berdekatan bilik gerakan DAP yang dibina untuk satu program telah dibakar dan berlaku insiden di mana cermin kereta seorang penduduk pula dipecahkan apabila diletakkan di hadapan bilik gerakan DAP di Merlimau.

Selain itu, pagi semalam PAS pula mengesan kain rentang yang tertulis “Undi PAS Masuk Syurga” dan “PAS Melaka Fahaman Pluralisme Agama Datuk Seri Anwar Ibrahim” yang didakwa dilakukan BN.

Hari ini dan esok merupakan detik cukup penting untuk meraih sokongan menentukan kemenangan pilihan raya kecil ke-15 ini. Sama ada BN akan meneruskan siri kemenangan pilihan raya sejak awal 2010 ataupun PAS akan membawa kemenangan moral menjelang pilihan raya umum ke-13.

Tiada ulasan: