Isnin, 14 Mac 2011

MCA Cadang Syarikat Insurans Salur Subsidi Bersilang

BERNAMA

KUALA LUMPUR: MCA menentang langkah untuk menaikkan premium insurans motor 'third party', sebaliknya menggesa syarikat insurans kenderaan melaksanakan subsidi bersilang bagi mengimbangi premium berkenaan.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, pihaknya menyedari bahawa syarikat insurans menanggung kerugian akibat tuntutan insurans 'third party' tetapi keuntungan besar yang diraih dari insurans komprehensif boleh membantu memberi subsidi bersilang kepada insurans 'third party'.

"Pada 2008, kutipan bagi premium insurans 'third party' ialah RM581 juta sementara tuntutan ialah RM1.553 bilion dan syarikat insurans mengalami kerugian kira-kira RM971 juta.

"Tetapi jika anda lihat pada premium insurans komprehensif bagi 2008, kutipan ialah RM24.253 bilion sementara tuntutan ialah RM2.594 bilion, bererti mereka meraih untung sekitar RM21.658 bilion.

"Jadi dengan keuntungan ini syarikat insurans mampu menyalur subsidi bersilang untuk premium insurans 'third party'. Yang demikian kenaikan insurans 'third party' adalah tidak wajar," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di sini pada Ahad.

Mengenai isu lain, Chua menggesa Kementerian Dalam Negeri membenarkan kemasukan Injil berbahasa Melayu, yang kini ditahan di Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuching.

Beliau berkata kerajaan mesti menjamin hak setiap individu terhadap kebebasan beragama, dan amalan kepercayaan individu dihormati.

Tiada ulasan: