Ahad, 13 Mac 2011

Maya Karin: Dakwa saya cinta Effendi Norwawi gosip mengarut

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Aktres Maya Karin Roelcke sekali lagi menafikan dia menjalin hubungan dengan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Effendi Norwawi, 62.

Dalam laporan semalam dia juga menafikan menjalin hubungan dengan seorang bekas menteri Kabinet pusat. Kata Maya Karin, bagi dirinya gosip tersebut adalah sesuatu tidak berasas dan langsung tidak masuk akal kerana dalam zaman serba moden ini, sesiapa sahaja boleh menyampaikan apa jua berita tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Malah kata Maya Karin (gambar), pepatah lama “kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang” pada hari ini dilihat tidak begitu relevan apabila ada pihak cuba mengaitkannya dengan cerita yang tiada asas kukuh dan bukti sahih.

“Saya menganggap gosip yang mengaitkan saya dengan beliau merupakan sesuatu yang bodoh dan seratus peratus mengarut. Semua itu tidak benar sama sekali,” kata Maya Karin dipetik Mingguan Malaysia hari ini.

“Sekarang ini sesiapa sahaja dapat mencetuskan cerita palsu sedangkan mungkin ketika itu mereka tersalah pandang atau barangkali ia pelanduk dua serupa.

“Tanpa menunggu lama, mereka terus menyebarkan cerita itu dan dari kecil ia dengan pantas menjadi besar,” kata pelakon dan pengacara popular ini.

“Bagi saya sudah tiba masanya untuk menghentikan adat menyebarkan gosip busuk seperti ini kerana mereka yang menyebarkan fitnah seperti ini dengan senangnya membuat orang yang tidak bersalah menderita,” kata Maya Karin.

Sebelum ini, nama Maya Karin dikaitkan dengan beberapa artis lelaki iaitu pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa, Yusry Abdul Halim dan pelakon kacak, Remy Ishak selepas bercerai dengan Steven David Shorthose pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Maya Karin juga menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan Yusry dan Remy sambil menyifatkan mereka hanyalah teman seperjuangan dalam industri seni.

Tambah Maya Karin, dia memang berkawan baik dengan salah seorang anak Effendi iaitu Elyna dan mereka juga sudah bertemu dua hari lalu untuk membincangkan soal tersebut yang pada hemat mereka merupakan satu lawak jenaka.

Namun begitu, pelakon yang akan muncul dengan filem terbarunya, Cun, tidak lama lagi itu tidak menafikan mengenali Effendi dan pernah bertemu di tiga majlis berbeza dan turut dihadiri isteri Effendi, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Pada masa yang sama juga, aktres berstatus janda itu melahirkan rasa bimbang jika hubungan baiknya dengan Tiara akan terjejas gara-gara cerita palsu itu.

“Saya percaya Tiara seorang yang berfikiran positif dan yakin segala apa yang tersebar itu adalah sesuatu yang tidak boleh dipercayai serta rekaan semata-mata.

“Begitu juga dengan saya, kerana apa yang penting buat saya sekarang ini adalah untuk terus menumpukan perhatian pada karier dan kehidupan saya. Saya mahu berfikir secara positif dan gosip yang tidak berfaedah ini langsung tidak memberikan apa-apa impak buat diri saya,” ujarnya.

Laporan Harian Metro semalam juga memetik Maya Karin menafikan gosip mendakwa dia pernah beberapa kali keluar bersama seorang bekas menteri Kabinet di khalayak umum seperti hangat diperkatakan sekarang ini.

Malah dia menegaskan ia tidak mungkin berlaku bagi menghormati rakannya.

“Saya bersahabat baik dengan anak dan keluarga kepada bekas menteri itu, malah ketika Krismas akhir tahun lalu kami menghabiskan cuti bersama.

“Malah, saya dan anak bekas menteri berkenaan pernah merancang pergi bercuti bersama. Namun, kerana masing-masing sibuk ia tidak dapat dilakukan dalam waktu terdekat,” katanya.

Maya Karin dan suaminya Muhammad Ali Abdullah secara rasminya bercerai dengan talak satu pertengahan Julai lalu. Mereka berkahwin pada 14 Ogos 2008 di Villa Corte de Lago, Itali.

Tiada ulasan: