Selasa, 8 Mac 2011

Mahkamah: Sampel DNA diambil secara tidak sah, ditolak sebagai bukti

TERKINI

KUALA LUMPUR — Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah memutuskan sampel DNA telah diambil secara tidak sah dari lokap Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ditahan satu malam pada Julai 2008, dan ia akan dikeluarkan daripada senarai bahan bukti kes liwat Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

Ini bermakna tuala “Good Morning”, berus gigi dan botol air mineral serta sampel-sampel DNA yang diperoleh daripada ketiga-tiga barang itu tidak boleh digunakan sebagai bukti terhadap Anwar.

“Saya memutuskan dalam kes ini, sampel-sampel DNA daripada tiga barang ini — tuala Good Morning, botol air dan berus gigi diambil menggunakan cara tidak sah daripada tertuduh . . . dan, dikeluarkan daripada sebahagian daripada bahan bukti,” kata beliau hari ini.

Beliau membuat keputusan itu di akhir perbicaraan dalam perbicaraan sama ada sampel DNA yang diambil daripada ketiga-tiga barang itu boleh diperoleh sebagai bukti.

Anwar, 63, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Keputusan itu juga bermaknsa keterangan yang diberikan ahli kimia Nor Aidora Saedon, yang mengambil sampel daripada barangan tersebut tidak akan diterima sebagai keterangan.

Begitu juga dengan keterangan ketua makmal forensik Polis Diraja Malaysia di Cheras, Supt Hamidon Adnan, yang telah mengambil tiga barang itu dari sel di ibu pejabat polis kontinjen Kuala Lumpur.

Hakim Mohd Zabidin Diah telah membenarkan permohonan pihak pembelaan bagi diadakan perbicaraan dalam perbicaraan atas alasan penahanan Anwar tidak mengikut undang-undang dan tiga barang itu diperoleh secara tidak sah.

Pihak pembelaan memanggil Anwar dan dua peguam belanya iaitu S.N. Nair, yang ada bersamanya semasa beliau ditahan oleh polis semasa dalam perjalanan ke rumahnya di Segambut dan R. Sivarasa, yang ada bersamanya di IPK, sebagai saksi manakala hanya Supt Ahmad Taufik Abdullah, pegawai polis yang menahan Anwar memberikan keterangan bagi pihak pendakwa.

Karpal Singh, pada awal prosiding hari ini, mempertahankan hujahannya bahawa polis memperoleh barangan itu “ secara tidak sah dan tidak adil” selepas Anwar enggan memberikan profil DNA beliau.

Beliau berkata mahkamah sepatutnya mencontohi kes undang-undang di Malaysia dan bukannya Amerika atau British atau negara asing lain dalam membuat keputusan sama ada untuk membenarkan barangan itu diterima sebagai barang bukti.

Peguam Cara Negara 11 Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden semalam telah menjadikan kes undang-undang di Amerika, British, Jamaica dan Afrika sebagai contoh semasa berhujah bahawa keterangan yang relevan patut diterima walaupun ia mungkin diperoleh secara tidak sah.

Selepas menyampaikan keputusannya itu, Hakim Mohd Zabidin meminta pihak pendakwa meneruskan perbicaraan.

Mohamed Yusof, bagaimanapun berkata pihak pendakwa tidak bersedia untuk meneruskannya kerana saksi-saksi tidak diminta hadir pada prosiding hari ini.

Katanya pihak pendakwa akan memanggil tiga saksi termasuk pegawai penyiasat DSP Jude Balicious Pereira.

Oleh itu hakim menangguhkan perbicaraan ke esok.

Tiada ulasan: