Rabu, 23 Mac 2011

Laporan Kewangan Yayasan Selangor Hanya Lengkap Dan Sistematik Selepas 2008

TVS NEWS


SHAH ALAM : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, laporan kewangan Yayasan Selangor hanya lebih bersistematik selepas Pakatan Rakyat mengambil-alih Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2008.

Menurut Tan Sri Khalid, ia berikutan anak syarikat milik penuh Kerajaan Selangor ini tidak pernah mengeluarkan sebarang laporan kewangan yang disahkan sejak 2004 dan hanya dibuat setelah kakitangan Yayasan Selangor itu diarahkan untuk menyediakan laporan kewangan bermula dari tahun-tahun sebelumnya yang tidak pernah dilaporkan.

Khalid berkata, hasilnya, laporan kewangan Yayasan Selangor 2005 sehingga 2009 berjaya diperolehi pada 2010.

“Contohnya untuk tahun 2005, ia hanya disahkan pada 10 Mei 2010, walaupun ditandatangani oleh Lembaga Pengarah Yayasan pada Nov 2007. Laporan ini tidak dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) kerana terdapat akaun-akuan yang tidak boleh diselaras," katanya.

Khalid berkata demikian pada sidang media khas bagi menerangkan kedudukan akaun dan kewangan Yayasan Selangor di Shah Alam, hari ini.

Jelas Khalid, selepas menerima dan meneliti penyata kewangan bagi tahun 2005 hingga 2009, Kerajaan Selangor akan membuat analisa menyeluruh serta perbandingan untuk setiap tahun.

Manakala penyata kewangan bagi tahun 2010, ia hanya akan siap pada November ini.

Menurut Khalid, pada 2005, Yayasan Selangor mencatatkan perbelanjaan defisit sebanyak RM10 juta dan 2007 defisit sebanyak RM8.1 juta.

Bagaimanapun pada 2007 Yayasan Selangor mencatatkan lebihan pendapatan sebanyak RM40.13 juta dan 2008 sebanyak RM128 juta, malah pada 2009 juga ia turut mencatatkan lebihan sebanyak RM25.7 juta.

Sementara pada 2010, Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM3.9 juta.

“Ini menunjukkan defisit dan lebihan pendapatan (surplus) bukan perkara aneh dalam kewangan yayasan. Walaupun mengalami defisit yang banyak pada 2005 dan 2006, Yayasan Selangor masih boleh bertahan dan membuat keuntungan besar pada tahun-tahun berikutnya,".

“Mereka yang mendakwa defisit tahun lepas akan menyebabkan Yayasan Selangor akan bankrupt sebenarnya tidak mendapat gambaran sepenuhnya. Kita tidak boleh membuat kesimpilan dengan hanya membaca akaun untuk satu tahun,” kata Menteri Besar.

Mengulas dakwaan Yayasan Selangor telah mengeluarkan penyata akaun sebelum 2008, Khalid berkata ia jelas menunjukkan bahawa mereka tidak tahu proses dan peraturan mengeluarkan penyata kewangan bagi sebuah organisasi.

“Setiap penyata kewangan bagi mendapat kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) tetapi Yayasan Selangor tidak pernah mengadakan AGM,” katanya.

Katanya, pendapatan dari sewa bangunan dan tanah meningkat sekali ganda bermula 2008 selepas Yayasan Selangor menyemak semula kadar sewa mengikut harga pasaran.

Katanya, analisa terhadap laporan kewangan Yayasan Selangor menunjukkan sumber pendapatan utama ialah hasil projek usaha sama dengan syarikat swasta.

“Kejayaan Yayasan Selangor ialah bagaimana menggunakan aset dengan baik. Sebelum 2008, projek usaha sama tidak memberi pulangan setimpal yang sepatutnya diperoleh Yayasan Selangor,” katanya.

Beliau memberi contoh, projek usaha sama pembangunan di Lot 2450 Mukim Damansara yang dijangka menjana keuntungan RM852.50 juta dan Yayasan Selangor dijanjikan pulangan RM250 juta.

Bagaimanapun, projek seluas 31.8 ekar itu hanya memberikan pendapatan sebanyak RM53.85 juta kepada yayasan.

“Kita telah hentikan projek usaha sama untuk pastikan pada masa depan mana-mana projek usaha sama memberi keuntungan setimpal kepada yayasan.

“Banyak projek usaha sama sedang melalui proses mahkamah kerana pulangan yang diperoleh tidak setimpal dengan yang dijanjikan,” kata Menteri Besar.

Sehubungan itu, Khalid berkata, Yayasan Selangor telah melantik akauntan bebas, Tetuan Ahmad & Goh untuk meneliti semua penyata kewangan badan itu serta menyediakan laporan audit pada April depan untuk diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan Yayasan Selangor yang dijangka akan diadakan Mei ini, sebelum dihantar kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Menurut Khalid lagi, laporan audit yang disediakan Bahagian Audit Dalaman Kerajaan Negeri sebelum ini tidak mengambil kira laporan kewangan tersebut kerana ia hanya terrtumpu kepada aspek operasi.

Katanya, Lembaga Pengarah Yayasan Selangor turut bersetuju untuk memberi peluang kepada Ilham Marzuki bagi menerajui Yayasan Selangor sehingga kontrak dua tahunnya tamat.

Khalid berkata, beliau berharap dengan adanya peluang kedua yang diberikan ini , Ilham dapat menjalankan tugas dengan baik kerana prestasinya akan dipantau dari semasa ke semasa, malah kontraknya juga tidak akan disambung sekiranya beliau gagal memberikan perkhidmatan terbaik.

Tambah Khalid, selepas menyelesaikan isu laporan kewangan yang dibangkitkan ini, Kerajaan Selangor akan memberi tumpuan pula kepada isu kebajikan menerusi program-program yang dilaksanakan Yayasan Selangor sejak beberapa tahun lalu.

Tiada ulasan: