Sabtu, 26 Mac 2011

Ku Li: BN boleh menang di Sarawak tapi majoriti besar sukar

THE MALAYSIAN INSIDER

Ku Li berkata ada kemungkinan besar dia akan ke Sarawak untuk membantu jentera pilihan raya negeri itu.
GUA MUSANG— Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yakin Barisan Nasional (BN) kekal memerintah Kerajaan Negeri Sarawak pada pilihan raya negeri itu 16 April ini.

Bagaimanapun, kata beliau, hanya untuk mendapat majoriti besar mungkin sukar berikutan penduduk kawasan bandar itu kurang memberi sokongan kepada BN disebabkan terpengaruh dengan isu pembangkang.

Ini pilihan raya negeri pertama selepas tsunami politik ketika pilihan raya umum ke-12 tiga tahun lalu.

“BN mendapat sokongan kuat daripada penduduk luar bandar negeri itu kerana masih memerlukan banyak pembelaan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Umno cawangan Lebir di sini, hari ini.

Dipetik Bernama, Tengku Razaleigh berkata, pandangan awal mengenai kedudukan pilihan raya negeri Sarawak itu diperolehi daripada rakan-rakan yang sudah pergi ke sana menjelang hari penamaan calon 6 April ini.

Dewan Undangan Negeri Sarawak menawarkan 71 kerusi.

“Saya juga mungkin akan pergi ke sana bagi membantu jentera pilihan raya negeri berkenaan dan ingin melihat sendiri kedudukan sebenar kekuatan BN,” kata Ketua Umno Gua Musang itu.

Sebelum itu, ketika berucap, beliau berkata, kerajaan BN mampu melakukan apa sahaja untuk kemajuan rakyat di seluruh negara termasuk di Kelantan untuk membawa kesenangan.

Katanya, kedudukan kampung luar bandar juga seperti Gua Musang turut diberi tumpuan untuk melaksanakan pelbagai kemudahan seperti jalan perhubungan dan kemudahan asas yang lain.

Tiada ulasan: