Khamis, 3 Mac 2011

Kontroversi myBALIKPulau: Kenyataan daripada bekas EXCO Pulau Pinang

MERDEKA REVIEW

1. myBALIKPulau, sebuah risalah terbitan Arts-ED (Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang), iaitu sebuah badan bukan kerajaan yang berdedikasi dalam mempromosi seni dalam bidang pendidikan, baru-baru ini telah dikritik oleh Muhammad Farid Saad, Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Betong dan juga oleh beberapa kumpulan Melayu sejak awal bulan Februari tahun ini. Banyak laporan polis telah dibuat dan penyiasatan polis juga sedang dijalankan. Mereka telah mendakwa bahawa risalah tersebut mengandungi fakta sejarah dan illustrasi yang tidak benar yang mana telah menghina kaum Melayu. Mereka turut menekankan bahawa Kerajaan Negeri semasa bertanggungjawab menerbitkan risalah myBALIKPulau.

2. Saya, (Toh Kin Woon, gambar kiri) sebagai Bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk Pendidikan ingin membuat beberapa penjelasan berkenaan dengan Arts-ED dan risalah, myBALIKPulau.

3. Arts-ED yang dilancarkan pada tahun 1999 adalah salah satu inisiatif di bawah Majlis Perundingan Pendidikan Pulau Pinang (PECC) yang mana saya telah memegang jawatan Pengerusi sejak 1997 di mana Majlis tersebut ditubuhkan sehingga 8 Mac 2008. Antara projek lain adalah termasuk menghadapi kesukaran pembelajaran; promosi pendidikan lanjutan (seumur hidup); pendidikan pra-sekolah; pendidikan pengajian tinggi; mempromosi minat dalam pembelajaran sains dan matematik dan pendidikan vernakular. Semenjak penubuhan PECC, Institut Kajian Sosio-Ekonomi dan Alam Sekitar (SERI) telah dilantik sebagai urusetia. Matlamat utama Arts-ED adalah mempromosikan pendidikan seni secara tak formal dengan menerapkan elemen inovatif dan kreatif. Walaupun bukan secara eksklusif, projek-projek Arts-ED telah dibiayai oleh PECC melalui pemberian peruntukan oleh Kerajaan Negeri yang dahulu.

4. Antara kesenian yang dipromosikan adalah persembahan teater jalanan, alunan muzik, fotografi dan apresiasi sejarah menerusi jejak warisan dan sejarah lisan. Ia berharap untuk meningkatkan kesedaran murid-murid berumur 10 hingga 19 tahun akan sejarah Pulau Pinang yang kaya melalui pendekatan apresiasi kelebihan warisan negeri.

5. Dua buah projek di bawah Pendidikan Warisan telah dikenalpasti untuk diluluskan pembiayaan dan perlaksanaan semasa tempoh saya memegang jawatan Pengerusi PECC. Ia terdiri daripada Anak-Anak Kota yang telah berjaya dilaksanakan di bandar George Town dan myBALIKPulau yang telah dilancarkan oleh saya pada tahun 2006 di Balik Pulau. Risalah myBALIKPulau yang mana merupakan hasil (output) projek warisan yang telah dilaksanakan di Balik Pulau turut menerima pembiayaan daripada Majlis Tindakan Pelancongan Pulau Pinang dan DiGi semasa pemerintahan Kerajaan Negeri yang dahulu.

6. Menerusi kebanyakan aktivitinya, Arts-ED bermatlamat untuk mempromosi pembelajaran menggunakan pendekatan seni seperti persembahan teater, fotografi, lukisan, bengkel, penyelidikan dan dokumentasi, lawatan sambil belajar ke kawasan senibina bersejarah dan wawancara bersama rakyat berkenaan dengan hasil kraftangan dan penempatan manusia yang lama. Kerja mereka telah dan masih menggunakan pendekatan kreatif yang mengalakkan pembelajaran di kalangan orang muda tanpa mengira batasan latarbelakang sama ada bangsa atau agama.

7. Saya terkejut dan tidak bersetuju dengan pandangan Muhammad Farid dan beberapa kumpulan Melayu yang menekankan bahawa isi kandungan risalah myBALIKPulau menerapkan tulisan dan illustrasi yang menghina Melayu. Saya sendiri telah meneliti risalah tersebut dan tidak menemui sebarang maklumat yang menyokong dakwaan mereka. Di sebaliknya, ia adalah sebuah dokumen yang telah diselidik secara teliti oleh anak-anak muda yang berbakat yang terdiri daripada pelbagai komuniti etnik berdasarkan sejarah lisan asal usul mereka.

8. Mereka dan terutamanya Janet Pillai serta keseluruhan ahli kumpulannya di Arts-ED seharusnya disanjungi atas hasil usaha yang indah ini. Sememangnya, Janet Pillai dan ahli-ahli kumpulannya telah menampilkan komitmen dan minat yang mendalam dalam mempromosikan seni dalam pendidikan di kalangan pelbagai bangsa yang mana telah diperakui oleh ahli-ahli PECC. Setelah bekerjasama dengan Janet dalam PECC, saya berani menyatakan bahawa tahap seni di Pulau Pinang telah ditingkatkan hasil usaha Janet dan ahli kumpulannya di Arts-ED. Perkara ini adalah suatu yang tidak mungkin berhasil jika kita hanya semata-mata bergantung kepada sistem sekolah yang berunsur formal yang telah mengenepikan aspek seni dalam pembelajaran. UNESCO telah turut memperakui kerja Janet sehingga mempelawa beliau untuk mengadakan bengkel di peringkat serantau untuk memberi latihan dalam pendidikan seni.

9. Secara kesimpulan, saya ingin menegaskan bahawa projek myBALIKPulau adalah sebuah projek apresiasi warisan yang merangkumi jejak warisan, fotografi dan sejarah lisan yang telah dilancarkan dan dibiayai oleh PECC dibawah pimpinan kerajaan negeri yang dahulu (lama) serta dilaksanakan oleh pelajar-pelajar sekolah daripada pelbagai kumpulan etnik. Kerajaan Negeri semasa (kini) langsung tidak terlibat dalam projek ini. Saya, sebagai bekas Pengerusi PECC, sangat berbangga akan hasil usaha Arts-ED yang diterajui oleh Puan Janet Pillai dan juga usaha jawatankuasa yang lain seperti kesukaran pembelajaran, pendidikan pra-sekolah, pembelajaran lanjutan (seumur hidup), pendidikan penggalakan sains dan matematik, pendidikan Cina dan Tamil serta pendidikan pengajian tinggi. PECC yang telah beroperasi lebih daripada sedekad tahun telah menjana dan merealisasikan banyak idea disebabkan komitmen dan minat yang mendalam ahli-ahlinya.

10. Saya berpendapat bahawa mereka yang telah mendakwa Arts-ED dan Kerajaan Negeri semasa (kini) telah menghina Melayu menerusi penerbitan myBALIKPulau adalah tidak berlaku adil terhadap yang telah menawarkan khidmat secara sukarela untuk pembangunan pendidikan di Pulau Pinang. Mereka turut telah menyakitkan hati ramai para pelajar (anak-anak muda) yang telah bertungkus-lumus dalam penerbitan myBALIKPulau. Penyertaan para pelajar dalam projek ini adalah atas dorongan dan motivasi serta tidak lebih daripada keinginan sebenar untuk menimba ilmu. Mereka tidak berniat untuk mempersendakan mana-mana komuniti.

*Kenyataan media oleh Toh Kin Woon, bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk Pendidikan, Pembangunan Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi (1995-2008).

Tiada ulasan: