Rabu, 9 Mac 2011

Kes liwat: Saiful dakwa ada penetrasi penuh, kata doktor

TERKINI

KUALA LUMPUR — Mohd Saiful Bukhari Azlan mendakwa ada penetrasi penuh ketika dia mengadu diliwat oleh bekas majikannya Datuk Seri Anwar Ibrahim, demikian menurut ahli patologi kerajaan hari ini.

Dr Razuin Rahimi, pegawai perubatan yang bekerja pada 28 Jun 2008 - hari Saiful membuat laporan terhadap Anwar berkata, beliau yang menemu bual Saiful dan mengisi laporan proforma.

Peguam-peguam pembela sebelum ini mencabar dakwaan Saiful memandangkan kandungan laporan mengatakan hanya wujud cubaan penetrasi dan oleh itu tidak wujud perbuatan liwat yang sebenar.

Ketua pendakwa Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden cuba untuk memperjelaskan perkara itu hari ini dan bertanya pakar itu apa yang dimaksudkan cubaan penetrasi pada rektal.

“Saiful berkata ada persetubuhan dubur, bagaimanapun rektum terletak di sebelah atas dubur, perkataan (agak) mengelirukan. Ketika itu, saya tidak tahu sama ia sampai ke rektum (atau sebaliknya),” katanya.

Apabila ditanya mengapa beliau tidak mencatatkan sebarang rujukan tentang bahan pelincir pada borang itu seperti yang dinyatakan oleh Saiful dalam keterangannya, Dr Razuin berkata beliau merekodkan bahan pelincir itu pada kertas lain kerana borang proforma itu hanya untuk kes rogol memandangkan HKL tidak mempunyai borang khusus untuk kes liwat.

“Maklumat itu telah direkodkan di atas kertas yang saya kemudian serahkan kepada Dr Siew dengan catatan nota yang saya buat ketika pemeriksaan perubatan dijalankan oleh pakar,” jelas Dr Razuin.

Dalam pemeriksaan balas oleh Karpal Singh untuk menjelaskan makna ‘‘rectal attempted’’ seperti yang tercatat di dalam borang itu, Dr Razuin menerangkan ‘‘rektum’’ adalah bahagian di dalam dubur.

“Ia adalah liwat walaupun penetrasi tidak sampai ke kawasan rektum, itu adalah makna dalam istilah perubatan untuk ‘‘rectal attempted’’,” jelas saksi.

Bekas pakar patologi forensik HKL itu juga memberitahu mahkamah bahawa Saiful telah memberitahunya dia melawan ketika diminta lakukan oral seks pada hari kejadian liwat itu didakwa berlaku.

Dr Razuin berkata Saiful memaklumkan kepadanya ketika beliau merekodkan nota sejarah perubatannya kira-kira 9 malam, 28 Jun 2008 di HKL.

Beliau mengambil masa hampir 20 minit untuk merekodkan nota itu selepas pegawai penyiasat DSP Jude Blacious Pereira memaklumkan secara ringkas tentang dakwaan Saiful yang dia diliwat oleh Anwar.

Beliau berkata tiga doktor lain, Dr Khairul Nizam Hassan, Dr Mohd Razali Ibrahim dan Dr Siew Sheue Feng, tiada ketika catatan itu direkodkan dan beliau memberi penjelasan ringkas kepada mereka selepas selesai tugasnya.

“Mohd Saiful juga memberitahu saya yang dia telah diliwat oleh Anwar pada 26 Jun lebih kurang 3.30 petang di mana dia tidak memberi kebenaran untuk melakukan hubungan seks itu,” kata Dr Razuin.

Dr Razuin yang kini bertugas di Hospital Sungai Buloh berkata hubungan seks itu berlangsung hampir setengah jam di mana pengadu juga mendakwa dadanya telah diraba.

Anwar, Penasihat Parti Keadilan Rakyat dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, didakwa meliwat pembantu peribadinya Mohd Saiful, 25, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Sementara itu, Ketua Staf di pejabat Anwar, Ibrahim Yaakob berkata Saiful tidak dilantik sebagai pekerja secara rasmi.

“Dia bukan pekerja tetapi sukarela yang menerima arahan terus daripada saya,” katanya.

Ditanya oleh Mohamed Yusof, beliau mengesahkan Anwar menghadiri majlis makan tengah hari di sebuah kondominium milik ‘‘Hassanuddin’’ pada 26 Jun 2008.

Bagaimanapun, katanya pada hari itu Anwar telah menghubunginya dan memberitahu dia ada meninggalkan sampul surat di pejabatnya di Seksyen 15, Petaling Jaya dan beliau (Ibrahim) telah meminta Saiful menghantar envelop itu kepada Anwar kerana dia sibuk pada hari itu.

Kepada soalan lain sama ada beliau tahu Saiful telah menghantar surat peletakan jawatan pada 27 Jun 2008, Ibrahim berkata, ia telah diemel kepada Anwar dan Anwar telah menyerahkan kepadanya.

Ditanya oleh Mohamed Yusof apakah alasan Saiful untuk berhenti kerja, Ibrahim berkata Mohd Saiful menyatakan dia tidak boleh melaksanakan tugasnya dan mahu menjadi juruterbang.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah menangguhkan perbicaraan ke esok, dengan DSP Jude dijangka mengangkat sumpah sebagai saksi ke-25 sebelum pihak pendakwaan menutup kes.

Tiada ulasan: