Jumaat, 4 Mac 2011

Kes Fitnah 2 : Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Arah Tahan Anwar

TVS NEWS


KUALA LUMPUR : Mahkamah didedahkan dengan penangkapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Segambut pada 16 Julai 2008 atas arahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Bakri Zinin.

Superintenden Ahmad Taufik Abdullah yang memberi keterangan berkata arahan langsung dari Bakri untuk menahan Anwar dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.

"Arahan untuk menangkap Datuk Seri Anwar sekiranya beliau tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pergi ke IPK dari Putrajaya," kata Ahmad Taufik.

Beliau turut mengesahkan waran tangkap dikeluarkan sehari sebelum penangkapan iaitu 15 Julai 2008 oleh Mahkamah Majistrate Kuala Lumpur.

Taufik berkata waran tangkap tersebut dikeluarkan di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

Namun Karpal kemudian menyoal sekiranya waran tersebut dibaca kepada Anwar ketika sekatan jalan raya di Segambut, ini jawapan beliau:

"Ketika penangkapan tiada waran, tapi penyempurnaan tangkapan di IPKKL," jelas Taufik lagi.

Sebelum itu mahkamah diberitahu bahawa DSP Jude Blacious Periere membuat keputusan sendiri untuk menahan Datuk Seri Anwar Ibrahim di lokap D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Julai 2008.

Turut didedahkan, Jude adalah individu yang membuat permohonan untuk mendapatkan sampel darah Anwar ketika berada di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari yang sama.

Sivarasa Rasiah yang dipanggil sebagai saksi hari kedua perbicaraan dalam perbicaraan menjelaskan tujuan Jude menahan Anwar semalaman dengan alasan kenyataan yang diberikan masih belum lengkap.

"Jude kata ini adalah arahan saya untuk menahan Datuk Seri Anwar. Beliau masih belum lengkap memberi kenyataan," kata Sivarasa di hadapan hakim Datuk Zabidin Mohd Diah.

Beliau ketika itu bersama Anwar di IPK Kuala Lumpur.

Sebelum itu mahkamah turut dikelirukan apabila salinan laporan rakaman lisan Anwar yang ditunjukkan tidak konsisten dengan salinan asal.

Anwar yang mengambil tempat di kandang saksi berkata, salinan dokumen yang diserahkan pada beliau oleh pihak pendakwaraya tidak mempunyai cop sulit dan tandatangan dibandingkan dengan salinan asal.

Anwar berkata ketika bersama Jude di IPK Kuala Lumpur, beliau memberi kerjasama sepenuhnya dengan harapan untuk pulang setelah selesai.

"Yang Arif, saya beri penjelasan, menyangkal dakwaan dan kerjasama sepenuhnya. Kemudian saya tanya sekiranya sudah 'selesai' dan DSP Jude cakap, ya," ujar Anwar.

Tambahnya, polis tidak memberi alasan untuk menahan beliau semalaman.

"Tiada asalan penahanan diberikan termasuk laporan polis. Sepatutnya polis perlu mengemukakan asas dalam penahanan itu," katanya lagi.

Hakim Zabidin kemudian memanggil peguambela ke kamar hakim apabila Karpal memberitahu ingin membawa Datuk Seri Syed Hamid Alba, Tan Sri Musa Hassan dan Datuk Bakri Zinin sebagai saksi.

Awal pagi tadi menyaksikan Ketua Pambangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dipanggil semula ke kandang saksi untuk disoal balas pendakwaraya Datuk Yusof Zainal Abiden.

Yusof kemudian mengemukakan beberapa keping salinan kertas yang didakwa sebagai borang rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan dan waran tangkap yang ditandatangani Anwar ketika disoal siasat di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008 .

Anwar menjelaskan beliau ada menandatangani borang yang diserah oleh DSP Jude Blacious Pereire di tingkat 7 bangunan yang sama.

"Saya memang tidak menafikan tuduhan, tapi yang saya tanya adalah alasan penahanan," kata Anwar selepas meneliti salinan dokumen berkenaan.

Karpal mencelah memohon hakim agar peguambela dibenarkan untuk mendapatkan salinan kedua-dua dokumen tersebut.

Mahkamah berehat sementara memberi laluan peguambela untuk meneliti dokumen-dokumen tersebut.

Dalam keterangan Anwar di mahkamah semalam, beliau menjelaskan tindakan sekumpulan anggota Unit Tindakan Khas (UTK) ala komando menahan 200 meter dari kediamannya sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 16 Julai 2008.

Beliau turut mendakwa polis menggunakan tipu helah untuk mendapatkan DNAnya ketika ditahan di dalam sel D9 semalaman.

Selain itu beliau turut mendakwa dimalukan doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL) apabila kemaluan dan duburnya diukur dan diperiksa namun tidak diketengahkan dalam mahkamah.

Prosiding bersambung Isnin ini jam 8.30 pagi.

Tiada ulasan: