Hazayani Zakaria |
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub berpendirian, siasatan kes berprofil tinggi akan lebih telus sekiranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diberikan kuasa pendakwaan. Salahuddin sewaktu mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, dengan adanya kuasa pendakwaan itu, SPRM tidak akan terikat dengan karenah birokrasi. "Adakah menteri percaya dengan adanya kuasa pendakwaan ini, akan menjadikan siasatan lebih telus dan tidak terikat dengan mana-mana birokrasi lagi supaya kes yang berfrofil tinggi ini dapat disempurnakan," katanya. Beliau yang juga anggota jawatankuasa khas Parlimen mengenai rasuah juga menyifatkan cadangan jawatankuasa berkenaan berkaitan perkara itu sebagai berani. "Ini satu cadangan yang paling berani yang pernah dibuat oleh jawatankuasa ini yang telah pun kita serahkan ke Putrajaya tahun lewat tahun lepas," katanya yang juga Naib Presiden PAS. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz dalam jawapannya bagaimanapun memberitahu, pemisahan kuasa adalah satu perkara yang sangat penting iaitu memisahkan di antara kuasa menyiasat dan mendakwa. "Adalah penting bagi seorang pendakwa untuk mendakwa tanpa mempunyai hubungan yang rapat dengan orang yang hendak didakwa," katanya. Salahuddin dalam soalan asalnya meminta Perdana Menteri menyatakan jumlah kes yang dianggap atau dikategorikan sebagai berprofil tinggi yang telah sempurna disiasat oleh SPRM dari tahun 1990 hingga 2010. Beliau juga ingin tahu daripada jumlah itu berapakah jumlah kes yang telah diambil tindakan pendakwaan oleh Jabatan Peguam Negara dan jumlah kes yang telah selesai dibicarakan. |
Isnin, 21 Mac 2011
Kes berprofil tinggi telus jika SPRM boleh dakwa
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan