Ahad, 6 Mac 2011

Judi: PAS bawa ke mesyuarat Pakatan

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS akan membawa isu perjudian di negara ini ke mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat untuk diselesaikan dengan baik.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) dalam kenyataannya berkata, PAS tahu, sikap Umno dan BN menghalalkan judi sebab itu lesen-lesen perjudian di keluarkan oleh Kerajaan Persekutuan.

"Kita mahu Pakatan Rakyat mempunyai sikap yang tegas dan berbeza dengan BN dalam hal ini," kata beliau dalam kenyataannya itu.

Baru-baru ini, kerajaan negeri Kelantan telah mengambil tindakan terhadap premis yang menjual tiket-tiket perjudian di Kelantan.

Ekoran itu, beberapa kenyataan dikeluarkan oleh pemimpin DAP dan yang terakhir adalah kenyataan Karpal Singh, pengerusi DAP semalam yang mempertikaikan tindakan Kelantan itu.

"Suka saya maklumkan di sini, menjadi polisi kerajaan negeri Kelantan sejak 20 tahun lalu untuk menentang sebarang bentuk perjudian.

"Bagi saya, isu ini perlu dilihat dalam ruang lingkup yang lebih luas dan tidak terbatas kepada Islam dan bukan Islam atau Melayu dan bukan Melayu sahaja.

"Apa yang perlu dilihat adalah kesan buruk daripada perjudian. Pada saya ia ditolak semua agama dan oleh prinsip kemanusiaan untuk wujudkan keluarga, masyarakat dan negara yang baik," kata beliau dalam kenyataannya itu.

Tiada ulasan: