Isnin, 14 Mac 2011

Isu Manifesto: MB Kedah terima cabaran Mukhriz

THE MALAYSIAN INSIDER


BUKIT KAYU HITAM — Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak bersedia menjawab sebarang soalan berhubung kejayaan melaksanakan manifesto pilihan raya umum yang lalu pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN bulan depan.

Katanya beliau akan menjawab semua soalan yang bakal diajukan oleh pemimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenai kejayaan kerajaan negeri melaksanakan 80 peratus manifesto yang telah dibuat PAS.

“Tak perlu nak senaraikan kepada mereka (wakil rakyat BN) kerana kita sebelum ini sudah senaraikan kejayaan yang dibuat kerajaan...Saya akan jawab kalau mereka tanya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Ladang Nanas milik Kedah Agro Holding Berhad di Laka Temin di sini hari ini.

Azizan mengulas desakan pemimpin BN yang mahu beliau menyenaraikan dan mengemukakan bukti mengenai kejayaan menifesto pada PRU yang lalu.

Beliau berkata kejayaan itu tidak perlu disenaraikan semula memandangkan kerajaan negeri sebelum ini telah menyenaraikan kejayaan itu dalam akhbar rasmi (Warta Darul Aman).

“Mereka cakap nak tengok ekonomi, mai tegoklah sendiri, kalau nak bukti pi tengok dekat Audit Negara, kita dapat RM53 juta tahun ni hasil balak,” katanya.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata kerajaan negeri perlu mengemukakan bukti yang sahih kepada rakyat mengenai kejayaannya menyelesaikan serta melaksanakan 80 peratus janji-janji dalam manifesto pilihan raya umum (PRU) ke-12.

Mukhriz berkata kenyataan yang dikeluarkan kerajaan PAS itu tidak berasaskan kepada fakta yang lengkap dan membuatkan rakyat keliru mengenai kejayaan yang telah dilaksanakan.

“Kita mahu kerajaan PAS mengambil peluang mengemukakan bukti yang benar dalam sidang Dewan Undangan Negeri April depan bagi menjelaskan secara terperinci kepada rakyat secara keseluruhan apa yang mereka maksudkan kejayaan 80 peratus itu.

“Ia tidak cukup dengan sekadar cakap-cakap sahaja kerana rakyat jauh lebih bijak,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan Negeri, Abdul Ghani Ahmad.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Abdul Ghani berkata sehingga Julai tahun lepas, sebanyak 80.7 peratus daripada manifesto yang mempunyai 57 perkara yang disenaraikan dalam manifesto PRU12 berjaya mencapai matlamatnya.

Daripada 57 perkara tersebut, beliau berkata 46 daripadanya telah dilaksanakan dan 11 perkara lagi atau 19.3 peratus masih dalam peringkat kajian merangkumi bidang pentadbiran, pertanian, pembangunan Insan, hal ehwal Islam, hal ehwal wanita, sukan dan rekreasi serta pihak berkuasa tempatan.

Mukhriz yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata rakyat negeri ini tidak nampak sebarang perubahan selepas Kedah diambil alih oleh PAS sejak 2008.

Tiada ulasan: