Mohd Sabri Said |
GEORGETOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar) mahu semua wanita dalam Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang mengubah perancangan serta mencari kaedah lain yang lebih berkesan bagaimana untuk mendekati golongan 'atas pagar'. Baginya, perancangan lama bukan tidak sesuai tetapi mungkin telah terlalu biasa dan memerlukan pemerkasaan yang lebih terperinci kerana wanita sekarang tidak seperti dahulu yang kurang pendedahan. "Memandangkan masa berlalu begitu cepat dan putaran dunia global makin pantas, maka tiada lain perancangan dan pendekatan politik juga harus berubah ke tahap yang menyakinkan. “Kalau boleh biarlah golongan wanita dalam Pakatan Rakyat khususnya di Pulau Pinang duduk semeja dan memikirkan tentang usaha menambat hati wanita," jelasnya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang ketika merasmikan konvensyen Wanita Pakatan Rakyat Pulau Pinang di Audiotarium A , Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) semalam. Menurutnya, merayu dari rumah ke rumah semasa kempen pilihan raya walaupun penting tetapi ia dianggap terlambat. Apa salah, katanya jika pertemuan dengan mereka diadakan saban bulan dengan niat ziarah di samping menyerahkan risalah menangkis tohmahan Umno dan Barisan Nasional (BN). Katanya, sebagai kerajaan yang memerintah aktiviti wanita ke tiga parti memang terbuka luas ekoran terdapat jalinan program bersama kerajaan termasuk bergerak seiring kaum lelaki mencari warga emas, rakyat miskin dan terbaru golongan ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU). "Latihlah mulai sekarang, masa masih ada untuk mendekatkan diri wanita Pakatan Rakyat dengan kerajaan dan membantu merealisasikan slogan 'Kerajaan Berjiwa Rakyat'. Jangan tunggu pilihan raya baru nak kunjungi mereka," tegasnya. Justeru itu, ujarnya wanita Pakatan Rakyat bukan sahaja berperanan mendidik masyarakat menjadi sebuah masyarakat yang dinamik malahan turut menjadi sayap parti yang kuat bersama sayap pemuda. "Jika ada sayap tapi tak kuat terbang tak guna. Oleh itu sebagai sayap, kita harus mendekati masyarakat serta membantu menyelesaikan masalah mereka kerana wanita adalah penentu kalah menang Pakatan Rakyat pada masa depan,” ujarnya. |
Isnin, 14 Mac 2011
Guna kaedah berkesan dekati golongan 'atas pagar'
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan