Isnin, 14 Mac 2011

Gempa Jepun: Universiti Tun Hussein Onn gagal kesan empat kakitangan

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sehingga hari ini masih gagal mengesan empat kakitangannya yang belajar di Jepun, yang dilanda gempa bumi dan tsunami paling buruk Jumaat lalu.

Jurucakap UTHM Nor Hidayati Ramlee berkata, seramai 43 kakitangan universiti belajar di Jepun, namun empat orang gagal dihubungi sehingga hari ini.

“Sehingga kehari ini kita masih gagal untuk menghubungi empat orang manakala yang lain ada yang terselamat dan ada yang berada di pusat perlindungan sementara.

“Kita sudah cuba hubungi sejak Jumaat lalu tapi masih belum dapat apa-apa maklumat mengenai empat orang ini... kita ada e-mel tapi tak balas dan kita cuba hubungi mereka tapi tak dapat, pihak kami memerlukan maklumat tentang keadaan mereka di sana,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Empat kakitangan UTHM itu dikenali sebagai Hezil Mansor yang menuntut di Universiti Ritsumeiken Asia Pacific, Nabilah Ibrahim (Universiti Tohoku), Shahrul Niza Mokhatar (Universiti Kagoshima) dan Siti Hajar Aminah Ali (Universiti Kobe).

Mereka ditaja oleh universiti itu dan ada yang ditaja Kementerian Pengajian Tinggi.

Pada Jumaat lalu, Jepun dilanda gempa bumi dan tsunami - memusnahkan kawasan timur laut negara itu.

Kawasan Fukushima, antara bahagian paling turuk dilanda gempa bumi dan tsunami.

Angka kematian dijangka terus meningkat selepas pihak berkuasa negara itu mengesahkan 1,597 orang terbunuh dan 1,481 orang masih hilang di kawasan-kawasan sebelah timur laut dan timur yang dilanda gempa bumi dan tsunami Menurut Nor Hidayati, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai keadaan dan kedudukan kakitangan UTHM itu boleh menghubungi pihak pentadbiran universiti itu di talian 07-4537127 atau menghantar e-mel ke alamat hidayati@uthm.edu.my.

“Kami nak tahu keadaan dan kedudukan mereka, selamat atau tidak, jadi kami minta sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi pihak UTHM.

“Sekarang kami masih cuba menghubungi mereka selain meminta pihak kami di sana untuk meneruskan usaha mencari mereka,” katanya.

Tiada ulasan: