Sabtu, 5 Mac 2011

Ganas: PAS kesal polis berdiam diri

Hazayani Zakaria

JASIN: PAS kesal dengan sikap berdiam diri pihak polis terhadap beberapa insiden keganasan yang berlaku, didakwa daripada pihak Umno BN sepanjang berkempen.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, meskipun PAS dan Pakatan Rakyat berkali-kali mengingatkan Umno BN agar berkempen secara bersih, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Pihak lawan, katanya terus mengganggu dan menimbulkan provokasi di ceramah-ceramah Pakatan Rakyat selain melakukan perbuatan khianat terhadap kenderaan yang dikesan milik penyokong Pakatan Rakyat.

“Kami bagi pihak PAS amat kesal kerana tak ada tindakan daripada pihak polis meskipun kita telah berkali-kali membuat laporan secara formal dan tidak formal mengani perbuatan khianat yang berlaku.

“Setiap kali ceramah kita diganggu, ada kumpulan bermotor datang membuat kacau sedangkan bila Umno berceramah, kita tak pernah ganggu pun,” katanya.

Beliau yang juga ahli Parliman Kubang Kerian mengingatkan pasukan polis yang dihantar bertugas di Merlimau ini menjalankan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan rakyat sepanjang tempoh kempen.

“Apa gunanya kehadiran polis yang ramai kalau perkara-perkara kecil begini tidak dapat diselesaikan. Tak perlulah satu pertemuan formal untuk berbincang perkara begini. Sepatutnya pihak polis tahu tanggungjawab mereka.

“Saya bimbang yang ramai hanya daripada cawangan khas yang datang berkempen untuk pihak Umno BN,” katanya pada sidang media di Markas Induk PAS PRK, pekan Merlimau, petang tadi.

Tiada ulasan: