Rabu, 2 Mac 2011

Fitnah 2 : ' Perbicaraan Dalam Perbicaraan'

Ditulis oleh Hadri Yaziz


KUALA LUMPUR : Perbicaraan kes fitnah 2 yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung petang ini dengan mahkamah mendengar permohonan peguambela untuk mengadakan 'perbicaraaan dalam perbicaraan' di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan barang bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan diambil secara tidak sah.

Semalam permohonan daripada pihak pendakwaan yang mahu beberapa barangan seperti botol air minuman, berus gigi dan tuala 'Good Morning' serta sehelai bulu - yang dijumpai pada sel di mana anwar ditahan semalaman antra 16 Julai hingga 17 Julai 2008 - dikemukakan sebagai barangan bukti.

Karpal Singh yang bercakap di hadapan Hakim Datuk Zabidin Mohd Diah menjelaskan tertuduh harus dilindungi daripada barang bukti yang diambil secara tidak sah bagi memastikan keadilan.

"Cara yang betul untuk menghadapi perkara ini adalah dengan mengadakan perbicaraan dalam perbicaraan. Ini bagi memastikan perkara berkaitan dapat diketengahkan.

"Adalah perlu untuk hakim mempraktikkan budibicara terhadap pembelaan," ujar Karpal.

Semalam peguambela menimbulkan isu terhadap barang kes yang diperoleh secara tidak adil selain menggunakan tipu helah untuk mendapatkan sampel DNA tanpa perngetahuan Anwar.

Justeru Karpal menambah, penahanan anak guamnya pada Julai 2008 adalah tidak sah menurut undang-undang seolah mahu memerangkap.

Hakim Zabidin sedang mendengar hujah daripada pihak pendakwaraya.

Tiada ulasan: