Isnin, 7 Mac 2011

DUN Merlimau: Saya akan pantau Roslan, kata calon PAS



Calon PAS Yuhaizat Abdullah ketika mengunjungi pusat pengundian di Merlimau . — Foto oleh Jack Ooi

JASIN — Walaupun tewas pada pilihan raya kecil DUN Merlimau, namun calon PAS Yuhaizat Abdullah tidak sedih mahupun kecewa, sebaliknya berjanji akan terus bekerja lebih kuat bagi memastikan segala janji ditaburkan Barisan Nasional (BN) ditunai.

Yuhaizat tewas kepada calon BN Roslan dengan majoriti 3,643 undi.

Beliau mendapat 2,319 manakala Roslan memperoleh 5,962 seterusnya memastikan Merlimau kekal kubu kuat BN.

“Keputusan kita dah tahu dan saya ucapkan terima kasih kepada pengundi-pengundi kerana telah memberikan kepercayaan kepada saya.

“Saya juga ucapkan tahniah kepada calon BN Roslan Ahmad atas keputusan ini, saya juga akan terus berusaha dan pastikan segala janji yang dikatakan BN sebelum ini ditunaikan,” kata Yuhaizat pada sidang media di Markas PAS di sini.

Jelas Timbalan Ketua Pemuda PAS Melaka itu, beliau akan menjadi pemantau prestasi Roslan dan berharap wakil rakyat baru itu dapat menjalankan tugas dengan baik seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dibuat sebelum ini.

“Saya akan jadi pemantau kepada Roslan, walaupun tewas saya tidak sedih atau kecewa kerana saya masih ada pengundi yang bersama dengan saya.

“Dalam pilihan raya kecil bukan mudah untuk mendapat 2,319 undi dan saya akan pastikan segala janji akan dikotakan,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Adly Zahari berkata banyak faktor yang menyebabkan kekalahan PAS di Merlimau dan satu “bedah siasat” akan diadakan bagi mencari punca-punca pihaknya kalah.

“Kita akan buat analisis, setakat ini kita masih belum tahu apa punca tapi banyak faktor yang menyebabkan kita kalah.

“Apa-apa pun saya ucapkan terima kasih kepada pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada PAS,” katanya.

Keputusan pilihan raya kecil DUN Merlimau menunjukkan bahawa BN masih lagi relevan di kawasan tersebut dan agak sukar untuk PAS menembusi kubu kuat BN itu.

Kemenangan di Merlimau menyaksikan BN mengekalkan kemenangan tanpa kalah susulan kejayaan merampas balik kerusi DUN Galas, Kelantan dan mempertahankan kawasan Tenang, Johor Januari lalu.

Tiada ulasan: