Ahad, 6 Mac 2011

Benteng terakhir Umno di Felda

DETIK DAILY

BeritaParti KeADILan Rakyat (PKR) menyifatkan pemimpin Umno dan BN menggunakan taktik kotor bagi mengepung sokongan orang Melayu terhadap parti itu.

Setiausaha Agungnya, Saifuddin Nasution berkata pemimpin Pakatan Rakyat terutama PAS dan KeADILan (PKR) digambarkan sebagai mengkhianati orang Melayu. Malah, katanya juga mengkhianati Islam, menderhakai Raja dan menjadi kuda tunggangan kepada orang Cina di negara ini.

"Ini adalah taktik kotor untuk mengepung sokongan orang Melayu terhadap Umno supaya orang Melayu tidak bersama dengan kita.

"Kita dalam Pakatan Rakyat ini terutama PAS dan KeADILan mestilah digambarkan sebagai pemimpin yang mengkhianati orang Melayu. Pemimpin yang mengkhianati Islam, pemimpin yang menderhaka terhadap Raja, pemimpin yang menjadi kuda tunggangan kepada orang Cina khususnya DAP," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada Ceramah Himpunan Warga Felda Negeri Terengganu di Pasti Kertih I, Ketengah Jaya, Paka, Dungun, baru-baru ini.

Menurutnya, pada masa sama diberi gambaran bahawa jika Umno-BN kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) kelak negara akan diperintah bukan Melayu.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang menaruh keyakinan masa depan politik Umno terancam jika Pakatan Rakyat berjaya meroboh benteng terakhir BN di tanah rancangan.

"Saya percaya jika kita berjaya merobohkan benteng dan kubu terakhir Umno-BN di kawasan tanah rancangan (Felda) ini, sudah tidak ada lagi masa depan politik buat Umno-BN di bumi Malaysia ini. Dia bertahan di sini sahaja," ujarnya.

Beliau mendakwa sokongan bukan Melayu terhadap Pakatan Rakyat jauh lebih baik berbanding siri-siri pilihan raya sebelum ini.

Ini kerana, katanya semakin lama bukan Melayu bersama Pakatan Rakyat akan hilang segala rasa ketakutan tersebut.

"Jika dahulu ditakutkannya menyokong kita ini. Jika dahulu betapa sukarnya kita mendapat sokongan bukan Melayu terhadap kita.

"Tapi hari ini, sokongan bukan Melayu kepada kita jauh lebih baik berbanding siri-siri pilihan raya sebelum ini. Semakin lama mereka berkawan dengan kita, semakin lama mereka mengenali kita, semakin dekat mereka dengan perjuangan kita. Bukan Melayu ini sudah tidak ada lagi rasa takut,” tegasnya.

Tiada ulasan: