Jumaat, 11 Mac 2011

DEB Sudah Tidak Relevan

Ditulis oleh shuaib ayob


GOMBAK : ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, menganggap Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kerajaan pada 1970-an, tidak lagi relevan untuk digunakan pada zaman sekarang berikutan gagal mencapai matlamatnya untuk membela bangsa Melayu.

Beliau berkata demikian ketika dalam forum Meritokrasi dan Kuota: Ke Mana Melayu di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dekat sini malam tadi.

"DEB itu dianggap sebagai satu dasar sementara untuk bertahan sehingga 1990 dan saya nak memetik kata-kata Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail, dia menggambarkan kelebihan yang diberi oleh DEB ini sama seperti handicap golf maknanya kalau yang lemah diberi kelebihan," katanya.

Tambah Nik Nazmi lagi, kesesuaian dasar yang perlu dilaksanakan pada zaman ini adalah mengikut merit dan keperluan dan bukan sahaja mengutamakan meritokrasi semata-mata.

"Kita perlu pendekatan yang berasaskan merit dan keperluan, tindakan informatif berdasarkan keperluan, saya tidak setuju meritokrasi semata-mata, di Singapura misalnya yang mana tidak langsung melihat keadaan sosio-ekonomi tetapi dia kena ada merit dan keperluan yang mana soal kaum itu boleh kita anggap persoalan diversiti (kepelbagaian) dan sebagainya," katanya.


Katanya lagi, dengan memberi keseimbangan antara merit dan keperluan ini, maka kebanyakkan rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan isi rumah bawah daripada RM1,500 dapat dilindungi sekaligus dapat memberikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.

"Majoriti ramai rakyat negara kita, 40% daripada rakyat kita berpendapatan bawah daripada RM 1,500 sebulan (pendapatan isi rumah) dan 3/4 daripada mereka adalah Melayu. Dasar yang mengimbangi merit dan juga keperluan akan memelihara keperluan atau kepentingan masyarakat Melayu yang benar-benar perlukan perlindungan tersebut," katanya.


Perkara ini turut dipersetujui oleh Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir, di mana DEB mungkin lebih sesuai digunakan sehingga tahun 1990.

"Sebenarnya kebanyakkan yang berhormat Nik sebut tadi, saya bersetuju sebab kita faham mengenai meritokrasi dan DEB yang sekarang ni kita dah ubah istilah kuota tu jadi DEB lah dan kedua-duanya diperlukan, DEB tu mungkin sesuai pada masanya," katanya.

Bagaimanapun menurut Ahli Parlimen Jerlun, beliau turut tidak menolak, dasar pengakhiran DEB hanya boleh diputuskan oleh orang Melayu sama ada mereka boleh berdikari sekiranya sistem kuota tidak lagi diberikan.

"Prinsip disebalik DEB itu saya fikir masih diperlukan dan biarlah orang Melayu itu sendiri yang putuskan bila kita nak mengakhiri DEB ini," katanya.

Sebelum ini DEB dikatakan gagal mencapai sasaran itu dan ini turut diakui oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan bapa kepada Mukhriz, dalam memoirnya yang dipasarkan Isnin lalu.

DEB juga didakwa hanya melahirkan sekumpulan kecil jutawan Melayu yang rapat dengan parti-parti politik.

Tiada ulasan: