Rabu, 23 Mac 2011

Datuk T bukan seorang tapi tiga, kata Rahim Thamby

TERKINI


Abdul Rahim Thamby Chik (kanan) menjawab soalan wartawan bersama Shazryl Eskay Abdullah. - Foto Choo Choy May

KUALA LUMPUR — Bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik hari ini mengaku beliau, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Perkasa Datuk Shuib Abdullah adalah lelaki misteri yang bergelar “Datuk T” — yang menayangkan rakaman video seks kepada media kelmarin, didakwa melibatkan pemimpin kanan Pkatan Rakyat (PR).

Pada sidang media yang diadakan petang ini, Abdul Rahim juga mengaku beliau dan Shazryl adalah individu di belakang tayangan video seks itu yang ditayangkan di Carsosa Seri Negara.

“Datuk T ini bukan seorang sahaja, tapi ia adalah datuk tiga iaitu saya, Datuk Shazryl dan Datuk Shuib, yang mana kami telah berkawan begitu lama,” kata beliau.

“Selain itu, kami merasakan isu yang ada sekarang (video seks) perlu dibuat penyelarasan supaya tidak timbul salah faham. Saya fikir semua pihak perlu tahu kebenarannya, jadi kami jemput beberapa pemimpin media ke Carcosa Seri Negara sebab ia lebih selamat.

“Di situ kami tunjukkan supaya pemimpin media faham perkara sebenar dan kami ke depan kerana mahu tegakkan keadilan... sebab pemimpin yang nak jadi perdana menteri tidak layak, yang mana kita tak boleh terima pemimpin yang mempunyai akhlak yang rendah,” katanya.

Nama-nama mereka didedahkan oleh Ahli Parlimen PKR kerusi Sungai Petani Datuk Johari Abdul pada sidang media tengah hari tadi.

Kedua-dua mereka mengadakan sidang media di sebuah hotel di Jalan Ampang kira-kira 4 petang, empat jam selepas sidang media Johari di Petaling Jaya.

Beliau menjelaskan tindakan mendedahkan video seks itu kerana mahu menunjukkan bahawa “individu yang mahu menjadi perdana menteri itu tidak layak.”

Jelas Abdul Rahim, satu suruhanjaya diraja perlu dibentuk bagi menyiasat ketulenan video seks tersebut.

“Tubuhkan suruhanjaya diraja untuk siasat ketulenan video seks ini. Kita boleh letakkan pemimpin Pakatan dalam suruhanjaya ini, media, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan mungkin pihak luar supaya kebenarannya dapat dibuktikan.

“Orang yang terlibat pula boleh membawa pakar forensik untuk tentukan kebenaran, kita hanya mahukan kebenaran,” katanya.

Beliau juga meminta Anwar yang juga Ketua Umum PKR agar meletakkan jawatan mencontohi jejak langkahnya yang sudah bersara dari bidang politik.

“Sekiranya pemimpin mempunyai masalah peribadi yang serius ia boleh merosakkan kepentingan negara.

“Kita tidak akan edarkan video seks ini, harap pihak yang membantah faham,” katanya.

Kelmarin Datuk T telah menayangkan video seks tersebut kepada media di Hotel Carcosa Seri Negara.

Rakaman video menunjukkan seorang pemimpin kanan Pakatan Rakyat mirip Anwar sedang mengadakan hubungan seks dengan seorang wanita, dipercayai pelacur asing, muncul dan dipertontonkan kepada media.

Video 21 minit itu, dalam empat segmen, menggambarkan pemimpin tersebut yang juga seorang Ahli Parlimen mengadakan hubungan seks di sebuah hotel di sini, dilihat akan menggegarkan arena politik negara sekali lagi.

Ia yang dirakamkan pada 21 Februari lalu dipertunjukkan kepada media di sebuah hotel di sini pagi ini.

Rakaman itu diperoleh dari hotel pemimpin berkenaan melanggan wanita tersebut.

Sementara itu, Shazryl yang turut hadir dalam sidang media itu memberi jaminan video seks itu tidak akan diberikan kepada mana-mana pihak termasuk polis sehingga suruhanjaya diraja ditubuhkan.

“Saya beri jaminan video ini tidak akan jatuh kepada mana-mana pihak...saya boleh jamin.

“Ia (pita video) ada pada saya,” katanya.

Beliau juga mengaku ada dalam video itu, namun enggan mendedahkan secara terperinci.

“Saya dalam video itu,” jawabnya.

Shazryl yang mengakui bekas sahabat Anwar bagaimanapun enggan menjelaskan apakah peranannya ketika adegan itu berlaku.

Beliau juga enggan mendedahkan di bahagian mana gambar beliau dilihat dalam rakaman itu kerana ia sudah menjadi kes polis.

Anwar juga telah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi berhubung rakaman video aksi seks itu semalam.

Dalam laporan yang salinannya diedarkan kepada media itu, Anwar menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video itu.

Tiada ulasan: