Khamis, 24 Mac 2011

Chegubard: Saya diminta jadi orang tengah serah video seks


KUALA LUMPUR – Bekas ahli majlis tertinggi PKR Badrul Hisham Shaharin hari ini mendedahkan beliau diminta untuk menjadi “orang tengah” oleh “Datuk T” untuk menyerahkan salinan video seks yang didakwa melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Jelas Badrul Hisham, beliau diminta oleh Datuk T untuk menyerahkan salinan video seks itu kepada Dr Wan Azizah agar Presiden PKR dan Anwar yang juga Ketua Umum PKR meletakkan jawatan.

“Untuk tujuan itu mendapatkan video itu saya telah berpura-pura untuk bersetuju mengenai apa yang diberitahu kepada saya mengenai video itu dan Datuk T memberitahu video itu membabitkan Datuk Seri Anwar dan menerangkan secara terperinci.

“Saya telah diminta memberi keputusan untuk bersetuju atau tidak menjadi orang yang akan membawa video itu kepada Dr Wan Azizah, namun terbantut setelah Datuk T meminta untuk menayangkan sendiri video itu kepada Dr Wan Azizah,” katanya.

Mengakui menonton video seks itu sebanyak dua kali bersama Datuk T di Hotel Shangri-la pada Isnin lalu, Badrul Hisham menegaskan, individu dalam rakaman video seks itu bukan Anwar seperti mana yang didakwa.

“Saya amat yakin lelaki itu bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim, memang sekali tengok imbas seakan-akan beliau tetapi sebenarnya tidak.

“Daripada susuk tubuh, gerak-geri saya boleh kenal dan saya yakin lelaki itu bukan Datuk Seri Anwar... ‘make up’ boleh dibuat,” katanya.

Datuk T terdiri daripada tiga individu iaitu bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.

Tayangan video seks itu terlebih dahulu ditayangkan kepada media pada Isnin lalu di hotel Carcosa Seri Negara.

Semalam Abdul Rahim mengaku Shazryl, Shuib dan dirinya adalah individu yang digelar Datuk T yang berada di belakang tayangan video seks itu yang dikaitkan dengan Anwar.

Jelas Badrul Hisham, beliau pergi ke hotel berkenaan atas jemputan Shazryl.

Menurut Badrul Hisham atau lebih mesra dengan panggilan “Chegubard” beliau percaya Datuk T adalah seorang individu sahaja dan bukan tiga individu seperti mana yang dikatakan Abdul Rahim.

Malah, Ketua PKR Rembau itu percaya Datuk T itu adalah Shazryl kerana dalam pertemuan yang diadakan di Hotel Shangri-la itu Abdul Rahim mengakui baru pulang dari luar negara selepas bercuti bersama keluar.

Menurut Badrul Hisham, ketika tayangan itu, Abdul Rahim kelihatan terkejut seolah-olah baru pertama kali menonton video seks itu.

“Tan Sri Abdul Rahim menipu kerana semalam beliau mengatakan merancang semua tetapi ketika bersama saya beliau mengatakan ini kali pertama menonton setelah pulang dari luar negara.

“Selain itu, dalam pertemuan itu Tan Sri Abdul Rahim memanggil Shazryl sebagai Datuk T malah Shazryl juga memperkenalkan diri kepada saya sebagai Datuk T,” katanya.

Tambah Badrul Hisham, dalam pertemuan itu Shazryl mengakui beliau adalah pemilik video seks itu dan hanya beliau sahaja yang memilikinya.

Ekoran tuduhan itu, Anwar telah membuat laporan polis berhubung rakaman video aksi seks itu dan menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video tersebut.

Walaupun belum pasti kesahihan video itu, beberapa pihak termasuk Perkasa mendesak agar diwujudkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat video seks itu.

Tiada ulasan: