Menerajui sebuah kerajaan yang adil serta mengamalkan tatakelola yang baik adalah janji Pakatan Rakyat kepada rakyat Malaysia. PRU13 adalah peluang terbaik dan nampaknya semakin hampir. Ini digambarkan dengan jelas apabila kerajaan mengambil keputusan mendakwa bekas Menteri Pengangkutan Chan Kong Choy (gambar bawah) atas tuduhan menipu mantan Perdana Menteri.
Senario terbaru ini telah menimbulkan persoalan mendalam. Betapa mudahnya mantan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi ditipu dalam skandal PKFZ ini. Malah isu penipuan ini bukan sahaja kepada Perdana Menteri tetapi barisan kabinet pada zaman Mahathir Mohamad. Kebanyakan dari mereka yang "tertipu" masih berkuasa termasuk Perdana Menteri dan Timbalannya hari ini.
Mana mungkin kita membiarkan gerombolan pemimpin cuai yang memberi kerugian RM12 bilion kepada rakyat ini menerajui negara. Apa jaminan yang mereka tidak akan melakukan perkara yang sama sedangkan hari ini masih begitu angkuh mengunjurkan pembinaan bangunan 100 tingkat dan lorong pejalan kaki dengan kos tidak diterima akal.
Justeru, rakyat harus bangkit menolak pemimpin cuai dan berkepentingan ini. Sistem pentadbiran yang mengenepikan kepedulian rakyat dan tatakelola yang baik harus ditamatkan. Tanggungjawab kita semua untuk menyelamatkan Malaysia dari terus dimiskinkan yang akhirnya membawa kebankrapan.
*Kenyataan media oleh Wan Azizah Wan Ismail (gambar kiri) selaku Presiden Parti Keadilan Rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan