Rabu, 2 Mac 2011

Akta Kg Baru: Penduduk mahu kuasa mutlak menteri dikaji balik

THE MALAYSIAN INSIDER


Johari berkata harga tanah Kamung Baru perlu dibentangkan bersama akta tersebut. — Gambar oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR — Umno Titiwangsa mahu kuasa mutlak dalam akta yang digubal khusus untuk membangunkan Kampung Baru, penempatan orang Melayu paling mahal di ibu negara, dikaji balik dan “kena diubah sedikit” supaya tidak merugikan pemilik dan pewaris dalam jangka panjang.

Pemangku ketuanya Datuk Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu perlu memandangkan pemilik dan pewaris bimbang dengan kuasa menteri yang kelihatan mutlak dan tidak boleh dipertikaikan jika wujud masalah kelak.

“Ketika dibentangkan kali pertama, akta ini telah menakutkan orang. Contohnya, kuasa menteri adalah mutlak maknanya tidak boleh didakwa.

“Apabila menteri itu berbuat sesuatu, ia harus dilaksanakan. Itulah maksud tersirat yang difahami pemilik tanah di Kampung Baru. Jadi, kuasa mutlak ini kena diubah sedikit,” kata beliau.

Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 sepatutnya dibentangkan untuk bacaan kali kedua pada sidang Parlimen yang bermula Isnin ini tetapi ditangguhkan sehingga sesi akan datang.

Malah menurut Johari, undang-undang itu turut mencadangkan pembubaran Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS).

“Bagi penduduk, apa salahnya dikekalkan kerana badan ini dianggap sebagai lambang yang menjaga kepentingan mereka,” katanya.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, kerajaan menangguhkan pembentangan Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampong Baru 2010 sehingga bulan Jun bagi mengemaskan beberapa perkara dan memberi ruang kepada pemilik dan pewaris memberikan pandangan.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan beberapa klausa dalam rang undang-undang itu diperhalusi.

“Ia juga untuk memberi ruang kepada pemilik dan pewaris agar lebih memahaminya,” kata beliau selepas mengadakan pertemuan dengan wakil pemilik dan pewaris Kampung Baru semalam.

Dipetik temu bual terbitan Utusan Malaysia hari ini, Johari berkata, selain itu, banyak orang Kampung Baru ingat apabila bentang akta itu, mesti bentang harga.

“Harga sebenarnya tertakluk kepada pasaran. Untuk menunjukkan keikhlasan kerajaan dalam menyatakan pasaran tanah di Kampung Baru ini bernilai tinggi, kerajaan perlu membuat pengisytiharan (dalam akta) bahawa seluruh tanah di Kampung Baru ini ditukar kepada tanah komersial.

“Ini sekali gus akan membolehkan harganya naik berlipat kali ganda,” katanya.

Malah menurut Raja Nong Chik berkata pihaknya juga menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai Ketua Setiausaha kementerian Datuk Ahmad Phesal Talib dan dianggotai beberapa badan bukan kerajaan bagi memperhalusi klausa-klausa terbabit.

“Jika ada perkara yang belum selesai sebelum itu, jikalau perlu dilambatkan kita akan lambatkan (pembentangan). Apa yang penting suara pemilik dan pewaris didengar dan akhirnya kepentingan mereka dilindungi,” kata beliau.

Katanya sesi penerangan berkaitan klausa berkenaan akan dikendalikan beberapa NGO seperti Lembaga Pentadbiran Petempatan Pertanian Melayu (MAS) Kampung Baru, Persatuan Pembangunan Kampung Baru (PPKB) dan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Kampung Baru (Pakam).

Selain itu, beliau berkata pihaknya juga akan melaksanakan referendum mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru pada Mei ini.

Mengenai pandangan terhadap sikap ragu kebanyakan pemilik tanah terhadap cadangan terbaru membangunkan Kampung Baru, Johari berkata, apabila kerajaan telah membuat keputusan untuk memberi status pusat bandar raya komersial dan mempermudahkan nisbah plot, itu secara tidak langsung telah meningkatkan nilai tanah daripada tanah pertanian biasa kepada nilai dalam lingkungan RM800 sehingga RM1,200 sekaki persegi.

Bagaimanapun katanya, pihak kerajaan atau mana-mana pemaju perlu mengambil kira bahawa tanah di Kampung Baru bukan seperti tanah di dalam hutan.

Katanya, kebanyakannya menjadi penjana pendapatan kepada pemiliknya melalui sewaan rumah dan juga mempunyai orang yang menetap di situ.

“Perkara ini perlu diambil kira pemaju dan kerajaan sebelum memajukan tanah tersebut,” katanya.

Berhubung soalan bahawa cadangan terbaru pembangunan Kampung Baru masih retorik atau boleh menjadi realiti, Johari berpendapat “apabila kita hendak bercerita soal realiti atau retorik, kita perlu membahagikannya kepada tiga perkara iaitu akta, kewujudan perbadanan dan pembangunan.”

“Jika kita lihat sekarang, kerajaan menerusi Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar telah membentangkan satu draf akta untuk pembangunan Kampung Baru.

“Bermakna hal ini sudah boleh dilihat secara fizikal, bukan lagi retorik. Kalau dibandingkan dengan 10 atau 20 tahun dahulu, kita bercakap... tetapi tiada yang nyata,” katanya,

Cuma menurut beliau, draf akta ini mempunyai banyak perkara yang perlu dibincangkan secara terperinci dengan mengambil kira suara tuan-tuan tanah dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Kampung Baru yang merasakan bahawa sebahagian daripada akta ini tidak bersesuaian dan tidak memenuhi cita rasa mereka.

“Keduanya, persoalan berkenaan perbadanan. Ia juga akan wujud. Namun perkara ketiga, iaitu pembangunan... saya tidak nampak realitinya.

“Pembangunan adalah perkara paling sukar dilakukan kerana ia melibatkan tiga pihak iaitu kerajaan, tuan-tuan tanah dan permintaan pasaran hasil daripada pembangunan tersebut. Jika kerajaan dan tuan tanah telah bersetuju dalam soal harga, namun permintaan pasaran tidak bersesuaian, ia masih tidak berguna,” katanya lagi.

Tiada ulasan: