Ahad, 20 Mac 2011

2,000 penduduk minta pili bomba sentiasa diselanggara

KENINGAU KINI

KENINGAU: Lebih kurang 2,000 penghuni rumah murah fasa dua, Jalan JKR dekat sini meminta agar pili bomba di kawasan perumahan terbabit sentiasa diselenggara dari masa ke semasa.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Dalam Bandar (JKDB) taman itu Lee Then Loi berkata, penyelenggaraan pili bomba di kawasan perumahan ini penting bagi memudahkan pihak Bomba dan Penyelamat membuat pengawalan dan memadam api apabila berlaku kebakaran.

“Ketiadaan pili bomba yang berfungsi dengan baik menyukarkan anggota Bomba dan Penyelamat melakukan kerja-kerja memadam api semasa kebakaran” katanya kepada media selepas majlis ringkas penyerahan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran rumah di taman itu kelmarin.

Pada majlis itu Lee menyerahkan sumbangan wang tunai sebanyak RM1,630.00 yang dikutip dari sumbangan ikhlas penghuni rumah murah kepada keluarga Erik Umbol yang mengalami kebakaran rumah pada Selasa lepas.

Jumlah sumbangan itu tidak termasuk sumbangan ikhlas daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Liawan Datuk Haji Sairin Haji Karno dan pemimpin-pemimpin masyarakat di kawasan ini.

Pengerusi JKDB itu berkata, risiko kemusnahan rumah dan harta benda di kawasan kebakaran boleh kurangkan jika pili bomba berfungsi dengan baik.

Walau bagaimanapun katanya, penduduk di kawasan perumahan itu merakamkan penghargaan kepada anggota bomba dan penyelamat yang berjaya mengawal kebakaran itu dari merebak di rumah yang berhampiran.

Dalam masa yang sama Lee meminta pihak yang berkenaan agar mendirikan mini dewan serbaguna di kawasan perumahan itu bagi keperluan penduduk setempat.

Katanya, dewan serbaguna perlu didirikan di kawasan ini kerana selain keperluan pada majlis-majlis keramaian ia juga amat penting untuk dijadikan tempat tinggal sementara bagi penduduk yang di timpa bencana seperti keluarga Erik Umbol.

Tiada ulasan: