Selasa, 1 Mac 2011

2 Pelajar Kolej Berasmara Dicekup Di Paka

SINAR HARIAN ONLINE

Paka - Dua pelajar kolej swasta yang dilamun cinta sanggup menjadikan khemah yang dibina untuk aktiviti barbeku sebagai lokasi memadu asmara bersama kekasih mereka.

Perbuatan tidak bermoral itu berjaya dibongkar sepasukan Pegawai Penguat kuasa Syariah setelah menerima maklumat daripada orang ramai, sebelum melakukan serbuan berhampiran lokasi peranginan dekat sini, kira-kira jam 4 pagi semalam.

Bagaimanapun, mereka yang dicekup ketika berada dalam khemah dipercayai berselindung di sebalik aktiviti barbeku itu cuba mempertahankan perbuatan salah mereka.

Namun kegagalan menunjukkan sebarang dokumen untuk membuktikan pertalian muhrim serta keadaan yang boleh menimbulkan syak itu membolehkan kesemua pasangan terbabit diambil tindakan atas kesalahan khalwat.

Hasil soal siasat, salah seorang daripada gadis terbabit dikatakan menumpang di rumah sewa milik seorang rakannya yang ditahan itu dan mereka berkunjung ke pantai berkenaan untuk melakukan acara santai.

Dua gadis yang menuntut di kolej swasta serta dua remaja lelaki itu bakal menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Negeri Terengganu kerana berkhalwat.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun.

Sinar Harian difahamkan, hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Dungun ke atas pasangan lelaki terbabit turut mendapati keduanya positif dadah jenis Methapethamine dan ditahan untuk siasatan lanjut. -SH

Tiada ulasan: