Jumaat, 30 April 2010

Laporan saksi cetus tanda tanya remaja ditembak, kata MP Khalid

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


SHAH ALAM — Dengan mendedahkan kandungan laporan saksi insiden Aminulrasyid Amzah, 15, mati ditembak, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (gambar) meminta polis menghentikan segala ‘drama’ berkaitan kematian remaja tersebut awal minggu ini.

“Ini kerana laporan yang dikeluarkan media bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh saksi kejadian.

“Bagaimana seorang yang sudah meninggal dunia boleh mengundurkan kenderaan dipandunya?” kata beliau pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

“Dan, bagaimana parang boleh ada dalam kereta sedangkan cuma ada kasut dan patung sahaja? Ini memang tidak logik,” katanya lagi. Persoalan itu juga ditimbulkan oleh ibu Aminulrasyid beberapa hari lalu.

Khalid berkata, menurut saksi kedua, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor malam tadi, jiran mangsa itu mengatakan ketika hari kejadian dia terdengar bunyi tembakan kira-kira pukul 1.30 pagi.

Dia membuat laporan polis kira-kira 10.30 malam tadi.

“Pada mulanya saya menyangka bunyi mercun tetapi bunyi tersebut semakin kuat dengan rumah saya dan ia diselangi dengan bunyi siren polis.

“Kemudian saya terdengar bunyi dentuman yang kuat seperti ada objek yang melanggar dinding dan saya terus keluar dari rumah dan melihat dua buah kereta peronda mengepung sebuah kereta yang terbabas.

“Saya terus meluru keluar ke tempat kejadian dan ternampak seseorang (saksi utama) berlari ke arah saya serta terdengar polis menjerit kepada individu tersebut supaya jangan lari,” kata Zafrullah dalam laporannya, yang salinan turut diedarkan kepada media.

Dalam laporannya dia mendakwa “saya mendapati kereta tersebut sudah terbabas dan melihat seorang lelaki berpakaian kemeja-T dan seluar pendek dalam keadaan muka tersembam di tempat duduk pemandu.”

Selain itu menurut Zafrullah Ahmad, dia melihat polis menggeledah kenderaan itu dengan menyuluh bahagian dalam kereta dengan menggunakan lampu suluh tetapi tidak melihat sebarang objek dalam kereta itu dialihkan atau dibawa masuk.

“Semasa polis menggeledah saya tidak nampak sebarang objek dalam kereta itu dialihkan ataupun dibawa masuk.

“Kemudian polis menyuruh kami (penduduk) berundur kira-kira lima meter dari tempat kejadian dan mereka memasang pita kuning di kawasan kejadian.

“Saya juga lihat dua anggota polis menyuluh dan menanda kesan tembakan di sepanjang kawasan kejadian. Kira-kira pukul 3.30 pagi seorang anggota polis mengarahkan orang awam untuk beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam laporan polis yang dibuat.

Aminulrasyid, 15, mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan Seksyen 11 Shah Alam awal pagi Isnin lalu.

Khalid berkata, bagaimana polis boleh membuat siasatan dan kesimpulan tanpa mendapatkan keterangan daripada saksi.

“Polis buat siasatan tetapi tanpa saksi. Jadi bagaimana siasatan itu dibuat tanpa mendapat pengakuan daripada saksi terlebih dahulu?

“Saksi cerita lain tetapi dalam media dilaporkan lain, saya sendiri yang bawa saksi ke balai polis untuk membuat laoran dan dia telah menceritakan perkara sebenar kepada saya.

“Jadi, saya harap polis boleh membetulkan kembali segala kenyataan yang memberikan gambaran buruk kepada Allahyarham Aminulrasyid,” katanya.

Beliau turut membidas kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar supaya ahli politik tidak masuk campur dalam kejadian tersebut.

“Ahli politik ada tanggungjawab untuk ambil berat akan kes ini lagipun saya sebagai Ahli Parlimen tidak boleh buat tidak tahu sahaja.

“Ini kawasan saya, jadi saya mesti ambil tahu dan bertanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya sambil menambah, beliau bukan mahu mempolitikkan perkara itu.

“Saya mahu kebenaran didedahkan dan mangsa yang terkorban mendapat pembelaan yang sepatutnya,” katanya.

Khalid juga merayu orang ramai yang melihat kejadian itu supaya memberikan keterangan kepada polis supaya proses siasatan dapat dijalankan dengan dengan baik.

“Saya mahu orang ramai yang melihat kejadian supaya menjadi saksi dalam kes ini dan sekiranya takut untuk pergi seorang diri mereka boleh berjumpa dengan saya.

“Ini kerana saya yakin ramai yang melihat kejadian itu, dan saya amat berharap mereka tampil ke hadapan dan memberikan keterangan bagi mendapatkan keadilan bagi pihak mangsa dan keluarga,” katanya.

Tambahnya, tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang yang bersedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat adalah tidak profesional.

“Kalau itu kenyataan yang dikeluarkan, saya rasa lebih baik beliau meletakkan jawatan.

“Rakyat tegur kerana mahu penjelasan dan beliau perlu memberikan respons wajar dan profesional,” katanya lagi.

Sementara itu, ibu kepada Aminulrasyid, Norsiah Mohamad berkata dia masih belum membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat guaman kerana memerlukan masa untuk berbincang bersama ahli keluarga.

“Saya belum buat keputusan untuk mengambil peguam dari mana kerana kena berbincang dahulu dengan ahli keluarga,” katanya.

Kerajaan perlu halang doktor muda ‘hijrah’ ke luar negara

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Kerajaan perlu menghalang graduan perubatan baru, terutamanya penerima biasiswa, daripada bekerja di luar negara dan “melepaskan diri” daripada melaksanakan khidmat wajib doktor pelatih atau pegawai perubatan selama tiga tahun di Malaysia, kata pakar perubatan Prof Datuk Dr Lokman Saim.

Dr Lokman, yang merupakan Dekan Fakulti Perubatan dan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata jumlah graduan perubatan berhasrat bekerja di Singapura tahun ini semakin ramai dan ia berlaku sejak lima tahun lepas apabila Majlis Perubatan Singapura mengiktiraf ijazah perubatan UKM dan Universiti Malaya.

“Kerajaan patut hanya membenarkan doktor-doktor yang dilatih di fakulti perubatan kerajaan, bekerja di luar negara setelah berkhidmat tiga tahun yang diwajibkan di Kementerian Kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya seramai 20 daripada 209 graduan perubatan UKM yang lulus pada 26 Mac lalu telah menerima tawaran sebagai doktor pelatih di Singapura dan ramai lagi graduan Fakulti Perubatan UM sedang mencari rezeki di republik itu.

Dijangkakan seramai 80 graduan akan meninggalkan negara ini untuk bekerja di hospital-hospital Singapura, kata Dr Lokman

Beliau berkata para doktor muda itu sepatutnya membalas jasa di atas peluang yang diberikan kepada mereka untuk dilatih menjadi doktor berkhidmat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan bukannya menjadikan “UKM dan UM seolah-olah tempat latihan untuk Kementerian Kesihatan Singapura”.

“Adalah perlu bagi kerajaan menyekat doktor-doktor baru dilatih daripada lari melaksanakan kewajiban terhadap negara,” kata Dr Lokman. Doktor pelatih di Singapura ditawarkan gaji bulanan S$2,690 (RM6,187) manakala di Malaysia, mereka menerima RM3,665 dengan purata elaun “on-call” antara RM500 hingga RM1,000 sebulan.

“Nampaknya mereka walaupun dilatih untuk menjadi seorang doktor yang berhati mulia dengan berkhidmat kepada pesakit dan masyarakat seperti yang diajar di dalam kurikulum perubatan kita, perbezaan RM1,000 hingga RM2,000 boleh menyebabkan profesional muda meninggalkan tanggungjawab mereka kepada negara untuk berkhidmat di negara jiran,” kata Dr Lokman. — Bernama

Agihan kerusi seimbang bantu BN menang'

'Salhan K Ahmad



Pengagihan kerusi seimbang di kalangan kaum Melayu, Cina dan India digariskan sebagai salah satu daripada lima penyumbang utama kemenangan BN dalam pilihan raya kecil Hulu Selangor, kata ketua penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata, Pakatan Rakyat tidak membuat pertimbangan seperti itu, menyebabkan calon PKR Datuk Zaid Ibrahim tewas dalam pilihan raya kecil itu hujung minggu lalu.

"Kita lebih adil daripada pembangkang. Adilnya BN sebab letakkan calon India di Hulu Selangor," katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Jelasnya, seramai 52.7 peratus masyarakat Melayu diwakili oleh dua orang ADUN, bagi 50 peratus daripada jumlah kerusi di kawasan itu.

Seramai 26.3 peratus masyarakat Cina pula diwakili oleh seorang lagi ADUN, manakala kerusi parlimen pula diberikan kepada calon India, mewakili 14.3 peratus daripada masyarakat itu, katanya.

"Pembangkang letak calon Cina di DUN Kuala Kubu Bahru pada 2004. Pada 2008, mereka ambil tiga calon Melayu - 75 peratus daripada kerusi sebab letakkan tiga calon Melayu.

"Ini bermakna mereka tidak menghormati orang Cina. Yang adil sebenarnya ialah BN, jadi keadilan (dalam nama PKR) itu boleh buanglah sebab tidak adil," katanya.

Turut digariskannya ialah "kesepaduan jentera BN" termasuk jentera angkat dari kawasan dan juga negeri, selain usaha pengerusi parti itu sendiri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga turun padang untuk mendekati pengundi.

Menurut Ahmad lagi, kegagalan ahli parlimen terdahulu dalam membangunkan kawasan itu juga menyumbang kepada kemenangan BN, termasuk tahap pencapaian kerajaan negeri Selangor bawah Pakatan.

Kelima, katanya, ialah faktor calon BN (P Kamalanathan) orang Rawang yang terletak berdekatan dengan Hulu Selangor.

'Dia telah lakukan yang terbaik untuk berjumpa pengundi, jadi dia nampak sebagai calon yang dedikasi.

"(Zaid Ibrahim) masih dengan stigma bahawa dia orang Kota Bharu," kata Ahmad.

IGP minta Zul buat laporan polis terhadap Malaysiakini

MALAYSIA KINI



Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin perlu membuat laporan polis terhadap Malaysiakini jika mahu portal berita itu disiasat, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Tanpa laporan, kita tak tahu siapa betul dan salah sebab semua orang nak bercakap," katanya kepada pemberita di Pusat Darah Negara di ibunegara semalam.Musa dipetik oleh Utusan Malaysia mengulas tulisan dalam blog ahli parlimen Bebas itu, yang menggesa pihak berkuasa supaya mengambil tindakan terhadap portal berita itu, yang didakwanya "bertindak seolah-olah mereka golongan yang tidak boleh disentuh".

Tulisan Zulkifli itu mengulas kenyataan ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong Khamis lalu yang mengecam Malaysiakini kerana melaporkah khabar angin yang beliau akan melompat dari PKR.

Wee telah menuduh Malaysiakini sebagai "tidak profesional" kerana didakwanya menyiarkan dakwaan yang tidak benar yang beliau akan lompat parti dan berkata lamanweb itu telah dikelirukan oleh "little Napoleon" dalam PKR.

'Tak jerit pun boleh jadi MP baik'

BERNAMA



Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang berkata alasan DAP supaya wakil pembangkang dari Sarawak dipilih ke Dewan Rakyat kerana mereka lebih lantang bersuara tidak berasas kerana cara itu bukannya berkesan.

Sebalik, kata beliau, pendekatan oleh anggota parlimen daripada BN dari negeri itu yang lebih mementingkan perbincangan dan kemesraan dengan pemimpin-pemimpin pusat terbukti membawa hasil.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin-pemimpin DAP yang menyeru penduduk Sibu memilih calon daripada parti itu dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu pada 16 Mei ini, yang kononnya lebih berani untuk bersuara di Dewan Rakyat berbanding calon BN yang takut membawa isu yang boleh menimbulkan kemarahan pemimpin-pemimpinnya termasuk Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Salang memberitahu Bernama bahawa sesetengah wakil rakyat pembangkang khususnya yang mewakili kawasan bandar bernasib baik kerana kawasan yang mereka wakili itu tetap akan menikmati kemajuan yang dibawa oleh kerajaan BN.

"Sebaliknya terdapat banyak kawasan lain yang tidak mendapat perhatian seperti ini, dan sebab itulah wakil rakyatnya perlu mendekati kerajaan untuk menyuarakan hasrat rakyat, tanpa perlu menjerit-jerit atau menunjuk rasa marah," katanya.

Mengenai Sibu, Salang berkata, wakil rakyatnya termasuk mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang menjadi anggota parlimen di situ sebelum beliau meninggal dunia pada 9 April lepas, telah berbincang dengan kerajaan pusat dan negeri bagi membawa kemajuan dan mengatasi masalah penduduk di situ termasuk isu banjir.

"Bukan masalah banjir saja yang kita bincangkan tetapi juga bagaimana hendak mengatasi kelodak di Sungai Rajang yang menyebabkan banjir itu," katanya.

Hasilnya, kerajaan telah menyediakan peruntukan awal RM230 juta untuk mengatasi masalah kelodak itu secara sistematik, kata Salang.

Beliau berkata projek lain yang telah diluluskan ialah pembesaran Lapangan Terbang Sibu dengan kos RM150 juta dan Jalan Kanowit-Kapit dengan harga RM700 juta.

"Yang penting di sini ialah kita mampu mencari penyelesaian secara efektif dengan pendekatan yang mesra dan bukannya menjerti-jerit," kata Salang.


MP seru lebih ramai saksi kes Aminulrasyid tampil

Jimadie Shah Othman



Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad, menyeru lebih ramai saksi kes pelajar - Aminulrasyid Amzah - yang kena tembakan polis, tampil memberikan maklumat berhubung kejadian pada awal pagi Isnin itu.

Katanya, langkah itu dapat membantu polis mendapat gambaran menyeluruh berhubung kejadian tersebut, sekaligus dapat menyelesaikan siasatan mereka dengan segera.

Khalid berkata, mungkin ramai lagi saksi dalam kes tersebut, seperti pelanggan di restoran berdekatan tempat kejadian, tidak tampil ke hadapan kerana merasakan maklumat mereka tidak relevan.

"Saya menyeru dan berharap lebih ramai saksi (pada malam kejadian) dapat tampil menceritakan apa yang berlaku.

"Jangan anggap maklumat yang ada pada mereka, walaupun sedikit, tidak relevan kepada kes tersebut," katanya ketika mengulas laporan polis berhubung kejadian tersebut, yang dibuat oleh seorang jiran arwah malam tadi.

Jiran arwah tersebut - Zafrullah Ahmad Zainal Abidin - yang mendakwa berada di tempat kejadian selepas insiden berlaku, membuat laporan di ibu pejabat polis daerah (IPD) Shah Alam di Seksyen 11 pada jam 10 malam tadi.

Beliau ditemani peguamnya Fadiah Nadwa Fikri dan empat lagi peguam daripada kumpulan peguam Lawyers for Liberty. Khalid turut hadir mengiringinya Zafrullah bagi tujuan itu malam tadi.

Dalam aduannya itu, Zafrullah Ahmad mendakwa melihat keadaan mangsa dan kereta arwah sejurus selepas kereta yang dipandunya terbabas dalam parit di Jalan Makyong, berdekatan dengan rumahnya di Jalan Silat Gayong.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Khalid turut menolak gesaan sesetengah pihak supaya ahli politik tidak membabit diri dalam kontroversiti tersebut.

"Saya rasa apa yang dimakudkannya itu ialah (supaya ia) tidak dipolitikkan. Sebagai ahli parlimen, kejadian menimpa penduduk dalam kawasan saya, mestilah saya turut terlibat," katanya.

Khalid akan akan mengadakan sidang media petang sebagai respons kepada langkah Zafrullah membuat laporan tersebut.

Sementara itu, Fadiah Nadwa memberitahu, anak guamnya tampil membuat laporan tersebut bertujuan membantu siasatan pihak pilis dalam kes tersebut.

"Sebelum ini beliau agak sibuk sedikit, masih belajar. Lagi pun beliau menunggu peguam untuk hadir bersama-sama (membuat laporan polis)," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam perkembangan berkaitan, polis hari ini dilaporkan telah menghantar kertas siasatan berhubung kes tersebut kepada timbalan pendakwa raya (DPP) bagi tindakan selanjutnya.

Operasi Potong Air Bil Tertunggak Mulai Esok Di Selangor, KL

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan mengadakan operasi pemotongan bekalan air bagi bil tertunggak mulai esok hingga 15 Mei ini di beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor.

Antara kawasan yang terlibat ialah wilayah Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Langat, Sepang dan Hulu Selangor, kata Syabas dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang belum menyelesaikan bil tertunggak mereka diminta berbuat demikian dengan segera kerana jika pemotongan dilakukan, mereka akan dikenakan kos pemotongan dan penyambungan semula sebanyak RM50.

Kenyatan itu berkata, pembayaran bil tertunggak boleh dibuat di semua pejabat Syabas, pejabat TNB, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Telekom Malaysia, Majlis Perbandaran Klang, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Pos Malaysia.

Bayaran juga boleh dibuat di kaunter bank HSBC, Public Bank, RHB Bank, CIMB Bank, Maybank, Agro Bank, Citibank, EON Bank, AmBank, Hong Leong Bank, Bank Islam, Affin Bank, Bank Kerjasama Rakyat, Bank Simpanan Nasional dan Mbf Cards Services.

65 Jemaah Umrah Dari Langkawi Dakwa Ditipu

BERNAMA

LANGKAWI: Hasrat 65 jemaah Langkawi untuk menunaikan umrah ke Mekah tidak kesampaian, apabila sebuah syarikat pelancongan yang beribu pejabat di Sungai Buloh, Selangor yang menawarkan pakej itu didapati 'ghaib'.

Wakil kumpulan jemaah, Zinuddin Mahmud, 48, berkata, mereka menyedari ditipu apabila syarikat terbabit gagal menyediakan penerbangan yang dijadual berlepas pukul 3 petang semalam dari Kuala Lumpur seperti yang dijanjikan.

Katanya, pelbagai alasan diberi oleh wakil syarikat berikutan dengan penerbangan yang beberapa kali telah ditunda sejak 23 April lepas.

"Semua 65 jemaah Langkawi yang terkandas, telah pulang ke Langkawi malam tadi dan hari ini," katanya di sini hari ini.Katanya, setiap jemaah itu hanya dikenakan RM2,500 untuk menunaikan umrah manakala baki kos kononnya akan ditaja oleh pihak tertentu.

Zinuddin berkata, syarikat berkenaan juga didapati tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kumpulan terbabit telah membuat laporan polis di Langkawi untuk tindakan lanjut.

H1N1: Satu Lagi Kematian Melibatkan Lelaki 40 Tahun

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Satu lagi laporan kematian berkaitan virus influenza A (H1N1) diterima Kementerian Kesihatan hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Beliau berkata, bagaimanapun penyebab kematian lelaki berusia 40 tahun itu bukan jangkitan H1N1 secara langsung.

"Ini menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini kekal 81 orang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki itu mempunyai faktor risiko tekanan darah tinggi dan terlibat dengan kemalangan kenderaan seminggu sebelum dimasukkan ke wad.

Dr Mohd Ismail berkata, lelaki terbabit dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 26 April lepas selepas mengalami masalah pernafasan, demam, batuk serta pertuturan yang tidak difahami dan dia meninggal dunia pada hari yang sama.

Beliau berkata, walaupun kes itu disahkan positif jangkitan virus H1N1 melalui ujian PCR, lelaki itu juga mengalami jangkitan bakteria dalam darah dan kematian adalah akibat komplikasi "septic shock with multi-organs failure".

Mengenai jumlah kes terkumpul, Dr Mohd Ismail berkata sehingga 5.30 petang semalam sejumlah 71 kes disahkan influeza A(H1N1) dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes itu kini ialah 13,673.

Sehingga pukul 8 pagi ini, sebanyak enam laporan kejadian kluster ILI dilaporkan di empat negeri iaitu Sarawak, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad di seluruh negara ialah 587 kes dan daripada jumlah itu 70 kes (11.9 peratus) disahkan positif influenza A (H1N1).

Tujuh kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan lima daripadanya mempunyai faktor-faktor risiko, katanya.

"Majoriti kematian yang dikaitkan dengan jangkitan virus H1N1 melibatkan mereka yang mempunyai faktor-faktor risiko seperti asma, diabetes, penyakit buah pinggang, penyakit jantung, penyakit paru-paru, ibu mengandung dan kegemukan.

"Oleh itu orang ramai yang mempunyai faktor risiko dinasihat supaya segera mendapatkan pelalian vaksin H1N1 di 104 fasiliti kementerian di seluruh negara," katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web kementerian di alamat http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline kementerian di talian 03-88810200/0300.

Tiga Wakil Kaum Di Selangor Buat Laporan Polis Ke Atas Nizar

BERNAMA

SHAH ALAM: Tiga wakil kaum utama di Selangor hari ini membuat laporan polis ke atas Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kerana didakwa menyampaikan ceramah politik yang berbau hasutan semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Bekas Menteri Besar Perak itu didakwa membuat hasutan itu semasa berceramah di hadapan masyarakat Cina di Kg Baru Kalumpang pada 17 April lepas dan kenyataan beliau mengenai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa di dalam ceramah itu telah dijadikan video klip dan tersebar di internet.

Laporan ke atas Mohammad Nizar itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini pada pukul 1.15 tengah hari tadi oleh Pengerusi Majlis Belia Daerah Hulu Selangor Zulkarnain Abu Hanit, Pengerusi Majlis Belia India Malaysia Sg Pelek, M.Ramesh dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan Kg Baru Seri Dengkil, Chan Meng Foh.

Zulkarnain berkata, perbuatan menghasut orang Cina di penempatan Cina adalah perbuatan politik yang melampau dan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mohamad Nizar itu berniat jahat.

"Kalau nak menang pun jangan ganggu keharmonian antara kaum di Hulu Selangor. Orang luar bawa kebencian boleh membangkitkan masalah antara masyarakat," katanya kepada pemberita.

Ramesh pula berkata, beliau tidak bersetuju dengan apa yang dikatakan Mohammad Nizar pada ceramah itu kerana ia boleh menimbulkan pergaduhan antara satu bangsa dengan bangsa yang lain.

Chan pula berkata, kenyataan Mohammad Nizar boleh mengeruhkan hubungan antara kaum dan kerajaan mesti mengambil tindakan tegas.

Peguam Negara Arah Polis Buat Siasatan Lanjut Kes Aminulrasyid

BERNAMA

SHAH ALAM: Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, Peguam Negara mengarahkan polis melakukan siasatan lebih lanjut berhubung kes seorang remaja lelaki, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati terkena tembakan polis pada Isnin lepas.

Beliau berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pihak Peguam Negara meneliti kertas siasatan yang telah diserahkan oleh polis Selangor hari ini.

"Selepas kita laksanakan arahan ini, kita akan serahkan semula kertas siasatan kepada pihak Peguam Negara pada minggu hadapan untuk diteliti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pagi ini dilaporkan berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah dihantar kepada pihak Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya hari ini.

Musa berkata, polis juga mengalu-alukan inkues dijalankan berhubung kes berkenaan bagi mengetahui kejadian sebenar dan punca insiden itu.

Khalid berkata, sehingga hari ini keterangan lebih 20 saksi telah direkodkan bagi membantu siasatan.

Mereka termasuk anggota keluarga allahyarham Aminulrasyid dan penunggang motosikal yang dikatakan berlanggar dengan kereta yang dipandu remaja itu.

Bagaimanapun beliau berkata, setakat ini pemandu kereta yang dikatakan dilanggar oleh allahyarham belum tampil untuk membantu siasatan.

Khalid berkata, seorang lagi saksi kejadian yang juga jiran kepada Aminulrasyid telah tampil membuat laporan polis dan keterangannya diambil di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini malam tadi.

Pada kejadian pukul 2 pagi itu, Aminulrasyid mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri ketika terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan Seksyen 11 di sini. -

Amy Search Diperintah Bayar RM18,000

MSTAR ONLINE

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan Amy Search membayar ganti rugi sebanyak RM18,000 kepada Nik Muhammad Zakwan, 4, selepas bahagian belakang badan kanak-kanak itu melecur akibat kecuaian pekerja Restoran Cheng Ho milik penyanyi itu.

Ketika mahu meminta komen Amy menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) hari ini, dia yang baru tiba dari Pulau Pinang kerana menjayakan sebuah persembahan semalam enggan memberikan sebarang komen kerana belum bertemu dengan peguamnya.

Pada 24 September 2008, Nik Zahir Nik Mohd. Idris memfailkan saman bagi pihak anaknya, Nik Muhammad Zakwan, 4, kerana mendakwa pekerja Restoran Cheng Ho milik Amy di Wangsa Maju cuai sehingga menyebabkan bahagian belakang badan anaknya melecur.

Dalam saman itu, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 51, sebagai pemilik restoran Cheng Ho, di mana kejadian itu berlaku, telah dinamakan sebagai defendan.

Pemuda PR, NGO Bawa Kes Aminurashid Ke Suhakam

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Pemuda Pakatan Rakyat(PR) dan badan-badan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) akan membawa kes remaja yang ditembak polis peronda agar Suhakam memberi perhatian terhadap kes ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan(AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam kenyataan medianya berkata, mereka akan membawa kes tersebut kepada Suhakam pada Isnin ini, jam 2.30 petang agar dapat membuat desakan berterusan ke atas salah laku polis melalui insiden malang ini.

Shamsul dalam pada itu kesal engan insiden yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid Amzah, pelajar berusia 15 tahun yang ditembak mati oleh polis pada 26 April 2010 yang lepas.

"Insiden ini berlaku dalam keadaan kes yang melibatkan Norizan Salleh dan Allahyarham Tawfiq Noorzan masih gagal diselesaikan oleh pihak PDRM dan Kementerian Dalam Negeri.

" Apa yang lebih mengecewakan ialah tindakan pihak polis yang kelihatan bermain tarik tali dengan insiden sebenar yang membelenggu tiap-tiap kes," kata Shamsul.

Menurut Shamsul, alasan berterusan yang diberikan ialah mereka 'hanya menjalankan tanggungjawab' yang menjadikan nyawa manusia sebagai galang ganti kecuaian mereka.

"AMK melihat pihak polis seolah-olah tidak belajar daripada kesalahan yang lepas. Justifikasi yang memuaskan secara berterusan gagal diberikan," tegas beliau.

AMK dalam pada itu mempersoalkan mengenai etika pengendalian kes-kes yang memerlukan tembakan dibuat seperti yang terkandung di dalam Arahan-arahan Tetap Ketua Polis Negara tidak diberi penekanan oleh anggota polis.

Bagi beliau, rentetan kes yang berlaku ini jelas menampakkan keperluan Kerajaan untuk menyegerakan kewujudan IPCMC sebagaimana yang didesak oleh Pakatan Rakyat sekian lama.
Bagi Shamsul, salahlaku polis semakin berleluasa, dan adalah sesuatu yang sangat malang sekiranya kes salahlaku polis juga disiasat oleh polis.


AMK, dengan solidariti Dewan Pemuda Pas Pusat serta Pemuda Sosialis DAP di bawah panji Pemuda Pakatan Rakyat dengan itu telah menggesa agar Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara, dan Ketua Polis Negeri Selangor meminta maaf kepada keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah secara terbuka tanpa kompromi.

Selain itu, mereka juga mahukan sebuah Suruhanjaya Bebas segera diwujudkan untuk menyiasat kes ini pada kadar segera.

Pemuda Umno-BN dan juga badan-badan pro-Melayu seperti Perkasa juga perlu menyatakan ketetapan mereka mengenai kezaliman yang menimpa Allahyarham Aminulrasyid ini,apakah mereka turut menentang atau bersetuju dengan pembunuhan beliau.

Kenyataan Ketua Polis ‘Terdesak’

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang meminta ahli-ahli politik mengelak dari mengulas insiden remaja 15 tahun mati ditembak polis amat dikesali.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menganggap kenyataan ketua polis negeri itu merupakan percubaan terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat daripada mempersoalkan integriti polis.

Beliau berkata, kejadian malang yang menimpa Aminulrasyid itu telah memberi gambaran yang lebih buruk dan memperi persepsi negetif rakyat terhadap kerajaan dan polis di Malaysia.

Bagi beliau tindakan yang diambil oleh ahli politik hanya bersifat untuk memberi pembelaan dan keadilan bagi mangsa dan keluarganya.

Terdahulu, Khalid meminta semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak campur tangan dalam siasatan polis berhubung insiden tersebut.

Beliau dalam kenyataannya berkata campur tangan sedemikian hanya akan mengganggu siasatan.

Blogger dicabar dedah Individu Terbabit

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Blogger, Kickdefella dicabar untuk mendedahkan individu yang terbabit dalam gerak saraf PAS dengan peruntukan RM4 Juta bagi mewujudkan persepsi buruk terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Badawi.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Shaari berkata, blogger terbabit perlu mendedahkan dalang sebenar sebelum ia dibincang di peringkat kepimpinan PAS negeri.

Kickdefella atau nama sebenarnya Syed Azidi Syed Abdul Aziz sebelum ini membuat dakwaan beliau dibayar 4 juta untuk memburukkan imej Abdullah Badawi selepas beberapa pihak termasuk Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan mempertikaikan sumbangannya terhadap parti tersebut.

Syed Azidi juga mendedahkan sepanjang hanpir tiga tahun berkhidmat di kelantan, beliau membelanjakan hampir RM4 juta untuk membiayai pelbagai aktiviti termasuklah pembelian aset, peralatan, Pembayaran Upah Peratif, pencetakan dan lain-lain yang bertujuan menggerakkan satu Operasi Gerak Saraf dalam tulisan bertajuk 'Saya yakin Nik Aziz akan kena dakwa".

‘Santa Klaus’ Bakal Terbang Ke Sibu

Oleh Roziyah Mahamad

KUALA LUMPUR : Berita baik untuk rakyat Sibu kerana'Santa Klaus' akan berpindah ke Sibu dan sudah pasti banyak hadiah akan diberikan kepada penduduk Sibu tidak lama lagi.

"Sibu bakal menjadi habuan dan durian runtuh tidak lama lagi," kata Ketua Penerangan PAS Melaka dalam blognya.

Beliau dalam blognya berkata pasti Sibu bakal mendapat peruntukan yang selama ini tidak mereka terima hanya kerana Pilihan Raya (PRK) Parlimen Sibu yang akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Beliau berkata antara perkara yang mungkin diterima orang Sibu seperti beberapa biji sekolah baru atau tambahan. Jalanraya baru dan yang dibaiki, bantuan untuk orang miskin, dan pelbagai lagi bantuan yang selama ini mereka impikan.

"Tahniah untuk orang Sibu. Saya yakin anda tahu siapa yang mungkin mengurniakan perkara-perkara di atas kepada penduduk Sibu.

"Semuanya hanya kerana Pilihanraya kecil di Sibu. Kalau tiada Pilihan Raya kecil jangan harap," kata Sofi lagi.

1Malaysia gagal raih undi Cina


mustafa_ali_bernama Oleh Rahmah Ghazali


KUALA LUMPUR: Walaupun Barisan Nasional memenangi pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor tetapi masih ada yang merisaukan pakatan pemerintah iaitu mengenai pengundi Cina.

Setiausaha agung PAS Datuk Mustapha Ali berkata, 70 peratus pengundi Cina telah mengundi calon PKR Datuk Zaid Ibrahim memberikan isyarat jelas mereka tidak terpesona dengan konsep 1Malaysia ciptaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Mereka fikir konsep 1Malaysia yang dicanangkan oleh pemimpin BN memalukan tidak seperti konsep keadilan Pakatan Rakyat ," Mustapha memberitahu wartawan di ibu pejabat parti itu di sini baru-baru ini.

Beliau juga merasa pengundi bosan dengan krisis kepimpinan MCA dan isu perkauman yang dimainkan oleh Umno.

"Mereka mungkin kecewa dengan (kenyataan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin," katanya merujuk kepada kenyataan kontroversi "Saya Melayu pertama, Malaysia kedua" mengejutkan ramai kaum minoriti di negara ini.

Dalam pilihanraya kecil itu, ramai pengundi Cina mengundi pembangkang terutama di bandar utama seperti Kalumpang, Kuala Kubu Baru dan Rasa.

Tiga alasan utama Pakatan kalah

Mustapha berkata, BN memfokuskan tiga kawasan utama untuk melemahkan kekuatan PKR iaitu peneroka Felda, Orang Asli dan orang India di estet.

"Di Felda, kita boleh kata 60 peratus mengundi BN dan berikutan penempatan semula Orang Asli di mana saluran mengundi satu tempat, jentera parti dapat mengawal mereka dengan mudah.

Begitupun, PKR masih menembusi kawasan bandar dan pinggir bandar Melayu di kubu kuat Umno terutama di Hulu Bernam.

"PKR menerima undi lebih banyak dari BN di kawasan ini tetapi di kawasan Felda merupakan simpanan tetap kepada mereka ketika pilihanraya," katanya.

Mustapha berkata sebagai contoh, penyokong Melayu di Felda Sungai Buaya berpaling arah kepada BN apabila kerajaan mengumumkan pembinaan lebuhraya bertingkat di kawasan itu selepas menunggu 15 tahun.

Ini bermakna pemaju yang mengambil tanah dari bekas peneroka masih boleh membayar baki pampasan yang begitu lama tertunggak.

Dua ribu anggota polis untuk PRK Parlimen Sibu

BERNAMA


rhino7 KUCHING: Seramai 2,000 anggota polis akan ditempatkan untuk pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Sibu bulan depan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, mereka akan dihantar dalam dua pasukan.

"Kami akan menghantar 350 anggota ke sana esok," katanya kepada wartawan selepas menyampaikan cek RM33,600 sumbangan koperasi polis dan insuran MCIS Zurich kepada Selai Aji, balu Sarjan Mejar Limbai Joseph, yang meninggal kerana masalah jantung.

Mohmad berkata, anggota selebihnya akan dihantar pada 3 atau 4 Mei dan 350 kenderaan termasuk bot dan motosikal berkuasa tinggi akan disediakan.

Beliau berkata, kawasan panas dalam parlimen tersebut telah dikenalpasti untuk pemantauan keselamatan.

Pilihanraya ini diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Robert Lau Hoi Chew pada 9 April.

Penamaan calon akan diadakan pada 8 Mei dan 16 Mei hari mengundi.


Mahkamah Tinggi bebas Gobalakrishnan

Hashim Abdullah


SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskan Ahli Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan atas tuduhan menggunakan kekerasan semasa menyertai perhimpunan Hindraf pada tahun 2007.

Menurut peguamnya, Ahmad Nizam Abdul Hamid ketika menghubungi Harakahdaily selepas perbicaraan pagi tadi berkata Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Mohd Yazid Mustapa membebaskan N Gobalakrishnan dalam rayuan perbicaraan yang dipohon oleh Jabatan Peguam Negara setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM 1,000 kepada Gobalakrishnan dalam perbicaraan pada tahun 2009.

“Gobalakrishnan dituduh di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana dikatakan melakukan kekerasan jenayah kepada pegawai polis.

“Hasil daripada keputusan mahkamah ini, N Gobalakrishnan kekal sebagai Ahli Parlimen Padang Serai dan tiada pilihan raya kecil bagi kerusi parlimen tersebut,” katanya.

Seluruh Jentera BN Hanya Mampu Raih Majoriti Kecil

Oleh Halik Zaman


TUARAN - Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri Sabah, Ahmad Thamrin Jaini menyatakan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang baru lalu tidak menggambarkan parti itu kehilangan sokongan daripada rakyat Hulu Selangor.

Malah sokongan rakyat nampak bertambah walaupun di kawasan Hulu Selangor ketiga-tiga Dewan Undangan Negeri adalah milik Barisan Nasional.

Ahmad Thamrin berkata demikian dalam sesi dialog dan analisa politik kepada 200 petugas KEADILAN cabang Tuaran yang dianjurkan oleh Datuk Kalakau Untol di Kampung Roun Topokan.

"Seluruh tenaga Umno-BN termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, semua Menteri Kabinet dan Timbalan Menteri, semua Menteri Besar dan Ketua Menteri, semua Presiden parti komponan dan disokong pula oleh projek beratus juta ringgit serta rasuah secara terang-terangan, namun kemenangan tipis yang tidak berbaloi berpihak kepada Barisan Nasional. Sepatutnya majoriti yang BN dapat tidak kurang dari 10,000 undi ke atas.

"TV1, TV2, TV3 dan Astro memainkan peranan terus mengutuk Pakatan Rakyat berhabis-habisan serta pula buat 'coverage' calon BN sehingga Kamalanathan buat roti canai, makan dan minum pun ditayangkan dalam TV. Ini satu kempen yang tidak bermaruah dan hasilnya satu kemenangan yang memalukan," tegas Ahmad Thamrin baru-baru ini.

Beliau berkata sebaliknya rakyat Malaysia berbangga dengan pencapaian undi yang diperolehi oleh calon Pakatan Rakyat.

"Sekurang-kurangnya BN walaupun menang tapi malu besar cuma mendapat majoriti 1,000 lebih sikit padahal atas tiket parti yang memerintah kerajaan kononnya 1Malaysia," perlinya.

Ahmad Thamrin menyeru kepada semua tenaga kerja Pakatan Rakyat di Sabah melipatgandakan usaha mereka bagi menghadapi jentera Umno-BNpada pilihan raya akan datang.


Kertas Siasatan Kes Remaja Ditembak Ke Pendakwa Raya

BERNAMA

SHAH ALAM - Polis telah menghantar kertas siasatan berhubung kes seorang remaja, Aminulrasyid Amzah, 15, yang mati terkena tembakan polis Isnin lepas, kepada timbalan pendakwa raya (DPP) bagi tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata pihaknya juga mengalu-alukan inkues dijalankan berhubung kes berkenaan bagi mengetahui kejadian sebenar dan punca insiden terbabit.

"Pegawai penyiasat kes ini telah hantar kertas siasatan ke DPP hari ini bagi tindakan selanjutnya, dan saya minta supaya inkuiri dijalankan dahulu untuk kita lihat sama ada terdapat justifikasi terhadap tindakan polis," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian itu di Jalan 11/2G di Seksyen 11 di Shah Alam.

Terdahulu, beliau menghadiri taklimat kes berkenaan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam.

Musa berkata beliau dimaklumkan oleh ketua pegawai penyiasat kes itu bahawa ketika kejadian, polis mengejar kereta yang dipandu remaja itu sepanjang enam kilometer dengan kadar kelajuan yang tinggi.

"Kita sedih dengan kejadian ini dan minta supaya masyarakat mengikut arahan polis jika diminta untuk berhenti bagi mengelak syak wasangka.

"Kalau tidak ada lesen pun jangan takut, paling habis pun dikenakan tindakan saman. Sekali lagi saya ingatkan jangan lari sebab kalau lari akan menimbulkan kecurigaan," katanya.

UNCAC Bakal Digunakan Panggil Saksi Malaysia Dalam Kes Scorpene

Oleh Dzulkarnain Taib


KUALA LUMPUR - Konvensyen Menentang Rasuah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersekutu (UNCAC) boleh dikuatkuasakan terhadap mana-mana tokoh politik atau individu berprofil tinggi Malaysia yang dikehendaki memberi keterangan Di Perancis berhubung siasatan kes pembayaran komisyen berjumlah 114 juta Euro dalam pembelian kapal selam Scorpene oleh kerajaan.

Joseph Breham, peguam yang membantu badan memperjuangkan hak asasi, Suaram untuk mengemukakan kes dakwaan rasuah Scorpene kepada pihak pendakwaraya Perancis berkata walaupun pemimpin kerajaan Malaysia mempunyai imuniti diplomatik dan boleh menolak untuk tidak mahu memberi keterangan namun UNCAC mempunyai kuasa yang boleh digunakan untuk membawa individu terbabit kemuka pengadilan.

UNCAC diterimapakai oleh Persidangan PBB pada 31 Oktober 2003 dan Malaysia adalah antara negara terawal yang menjadi signatori kepada konvensyen tersebut.

"Mana-mana negara yang menerimapakai konvensyen ini maka ia wajib tunduk kepada segala apa yang termaktub di dalamnya.

"Oleh itu UNCAC merupakan instrumen penting dan berpengaruh dalam usaha melawan rasuah pasda peringkat antarabangsa," kata beliau dalam temubual dengan Suara Keadilan.

Breham berada di ibu negara baru-baru ini bagi melanjutkan siasatan beliau serta mendapatkan lebih banyak berhubung isu pembayaran komisyen dalam urusan jualbeli Scorpene.

Pada sidang media yang dianjurkan oleh Suaram di Petaling Jaya tengahari tadi bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai siasatan beliau di Malaysia.

"Saya tidak boleh mendedahkan perkara ini kerana ia termasuk dalam kerahsiaan profesyen saya," kata beliau.

Breham adalah antara tiga peguam Perancis yang bekerjasama dengan Suaram untuk mengemukakan kes rasuah Scorpene yang membabitkan pembayaran komisyen berjumlah 114 juta Euro kepada Perimekar Sdn Bhd.

Syarikat tersebut dikaitan dengan penasihat politik Perdana Menteri, Abdul Razak Baginda di mana Perimekar dimiliki oleh KS Ombak Sdn Bhd yang mana isteri Abdul Razak, Mazlinda Mahzan, bekas majistret, adalah pemegang saham terbesar.

Breham berkata kes rasuah Scorpene membabitkan pembayaran komisyen memlibatkan syarikat konglomerat pertahanan milik kerajaan Perancis, DCN.

Anak syarikat DCN, Amaris terbabit dalam aktiviti pembinaan kapal selam kelas disel Scorpene yang dijual ke seluruh dunia termasuk Taiwan, Pakistan dan Malaysia.

Menjelaskan penyiasatan terhadap isu komisyen Scorpene, Breham berkata pihak pendakwaraya Perancis telah menerima laporan awal mengenai kes tersebut pada 4 Disember 2009 dan laporan susulan 23 Februari lalu.

"Sistem perundangan Perancis ada sedikit perbezaan daripada sistem di Malaysia.

"Siasatan oleh pendakwaraya kini adalah peringkat awal. Pada peringkat ini saya sebagai peguam tidak ada sebarang akses kepada apa-apa maklumat siasatan. Selepas peringkat ini sekiranya pihak pendakwaraya mendapati ada asas untuk meneruskan kes maka seorang "instruction judge' akan dilantik untuk mengendalikan kes. Ini mungkin akan memakan masa yang lama sebelum masuk ke peringkat melantik 'judgement judge' di mana bermulanya perbicaraan," jelas Breham.

Beliau juga menjelaskan isu pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu bukan menjadi fokus penyiasatan pada peringkat ini kerana bagi pihak Perancis yang terpenting adalah siasatan terhadap dakwaan rasuah oleh DCN.

Ditanya sama ada beliau risau kerajaan Malaysia akan menghalang beliau menjalankan penyiasatan Breham berharap perkara ini tidak berlaku.

Kerajaan Malaysia tidak boleh menghalang saya sebagai seorang peguam Perancis, mustahil. Saya juga berharap sistem kehakiman Perancis juga mampu menangkis sebarang bentuk tekanan bagi mempengaruhi proses siasatan.

"Pendakwaraya di Perancis bertanggungjawab kepada Menteri Kehakiman tetapi para hakim adalah amat bebas dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak," tegas beliau.

Musa Perlu Letak Jawatan Atau Dipecat Segera

Oleh Rusnizam Mahat


SHAH ALAM - Kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang mengugut menarik balik anggotanya dari menjaga keselamatan awam disifatkan sebagai angkuh, biadap dan melampaui batas.

Lantas Musa perlu meletak jawatan segera atau dipecat daripada jawatannya serta merta kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab, kata Timbalan Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pusat, Fariz Musa.

Fariz berkata AMK menggesa Musa meletakkan jawatan sebagai Ketua Polis Negara dan tidak membazirkan wang pembayar cukai sekiranya gagal memikul tanggungjawab berhubung insiden kematian pelajar berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah akibat ditembak polis 26 April lalu.

Insiden tersebut menyebabkan kemarahan rakyat kepada PDRM memuncak dengan begitu cepat.

Di dalam laman sosial facebook, hampir 40,000 menyertai kumpulan 'Kami Benci Kekejaman Polis- Justice For Aminulrasyid' yang menggambarkan tahap kemarahan warganegara terhadap kezaliman anggota polis.

Berikutan itu, Musa mengugut untuk mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal keselamatan negara sekiranya itu merupakan pilihan rakyat.

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya dalam laporan media.

Fariz menganggap Musa selaku orang nombor satu dalam PDRM tidak seharusnya membuat kenyataan berbentuk ugutan seperti itu apatah lagi beliau adalah penjawat awam dan "hamba" kepada rakyat.

"Kenyataan Musa Hassan secara jelas menunjukkan kenyataan yang tidak beretika dan bertanggungjawab. Sepatutnya beliau memberikan jaminan khidmat keselamatan yang terbaik kepada rakyat dan bukan membuat kenyataan secara semborono begitu," ujarnya ketika dihubungi Suara KEADILAN.

Menurut Fariz, Ketua Polis Negara seharusnya mengkaji dan menilai dengan lebih terperinci pendekatan yang efektif untuk memastikan insiden yang menimpa Allahyarham Aminulrashid tidak berulang.

"Ini menunjukkan Musa tidak begitu serius menangani isu ini dan perkara salah guna kuasa anggota polis bukan pertama kali berlaku sepanjang dia menjadi KPN. Kalau dia tidak sanggup memikul tanggungjawab ini, tanggungjawab itu harus dipikul dengan KPN baru yang lebih bertanggungjawab dan Musa harus meletakkan jawatan sebagai KPN," tegasnya.

Menurut Fariz, dalam kes Aminulrasyid jelas menunjukkan pihak polis tidak mematuhi prosedur dan bertindak secara melulu sehingga menyebabkan kematian remaja berkenaan.

Tambah beliau, AMK akan mengkaji kenyataan tersebut secara teliti dan tidak menolak kemungkinan untuk membuat laporan polis terhadap Musa.

"Kenyataan Musa bersifat kebudak-budakkan tetapi kita menganggap ia sebagai sesuatu yang serius apabila dia yang mengetuai sebuah organisasi keselamatan yang begitu penting membuat kenyataan yang bersifat ugutan kepada rakyat," kata beliau lagi.

Editor penyebar fitnah perlu dirotan 80 kali

Oleh LanH


SEPANJANG saya belajar ilmu kewartawanan, tidak pula saya diajar matlamat membenarkan cara (Machiavelli) yang menyebabkan wartawan dan penulis tersungkur dalam lembah kehinaan. Tetapi inilah yang berlaku hampir setiap hari jika dilihat daripada penulisan laporan dan komentar dalam media massa tanah air ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Wartawan adalah kerja mulia, tetapi wartawan sendiri menyebabkan kerjaya mereka dipandang hina. Bayangkan segala fitnah (muntahan beracun) pemimpin ditangkap muat dan disiarkan dalam akhbar tanpa ditapis atau difikir-fikirkan kebenarannya. Memang betul wartawan bagaikan posmen, menghantar maklumat daripada Y kepada Z, tetapi apakah wajar segala najis yang diposkan, dihantar kepada penerima.

Pos Malaysia pun tidak menghantar semua serahan kepada si penerima. Malah awal-awal lagi bungkusan mencurigakan ditolak. Antara ditolak adalah bahan mudah hancur, ubat-ubatan dan sudah tentu bahan letupan. Tetapi media massa kita nampaknya menerima saja bahan fitnah pemimpin E untuk diletupkan di muka pemimpin A. Dan A pula tidak langsung diberi peluang untuk menjawab. Demikianlah betapa jahatnya media massa Malaysia hari ini.

Wartawan atau penulis perlu ingat apa yang mereka sampaikan itu, dosa dan pahalanya akan mereka tanggung secara berkekalan sehingga berakhirnya kesan daripada penulisan mereka itu. Ya, ia mungkin tidak akan berakhir sehinggalah dunia ini kiamat. Jadi bayangkan berapa juta pahala atau dosa (ribuan tahun kesan positif atau negatif akibat tulisan) yang akan dihimpunkan oleh seseorang wartawan itu.

Jika seorang penulis menghasilkan karya yang menjurus kepada kebaikan, pahala kebaikan daripada usahanya itu akan terus dinikmatinya sekalipun dia sudah berada ribuan tahun dalam kubur namun seorang wartawan yang menghasilkan tulisan berupa racun fitnah, dosanya akan ditanggung berterusan sehinggalah kesan daripada tulisannya itu berakhir. Bagaimana ini akan berakhir sedang keburukan itu akan diturunkan daripada satu generasi kepada generasi lain?

Imam Syatibi Rahimahullah di dalam kitabnya ‘Al Muafaqat menyatakan: “Beruntunglah sesiapa yang mati dan mati bersama-sama dosa-dosanya, dan celaka yang berpanjangan bagi sesiapa yang mati dan dosa-dosanya terus kekal berterusan 100 tahun dan 200 tahun diazab dengannya di dalam kubur…”

Mengenai bahana menolong menyebarkan berita fitnah seperti yang berlaku setiap hari sekarang ini, Haji Ahmad Haris Suhaimi dalam kitabnya ‘Bagaimana Mendapat Pahala Hidup 7000 Tahun’ (Penerbit HRs Consultant, Singapura) antara lain menulis: “Menolong menyebarkan fitnah jahat tidak kurang besar tanggungan dosanya seperti juga orang yang mula-mula menimbulkan fitnah itu.

“Sebab itulah apabila berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. di mana orang-orang munafik mula menyebarkan berita fitnah terhadap Saiyidah Aishah r.a., suaminya iaitu Rasulullah s.a.w., maka beberapa sahabat juga (kerana terlupa) turut menyebarkan berita fitnah ini tanpa membuat penyelidikan dahulu.

“Maka setelah agak lama berlakunya penyebaran fitnah sehingga menyusahkan hati baginda s.a.w. baharulah setelah itu wahyu diturunkan untuk membersihkan Saiyidah Aishah r.a. daripada tuduhan itu. Lalu hukuman hudud iaitu rotan 80 kali dikenakan terhadap mereka yang mula-mula membawa fitnah ini dan juga MEREKA YANG MENOLONG menyebarkan fitnah ini, walaupun jika ada yang mendakwa mereka hanya menyampaikan berita itu saja.”

Sejak akhir-akhir ini media massa begitu giat menolong menyebarkan dakwaan pemfitnah. Pembuat fitnah mendakwa pelbagai perkara termasuk perkara keji seperti liwat. Tidakkah sesuatu dapat dipelajari daripada kisah Aisyah yang difitnah itu?

Jika sahabat yang tanpa sedar telah terbabit menyebarkan berita fitnah mengenai Aisyah, dikenakan rotan 80 kali, tidakkah EDITOR dan wartawan yang menolong menyiarkan berita fitnah termasuk dalam kes liwat layak DIROTAN 80 KALI?

Demikianlah betapa Islam memandang serius perkara membabitkan fitnah ini.

Selanjutnya, Haji Ahmad Haris Suhaimi menulis: “Ingatlah selalu pesanan Allah SWT kepada kita dalam menghadapi cerita-cerita yang tidak baik tentang orang lain dengan firman-Nya yang bermaksud ‘(Ingatlah) di waktu kamu menerima berita (bohong) itu dari mulut ke mulut, dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja, padahal ia di sisi Allah adalah besar’. (Surah Al-Nur Ayat 15)

“Dan ingatkan pesanan Rasulullah s.a.w. tentang maruah seorang Muslim dengan sabda baginda yang bermaksud: ‘Maruah seorang Muslim itu adalah satu lubang daripada lubang-lubang api nereka’. Ini bermaksud, jangan suka memburuk-burukkan peribadi seorang Muslim, kerana perbuatan itu seperti bermain dengan lubang-lubang api nereka.

“Apapun jika seorang Muslim itu terbukti bersalah sekalipun, kita disunatkan menutup keaibannya, melainkan kesalahannya sudah terlalu amat besar yang mana ia perlu diberitahu kepada pihak berkuasa.

“Ingatlah selalu firman Allah SWT di dalam Surah Al-Baqarah Ayat 192 yang bermaksud: “Dan fitnah itu lebih dahsyat daripada membunuh!”

Habuan Kepada Yang Berjasa!

Oleh Mohd Sayuti Omar

Baru ini Najib Razak telah menyampaikan replika cek sebanyak RM3 juta kepada sekolah Cina di Rasa. Hulu Selangor. Penyampaian itu dibuat di Putrajaya. Pemberian wang itu sebagai melunasi janji beliau semasa kempen pilihan raya kecil Hulu Selangor untuk membantu sekolah Cina di situ.

Sebelum ini belum sampai 48 jam diistyharkan menang, Kamalanthan telah menyampaikan cek RM1,000 kepada 30 bekas peneroka Felda Sungai Buaya yang tidak sempat menerimanya semasa kempen baru lalu.

Juga sebagai melunasi janji pilihan raya. Semasa kempen Najib berjanji akan memberi pampasan kepada bekas peneroka itu sebanyak RM50,000 tiap seorang. RM1,000 diberikan sebagai deposit. Yang lebihnya akan diberikan dalam bentuk bank deraf. (Diharap baki itu akan diterima peneroka dalam masa terdekat dan bukan ‘gombalan’ saja!).

Pelunasan hutang janji pilihan raya itu menunjukkan Najib bukan pembohong. Janjinya adalah janji berisi. Tentulah rakyat gembira dengan apa yang dilakukan itu. Rakyat tidak akan peduli apakah pemberian dan janji itu meyalahi peraturan atau tidak, yang penting mereka mendapat habuan. Rakyat hendak makan dan nak rasa, bukan rakyat nak dengar cerita. Rakyat tidak suka tenggelam dalam retorik.

Sekiranya Najib terus mengamalkan sikap sebegini ia boleh memberi kesan kepada Pakatan Rakyat, terutmanya orang Melayu yang mudah cair bila diberikan seringgit dua. Tetapi tidak dengan masyarakat Cina yang ambil tetapi akan mengigit jari orang yang memberi! Tak salah, kerana itulah politik! Sejak dulu lagi saya melihat politik orang Cina bijak tak macam politik orang Melayu. Apa yang berlaku mereka akan untung. Umpama naik perahu karam di depan mereka menyelam karam di belakang mereka berenang!

Berbicara bak melunasi janji atau memberi habuan ini, bukan saja rakyat di Hulu Selangor mendapat nikmat dan tuah dari Najib. Tetapi beberapa individu lain juga turut sama menerima habuah dan bahagian masing-masing. Najib kini sedang melunasi janji dan memberi penghormatan orang yang menyokongnya tanpa sangat mengira jasa mereka kepada nusa dan bangsa.

Apakah habuan itu kerana janji atas sesuatu yang dilakukan oleh individu ini atau individu ini yang menagihnya sebagai gaji atau upah, tak kisah. Yang penting selepas berlalu pilihan raya kecil Hulu Selangor Najib kini menyampai hadiah dan imbuhan.

Antara mereka yang mendapat ‘penghargaan’ dari Najib ialah Presiden Mubarak, Abu Zahar Ujang, yang dilantik menjadi Yang Dipertua Dewan Negara, Timbalan Presiden MIC, Palanivel dan bekas Ketua Angkatan Muda PKR, Ezam Mohd Noor yang dilantik menjadi senator bersama dua yang lain.

Selalunya mereka yang dilantik menjadi senator adalah mereka yang cemerlang dari berbagai bidang profesional. Seorang tokoh yang berpengalaman dan ada kebolehan. Apakah keistimewaan orang-orang ini dilantik menjadi senator. Apakah ia bermeritkan kepada ketokohan mereka ataupun kerana apa?

Saya tidak mahu merendahkan mereka. Kesemuanya ada kelebihan dan kehebatan masing-masing. Tetapi jika hendak dilihat bukan saja mereka berempat atau bertiga yang hebat, tetapi masih banyak dalam Umno dan setia dengan Umno juga layak untuk menjadi ahli senet.

Malahan mereka yang lain lebih lama dan besar jasa mereka. Tetapi kenapa mereka?
Inilah yang menjadi pertanyaan atas dasar dan merit apa mereka dipilih? Penyegeraan perlantikan mereka ini juga menyebabkan ada tuduhan mereka telah berjasa besar kepada Najib dan bukan kepada negara, bangsa dan agama.

Perlantikan senetor adalah kuasa mutlak Najib Razak sebagai Perdana Menteri. Beliau bebas untuk melantik sesiapa saja dan dari bidang apa saja. Perlantikan itu tidak boleh dipertikaikan, kerana itu kuasa prerogatif Najib sebagai PM. Tetapi begitu pun ia tentu ada meritnya.

Siapa dia Abu Zahar Ujang? Dan apakah jasa besar beliau kepada negara dan Najib dalam konteks ini? Sudah pasti ada sesuatu yang istimewa buat Najib untuk melantik Najib.

Saya akan mendedahkan satu perisitwa yang berlaku dua tahu lalu menjelang saat permilihan kepimpinan dalam Umno. Satu pertemuan di KLCC di pejabat Dr Mahathir Mohamad telah diadakan. Dalam pertemuan ini hadir beberapa bekas pemimpin Umno yang skeptikal dengan Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Pertemuan itu membincangkan mengenai cara untuk menjatuhkan Abdullah. Ia diadakan selepas Najib yang kelihatan penakut untuk mencabar kedudukan Abdullah sebagai perdana menteri. Perjumpaan itu telah mengambil konsensus untuk meregukan Tengku Razaleigh Hamzah untuk melawan rejim lemah Abdullah Ahmad Badawi. Tengku Razaliegh akan bertanding merebuat jawatan presiden manakala Muhyiddin, sebagai Timbalan Presiden.

Katanya, Abu Zahar mengetahui konsesus ini telah memaklumkan kepada Najib. Makluamt itu menyebabkan Najib gelabah dan tergesa-gesa memanggil ahli keluarganya dan juga penyokong setianya bagi membincang konsesnus itu. Selepas mendapat maklumat itu kata Najib telah mengubah sikap bersedia untuk mencabar Abdullah Badawi.

Walhasilnya apabila Najib menggerakkan jentera perang sarafnya akhirnya menyebabkan Abdullah Ahmad Badawi terpaksa membuat pengumuman berundur. Dengan itu juga konsesus untuk meregukan Tengku Razaleigh dengan Muhyiddin tidak menjadi.

Apakah kerana jasa itu maka Abu Zahar diberi penghormatan dengan melantiknya menjadi Yang Dipertua Dewan Negara? Kalau benar ini bermakna pemilihan Abu Zahar bukan kerana jasa dan kecemerlangannya sebagai seorang tokoh politik tetapi kecemerlangannya kerana telah menyelamatkan Najib Razak dari ditentang oleh Muhyiddin dan Tengku Razaleigh.

Bagaimana pula dengan perlantikan Ezam Mohd Noor? Apakah Ezam telah memberi jasa dan bantuan besar kepada Najib atau lebih besar dari Abu Zahar? Saya rasa tidak payah saya ulas panjang mengenai perlantikan Ezam ini. Ezam bukan saja pantas menjadi ahli parlimen atau ahli dewan negara, tetapi jauh dari itu. Bagi saya Ezam seorang yang mempunyai telent untuk jadi pemimpin di masa depan. Ia terserlah sejak menjadi pemimpin muda Keadilan lagi.

Apabila beliau keluar Keadilan dan menyertai Umno, beliau tidak habis-habis menyerang bekas bosnya. Ezam tidak sangat mengkritik dasar parti PKR yang disertainya, tetapi beliau membelasah Anwar Ibrahim. Di samping belasah Anwar beliau memuji Najib sebagai seorang yang bijak. Hanya dengan menggunakan kredik yang dibuat Anwar kononnya mengatakan Najib sebagai seorang bijak, Ezam menjadikan modal untuk memuji Najib.

Itulah jasa Ezam yang saya lihat sehingga beliau diangkat menjadi senator. Ertinya jasa dan kelebihan Ezam bukan pada yang lain tetapi pandai memuji dan mengkosmetikkan imej Najib. Ia ditambah dengan kritikan tidak henti-henti terhadap bekas bosnya. Mungkin atas ketrampilan itulah maka Ezam dikira Najib wajar berada di senat untuk terus mengguilap Najib sebagai seorang perdana menteri yang bijak. Kalau itulah dasar pemilihan Ezam ini bermakna Ezam akan menambahkan satu lagi rubber stam di dewan negara.

Pada saya, baik kepada Abu Zahar Ujang atau Ezam Mohd Noor, perlantikan mereka oleh perdana menteri adalah tepat. Stail politik negara ini, seseorang itu akan dikatakan hebat dan cemerlang seseorang mampu menggilap seseorang yang menjadi ketuanya. Dan ketuanya pula akan menjadi cerah mata untuk melihat orang-orang yang boleh menjaga maruah dirinya, kepentingan peribadinya, walaupun seseorang jasanya kepada agama dan negara masih belum sampai secupak.

Jadi kepada mana-mana orang dan individu yang ingin menjadi senator atau menteri, jangan tumpukan sangat berbuat jasa kepada agama dan negara, ia tidak akan dinilai untuk diangkat menjadi anggota senat, sebaliknya berlumbalah untuk berjasa kepada perdana dan membina kilang ampu yang besar dan lebih canggih. Sesiapa yang dapat menaikan imej perdana menteri ataupun menyelamatkan perdana menteri dari ditimpa musibah, mereka akan dinilai dan akan diberi habuah berupa pangkat dan jawatan serta merta

Keputusan memalukan: MCA siasat 'sabotaj'

BERNAMA




Unsur sabotaj di kalangan anggota MCA merupakan antara faktor menyebabkan kemerosotan sokongan pengundi Cina kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata unsur sabotaj itu berlaku ketika beliau turun padang ke pekan Kuala Kubu Baharu pada hari pengundian dan mendapati tiada ahli dari dua cawangan MCA di situ membantu meraih undi di pusat pengundian di situ.

"Ia mungkin menjadi salah satu faktor kerana sekiranya mereka tidak datang dan membantu, saya fikir mereka juga tidak mengundi kepada BN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis presiden di Wisma MCA di Kuala Lumpur, hari ini.

Berikutan insiden itu, Dr Chua telah mengarahkan setiausaha agung parti Datuk Seri Kong Cho Ha, yang juga ketua penyelaras MCA pusat bagi pilihan raya kecil itu, menyiapkan satu laporan dan analisis berkaitan keputusan pilihan raya kecil tersebut.

Katany
a parti itu akan membincangkan tindakan susulan selepas menerima laporan itu dalam tempoh masa tiga minggu.

BN merampas kembali kerusi Parlimen Hulu Selangor apabila calonnya P Kamalanathan menang dengan majoriti 1,725 undi, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim.

Pada pilihan raya umum terakhir pada 2008, 35 peratus masyarakat Cina menyokong BN tetapi merosot kepada 28 peratus pada pilihan raya kecil itu.

Dr Chua juga berkata satu sesi sumbang saran akan diadakan pada 18 hingga 20 Jun ini di Port Dickson bagi membincangkan beberapa isu berkaitan perjuangan parti khususnya persediaan untuk menghadapi pilihan raya akan datang.

"Kami akan menjemput beberapa orang yang terkenal dalam bidang tertentu untuk membincangkan termasuk isu ekonomi, bagaimana kita boleh menjayakan kempen
pilihan raya dengan lebih efektif," katanya.

Sesi itu juga akan dimanfaatkan untuk memastikan masyarakat Cina memahami gagasan 1Malaysia dan menyokong pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, katanya.

Ditanya mengenai kenyataan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) bahawa MCA sebenarnya telah ditolak pengundi Cina sejak pilihan raya umum 2008 lalu, Dr Chua berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu berhak berkata apa sahaja.

Sebelum ini Dr Chua menyalahkan kewujudan pertubuhan seperti PERKASA dan pemimpinnya Datuk Ibrahim Ali, yang didakwa kurang sensitif, menyebabkan calon BN tidak disokong pengundi Cina.


Beratus Pengundi Hulu Selangor Dijangka Membuat Laporan Salah Laku Pilihanraya


http://buletinonline.net/images/stories/berita25/prkhsspr.gifRatusan pengundi Hulu Selangor yang kecewa dijangka membuat laporan polis esok atas tuduhan penipuan dalam pilihanraya kecil Ahad lalu.

Menurut sumber, laporan ini akan merangkumi pelbagai tuduhan salah laku.
"Ada yang menyatakan bahawa mereka diberi wang untuk memilih BN, atau sebaliknya nama mereka dihapuskan daripada senarai pemilih.

"Sebahagiannya mendakwa mereka tidak diberi peluang untuk memilih kerana mereka diberitahu oleh pegawai SPR, bahawa mereka telah pun mengundi," kata sumber tersebut kepada FMToday

Mereka dijangka mengemukakan laporan di balai polis Kuala Kubu Bharu

Pertemuan dengan Ketua Polis Selangor

Petang semalam, pengundi terbabit telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis negeri Selangor Khalid Abu Bakar untuk mendapatkan nasihat tentang apa yang harus dilakukan.

"Mereka mempunyai tiga sungutan utama dalam pilihanraya itu, jadi saya menyarankan mereka untuk mengemukakan laporan di balai polis Kuala Kubu Bharu, kerana pengadu berasal dari sana," kata Khalid

Namun Khalid tidak mahu mengulas lanjut berkata, "Tunggu mereka mengemukakan laporan terlebih dahulu."

Ketua polis mengatakan dia telah mengarahkan pegawai atasannya di daerah terbabit untuk menunggu pengadu membuat laporan esok dan mengambil laporan.

"Kita harus melihat apakah dakwaan tersebut di bawah bidang kuasa kita, atau kita rujuk kepada SPR.

"Tapi kalau masalah yang dikemukakan termasuk dalam bidang tugas kita, maka kita akan melakukan penyelidikan teliti," tambahnya.

Pilihanraya kecil Hulu Selangor telah dimenangi oelh calon Barisan Nasional P. Kamalanathan mengalahkan Datuk Zaid Ibrahim dari PKR dengan majoriti 1725 undi.

Zaid dan pemimpin lain telah menuduh BN dan Perdana Menteri Najib Tun Razak menggunakan taktik kotor termasuk "membeli undi".

Najib telah menafikan tuduhan tersebut.

Kelmarin, Zaid, yang juga bekas menteri undang-undang, mendedahkan bahawa dia akan mengemukakan petisyen pilihanraya untuk membatalkan keputusan pilihanraya itu.

Zaid juga bercadang mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihanraya dan akhbar harian milik UMNO, Utusan Malaysia.

Tidak Ada Pembangunan Di Teluk Kalong


http://buletinonline.net/images/stories/berita25/TelukKalong%20002.jpg- Kecuali ‘Istana Biru’ di Hujung Kampung

KEMAMAN – Walaupun sudah 15 tahun, seorang anak tempatan Kampung Teluk Kalong menjadi wakil rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, tidak ada apa-apa perubahan yang berlaku kepada pekan Teluk Kalong disini, dakwa seorang penduduk.

Bahkan, menurutnya, Teluk Kalong menjadi semakin sepi, semenjak jalan ‘Kijal bypass’ dibuka sebagai laluan umum, kenderaan menuju ke Kuala Terengganu.

Tidak ada pembangunan ekonomi yang dirancang merancakkan pekan Teluk Kalong yang dahulunya dikenali ramai, kerana kem Pupuk Semangat negeri Terengganu terletak disitu.

”Semua pegawai, pelajar pusat pengajian tinggi dan pelajar sekolah, kenal Teluk Kalong kerana ada kem Pupuk Semangat, mereka dihantar untuk dilatih disini,”ujarnya yang tidak mahu dikenali.

Selain itu, pantai Teluk Kalong tidak kurang indahnya, namun tidak ada apa-apa program yang signifikan mempromosikan pantai tersebut, bagi menjadi sumber ekonomi penduduk tempatan.

”Adalah kemudahan asas yang dibina di pantai (Teluk Kalong), ada ruang niaga yang dibina oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK),

”tapi oleh kerana tiada galakan, hanya tinggal satu sahaja ruang niaga tersebut yang beroperasi,”jelasnya.

Pemandangan di pekan Teluk Kalong amat menyedihkan dan ‘dicacatkan’ dengan rumah-rumah usang yang terbiar.

Pembangunan kawan Perindustrian Teluk Kalong yang melibatkan kilang-kilang besar dan pelaburan antarabangsa juga tidak memberikan impak yang besar kepada pekan tersebut.

Penubuhan dan pembesaran Pusat Latihan Lanjutan Teknikal Terengganu (Terengganu Advance Technical Institute - TATI) menjadi sebuah kolej universiti tidak dirasai ‘nikmat’nya oleh penduduk tempatan.

Yang terbaru, pembangunan Pusat Latihan Antarabangsa (International Training Centre) berharga RM50 juta, yang kononya dibina mengikut konsep Harvard Business School hanya menjadi ‘gajah putih’ dan terpaksa diserahkan kepada TATI.

”Setakat ini, tak ada apa yang menjadi kebanggaan penduduk tempatan, TATI dan ITC agak ke dalam dan tidak menjadi tumpuan mata memandang,

”yang ada mungkin ‘istana biru’ dilereng bukit, terletak dihujung kampung, yang pasti ‘memukau’ sesiapa saja yang lalu di jalan ini,”tambahnya sinis.

5,000 lulusan SPM dilatih guru Bahasa Inggeris

BERNAMA

KUCHING— Kementerian Pelajaran akan melatih 5,000 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk menjadi guru bahasa Inggeris bermula tahun ini, kata Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG) Datuk Dr Haili Dolhan.

Beliau berkata dalam usaha mengeluarkan guru bahasa Inggeris berkualiti, pelatih berkenaan akan mengikuti kursus selama lima tahun setengah di empat buah kampus IPG dan sebuah pusat bahasa yang telah dikenalpasti.

“Pelatih akan diambil pada sesi kemasukan yang akan datang. Mereka akan mengikuti kursus persediaan selama setahun setengah sebelum menyambung kursus empat tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvokesyen ke-11 IPG Tun Abdul Razak di Kota Samarahan, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

Mengulas mengenai laporan kekurangan guru bahasa Inggeris di negara ini, Haili berkata masalah itu tidak wujud sebaliknya berpunca daripada kesilapan penempatan guru, khususnya di kawasan pedalaman.

“Kami sedang menangani masalah itu dengan menghantar guru-guru ke sekolah-sekolah yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pembayaran insentif tambahan antara RM500 dan RM1,500 untuk guru bahasa Inggeris yang ditempatkan di kawasan pedalaman juga menerima sambutan menggalakkan.

“Terdapat sedikit perubahan yang menyaksikan hanya segelintir guru meminta dipindahkan keluar daripada kawasan pedalaman sekarang,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak telah menghantar cadangan kepada Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan pengambilan lebih ramai penduduk Sarawak sebagai guru.

“Mereka ini boleh ditempatkan semula di tempat asal mereka. Selain itu terdapat banyak permintaan daripada penduduk tempatan yang mahu menjadi guru. Kita berharap pihak kementerian akan mempertimbangkan perkara ini,” katanya.

IGP: ‘Janganlah keruhkan keadaan’

BERNAMA

KUALA LUMPUR— Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini meminta media massa terutamanya media alternatif supaya tidak membuat spekulasi dan andaian sendiri mengenai kenyataan polis berhubung kejadian seorang remaja ditembak mati baru-baru ini.

Katanya sebarang spekulasi yang sengaja diada-adakan dengan memutar belit kenyataan polis serta ditokok-tambah boleh mengeruhkan keadaan selain menyukarkan siasatan kes terbabit.

“Janganlah keruhkan keadaan. Orang ramai boleh jadi keliru. Jadi jangan buat sesuatu (andaian) yang kelak boleh menimbulkan kontroversi dan mengganggu siasatan,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi malam ini.

Musa berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan laman portal Malaysiakini yang dipercayai tersalah tafsir kenyataannya.

Laporan itu menyebut Musa bersedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat.

Musa berkata laporan itu ditulis mungkin berdasarkan jawapan balas beliau secara spontan kepada wartawan telah disalahtafsir sedangkan apa yang cuba disampaikan berlainan maksudnya.

Katanya beliau hanya mengandaikan apakah polis tidak perlu menjalankan tugas mengikut undang-undang dan hanya membiarkan pelaku jenayah membuat kesalahan tanpa pengawasan.

“Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-undang atau tidak.

“Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya,” katanya mengulangi kenyataannya yang disebut pagi tadi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan pengamal media supaya tidak memutar belitkan kenyataan polis.

“Saya sedih atas apa yang menimpa mangsa dan keluarga. Saya lagi bersedih apabila kenyataan saya diputar belit sehingga membawa maksud berlainan,” katanya.

PRK Sibu: PR Hadapi 3000 Undi Pos

TV SELANGOR


Agi Idup Agi Ngelaban, begitu kata-kata keramat yang menjadi pegangan jentera Parti Keadilan Rakyat menghadapi cabaran Pilihanraya Kecil Sibu.

PKR bersama-sama parti-parti komponen Pakatan lain seperti DAP, SNAP dan Pas telah melakukan persediaan awal bagi memastikan jentera pilihanraya kali ini benar-benar bersedia, teratur dan berkesan.

Timbalan Pengerusi PKR Sarawak Wan Zainal Abidin Wan Sanusi mengakui tugas Pakatan Rakyat memenangi hati dan minda rakyat Sibu bukan mudah, namun erti putus asa sebelum berjuang tidak pernah ada dalam kamus aktivis PKR Sarawak.

"signifikannya begini kalau pr menang sibu ia akan menjejaskan prestasi dan imej bn di pilihanraya akan datang tak lebih 12 bulan. ini penting untuk kita menang bagi menaikkan reputasi kita. dan utk hadapai pilihanraya dan membina persepsi kita terhadap orang"katanya beliau.

Wan Zainal menjelaskan antara rintangan yang dihadapi Pakatan Rakyat adalah isu undi pos, yang selama ini membantu BN meraih majoriti besar di Sibu.

"taktik bn yang diketahui umum akan boleh menimbulkan persainag tidak sihat. satu daripadanya ialah undi pos yang hampir 3 ribu di kawasan itu"katanya.

Wan Zainal menjelaskan PKR akan mensasarkan isu-isu setempat seperti permasalahan banjir serta isu hak pemilihan tanah yang gagal diselesaikan BN sejak berpuluh tahun.

Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan tarikh penamaan calon bagi pilihanraya kecil kawasan Sibu Sarawak ialah pada 8 Mei manakala hari pengundian 16 Mei.Pilihanraya kecil ini adalah berikutan kematian Ahli Parlimen BN Datuk Robert Lau yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan pada 9 April.

MB : Rakyat Undi Pakatan Kerana Barisan Nasional Gagal

TV SELANGOR

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kesal dengan tuntutan rasis gerakan Perkasa yang mahu kerajaan membekukan peruntukan kepada masyarakat Cina Hulu Selangor.

Khalid berkata Perkasa seharusnya sedar bahawa rakyat memilih Pakatan Rakyat bukan atas dasar warna kulit, tetapi kerana sudah jemu dengan janji kosong dan kecuaian Adun-Adun BN.

"Sokongan yang ditunjukkan di Hulu Selangor amat memberangsangkan. Kita akan kembali dan bekerja bersama rakyat untuk memastikan pembangunan berterusan," Khalid berkata.

Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali membuat tuntutan itu selepas analisa Pilihanraya Kecil Hulu Selangor menunjukkan masyarakat Cina menyokong Pakatan Rakyat.

Dengan sokongan ini, Pakatan Rakyat walaupun tewas di peringkat Parlimen namun berjaya merampas dua dari tiga DUN di Hulu Selangor.

Khalid berkata sokongan kuat yang ditunjukkan di DUN Batang Kali dan DUN Kuala Kubu Bharu menjadi kayu aras kepada Pakatan Rakyat untuk memantapkan lagi perkhidmatan Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

"Kita akan pastikan pengajaran yang kita terima hasil dari interaksi bersama penduduk akan membantu menambahbaik peranan Kerajaan Negeri,"akhiri Khalid.

Mahfuz kemuka enam tuntutan bela kes

SINAR HARIAN ONLINE


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengemukakan enam tuntutan pembelaan berhubung kes kematian remaja berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah yang ditembak polis yang disifatkannya memburukkan lagi imej polis pada mata masyarakat.

Enam tuntutan pembelaan tersebut ialah polis dan media arus perdana perlu menarik balik kenyataan mengaitkan mangsa sebagai seorang penjenayah, polis dan media terlibat perlu membuat permohonan maaf secara terbuka, polis perlu menggantung perkhidmatan semua anggota polis yang terlibat dalam kejadian itu dan mereka yang terlibat perlu direman untuk siasatan lanjut di samping mengelak saksi kejadian diugut khususnya rakan mangsa.

“Tuntutan kelima dan keenam pula ialah memohon Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menjalankan siasatan terperinci kes ini, sesuai dengan sifatnya untuk menegakkan keadilan serta menuntut satu Suruhanjaya Bebas ditubuhkan bagi menyiasat kes ini.

“Penubuhan Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat kes ini penting kerana banyak kes seumpama itu termasuk kes mendera tahanan lokap sehingga meninggal dunia mencemarkan nama baik Yang Dipertuan Agong sebagai Ketua Keselamatan Negara,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini semalam.

MCA didesak keluar BN

SINAR HARIAN ONLINE


KUANTAN – Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman mendesak MCA keluar dari Barisan Nasional (BN) daripada terus menuding jari di atas kegagalan mendapatkan sokongan pengundi Cina di pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu.

Ahmad Tajuddin mendakwa kegagalan MCA meraih sokongan pengundi Cina tidak hanya di Hulu Selangor tetapi pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu juga keadaan sama berlaku.

Menurutnya, pilihan terbaik kepada MCA adalah menarik diri sebagai parti komponen supaya tidak terus membebankan BN dengan kegagalan meraih kepercayaan pengundi Cina.

“Keluarlah dari BN untuk elak daripada terus membebankan parti komponen lain. Jangan menuding jari kepada sesiapa berikutan kegagalan kita sendiri. Sepatutnya mereka mengakui kesilapan bukan menuduh orang lain sebagai penyebab.

“MCA perlu mengaku bahawa mereka tidak lagi diberi kepercayaan daripada kaum Cina. Ia bukan berlaku pada pilihan raya kecil tetapi pada PRU 2008 lalu juga berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan MCA menyalahkan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) kerana menjadi penyebab kekurangan undi masyarakat Cina pada pilihan raya kecil di Parlimen Hulu Selangor.

“Dakwaan MCA sekadar untuk menutup kegagalan mereka meraih sokongan masyarakat Cina. Pada saya ia tindakan yang tidak bertanggungjawab. MCA gagal meyakinkan masyarakat Cina supaya menyokong calon BN daripada MIC di Hulu Selangor.

“Jika UMNO mampu meyakinkan pengundi Melayu untuk menyokong calon MIC, mengapa MCA tidak boleh?. Jangan mencipta alasan yang tidak bijak untuk menutup salah,” katanya.

156 Sekolah agama berdaftar sebagai SABK

SINAR HARIAN ONLINE

KLANG -- Sebanyak 156 sekolah agama telah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kebanyakan daripada sekolah-sekolah itu adalah di Selangor, Perak dan Kelantan, katanya pada majlis perasmian Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di sini yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pendaftaran 23 buah sekolah agama di Selangor sebagai SABK amat dibanggakan dan diharap ia menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk menjadikan kira-kira 10 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi yang ada di negeri itu sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Beliau memohon perkenan Sultan Selangor supaya Sekolah Agama Menengah Negeri Selangor yang belum berdaftar agar didaftarkan sebagai SABK dan diletakkan sebaris dengan sekolah-sekolah lain dalam sistem pendidikan arus perdana.

"Mudah-mudahan dengan perkenan Tuanku selaku Ketua Agama Islam di negeri Selangor, ia akan mendorong lebih banyak lagi sekolah agama berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, " katanya.

Beliau berkata program pendaftaran sekolah-sekolah agama dengan Kementerian Pelajaran bertujuan membela sekolah-sekolah agama khususnya Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang semakin dihimpit pelbagai masalah sehingga ada yang terpaksa ditutup.

Menerusi program SABK, sekolah-sekolah ini diberi bantuan termasuk geran bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan yang meliputi aspek pengurusan sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan sumber manusia serta prasarana dan kemudahan fizikal.

Murid-murid SABK juga menerima bantuan makanan, buku teks dan bantuan lain selain diberi peluang bersaing dengan murid-murid di sekolah aliran perdana dalam sebarang aktiviti Kementerian Pelajaran sama ada berbentuk kurikulum ataupun kokurikulum.

Sebahagian daripada pelajar-pelajar SABK telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah ternama di bawah kementerian seperti Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik dan Kolej Matrikulasi.

Bantuan kewangan yang telah diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada SABK untuk tempoh 2006 hingga sekarang ialah RM216.2 juta.

Tak Lapor Kecederaan Kugan Sebab Luar Waktu Tugas

BERNAMA

PETALING JAYA - Mahkamah Sesyen Petaling Jaya diberitahu bahawa kegagalan saksi memaklumkan kecederaan yang dialami oleh tahanan, A Kugan akibat dipukul Konstabel V Navindran kepada penyelia atau pegawai atasan adalah kerana bukan waktu beliau bertugas.

L/Kpl Junid Harun, 34, menjelaskan kejadian itu berlaku kira-kira empat hingga lima minit sebelum beliau memulakan tugas pada pukul 4 petang, 16 Jan tahun lalu.

Beliau menjelaskan kepada mahkamah kegagalan itu juga adalah kerana Kugan menyatakan dirinya dalam keadaan baik dan normal selepas beliau bertanya kepada Kugan.

"Saya tidak melaporkan kejadian itu juga adalah kerana Detektif Koperal Awtar Singh, yang juga penyelia ketika itu turut berada di situ," katanya ketika disoal balas peguam bela Datuk PM Nagarajan.

Ketika ditanya mengenai keadaan Kugan ketika Navindran memukul Kugan dengan menggunakan hos getah, beliau berkata Kugan dilihat tidak menjerit.

Sebelum ini, Junid memberi keterangan bahawa beliau ada melihat Navindran memukul Kugan tetapi tidak dapat mengingati sama ada hos getah itu dilipat dua atau sebaliknya.

Bagaimanapun Junid tidak bersetuju dengan cadangan Nagarajan bahawa tindakannya itu adalah untuk membantu pihak pendakwaan dan juga melepaskan diri daripada pertuduhan yang sama.

Saksi ke-19 pendakwaan itu memberi keterangan balas pada perbicaraan kes Navindran, 28, yang mengaku tidak bersalah 1 Okt lepas terhadap dua pertuduhan menyebabkan kecederaan parah kepada Kugan, 23, suspek kes curi kereta mewah.

Navindran didakwa melakukan perbuatan itu di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, 7 pagi, 16 Jan tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi dua pertuduhan pilihan menyebabkan cedera kepada Kugan, Navindran turut mengaku tidak bersalah di tempat dan tarikh yang sama mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh didenda.

Sementara itu, saksi ke-20, L/Kop Shamsul Kamal Ismail, memberitahu bahawa beliau ada melihat kecederaan berlaku terhadap Kugan di bahagian pergelangan mangsa ketika bersama dalam siasatan untuk mengesan suspek lain yang disyaki terbabit dalam sindiket curi kereta mewah di Tanjung Karang.

Bagaimanapun, Shamsul Kamal, 48, secara tiba-tiba menukar kenyataan itu selepas dirujukkan beberapa keping gambar mengenai kecederaan Kugan.

"Kecederaan ketika itu tidak lah seteruk sepertimana dalam gambar ini," katanya yang memberi keterangan pada hari ke-19 kes itu dibicarakan.

Beliau juga mengesahkan melalui beberapa keping gambar yang dirujuk tidak melihat kecederaan yang dialami Kugan seperti dibahagian seperti bibir, kaki, dan bahagian belakang mangsa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Aslam Zainuddin bersambung 5 Mei ini.

Khamis, 29 April 2010

Tidak Munasabah Speaker Tolak Soalan Isu Ketenteraan

Oleh Norasikin Samsi


KUALA LUMPUR- Tindakan Kementerian Pertahanan menolak empat soalan lisan daripada Ahli Dewan Negara Pakatan Rakyat, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim semasa sidang Dewan Negara pagi tadi dinaggap tidak munasabah.

Menurut Tunku Aziz keputusan Speaker menolak soalan beliau kononnya dibuat berdasarkan faktor empat daripada tujuh soalan yang dikemukakan menyentuh mengenai rahsia ketenteraan.

"Dalam hal ini, saya rasa adalah tidak munasabah untuk Kementerian Pertahanan menolak soalan-soalan tersebut memandangkan jelas isu menyentuh rahsia ketenteraan tidak wujud.

"Saya memahami pembelian kelengkapan tentera adalah sensitif dan perlu menjaga rahsia ketenteraan seperti unsur-unsur spesifikasi dan atur gerak.

"Tetapi soalan yang ditanya itu bukan bertujuan untuk mendapat rahsia ketenteraan seperti yang disebut, tetapi untuk mendapat maklumat latar belakang pembelian dan pembangunan kelengkapan tentera yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertahanan sendiri," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Berikut dinyatakan kesemua soalan yang ditolak itu:

1. Minta Menteri Pertahanan menyatakan latar belakang kerajaan membeli sistem Vera-E sepertimana yang dinyatakan dalam laporan tahunan kementah 2007 pada muka surat 72. Adakah ia mempunyai kaitan dengan projek Padas dan ancaman dari pesawat 'Stealth' luar negeri?

2. Minta Menteri Pertahanan menyatakan latar belakang pembelian 'Cruise Missile' yang akan dilancarkan oleh kerajaan sepertimana dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin pada 4 Julai 2007 di Dewan Rakyat?

3. Minta Menteri Pertahanan menyatakan status pembangunan peluru berpandu Taming Sari XK98 dibangun oleh Stride dari segi pembelanjaan dan kerjasama teknologi dengan negara mana serta latar belakang, keberkesanan pembangunan dan status peluru berpandu ini?

4. Minta Menteri Pertahanan menyatakan senarai kelengkapan dalam pecahan jenis, bilangan dan peruntukan yang akan dilancarkan dalam masa lima tahun depan oleh TDM, TLDM, TUDM, dan Markas ATM/AB?

Tunku Aziz turut menegaskan jika Kementerian Pertahanan sendiri yang membuat pengumuman pembelian kelengkapan tersebut, maka ini tidaklah dikira sebagai rahsia lagi.

"Antaranya seperti pembelian Vera-E Radar Pasif dari Omnipol, Republik Czech telah beberapa kali dicatatkan dalam laporan tahunan Kementerian Pertahanan 2007 dan 2008. Dan laporan tersebut telah menyatakan projek timbal balas Vera-E sedang dipantau oleh kementerian," katanya.

Begitu juga menurutnya mengenai pembelian Cruise Missile yang diumumkan bekas Timbalan Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat serta Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Strike) telah menunjukkan peluru berpandu Taming Sari XK98 kepada ke seluruh negara pada 31 Ogos 2007 bersempena Perarakan Merdeka 2007 di Dataran Merdeka.

Tambah Abdul Aziz, pembelian kelengkapan ketenteraan menggunakan peruntukan awam dan perlu mendapat persetujuan dari Parlimen.

"Oleh itu, adalah munasabah dan berpatutan untuk Ahli Parlimen membincang dan mengetahui latar belakang mengenainya," ujarnya.

Ahli Parlimen dan rakyat juga katanya mempunyai hak untuk mengetahui senarai pembelian kelengkapan ketenteraan yang akan dilancar pada lima tahun akan datang iaitu dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.

"Memandangkan pembelian kelengkapan ketenteraan adalah sangat mahal dan mudah berlaku penyelewengan, maka adalah perlu dipantau oleh Parlimen dan rakyat supaya selaras dengan prinsip-prinsip 'good governance' dan meningkatkan lagi ketelusan kerajaan," katanya lagi.

Beliau juga percaya rakyat tidak membantah pembelian kelengkapan ketenteraan penting demi untuk memastikan keselamatan negara, namun adalah mustahak bagi rakyat memastikan peruntukan tersebut kerana wang mereka digunakan bagi tujuan sedemikian.

SIAPA LINDUNGI ‘KING PIN’ KUARI HARAM DI LAHAD DATU?

SABAH KINI


HARAM.... Kuari haram di kaki Gunung Silam ini boleh dilihat daripada lebuh raya Kunak-Lahad Datu namun pihak berkuasa membutakan mata mereka.

Oleh: ZAZARIZA ZAZIZUL

SUDAH lebih 30 tahun kuari ini beroperasi secara haram, namun tidak ada pihak mempedulikan nasib dan nyawa penduduk kampung Silam yang terdedah kepada debu beracun ledakan kuari berkenaan; hatta Mantan Ketua Polis Daerah Lahad Datu tinggal tidak jauh daripada kuari haram berkenaan.

Sehubungan itu, Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (AMK) mengutuk tindakan Kerajaan Barisan Nasional Sabah kerana menghina wawasan kesemua Perdana Menteri Malaysia termasuk kerajaan ‘1Malaysia’ Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang mahukan ‘rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan’.

Ketua Penerangan AMK Sabah, Zainuddin Hassan ketika melakukan pemeriksaan mengejut ke kuari haram berkenaan yang terletak di atas tanah CL 115384015, CL 115414661, CL 115379247 dan CL 115379238 di kaki Gunung Silam, Lahad Datu setelah menerima aduan rasmi daripada penduduk kampung Silam Lamak, Kampung Bumiputera Silam dan sebagainya berikutan kejayaan AMK Sabah membongkar kes kuari haram di Keningau, Sabah baru-baru ini.

“Kita tidak tahu di mana silapnya kerana Jabatan Perlindungan Alam Sekitar tidak pernah meluluskan semua permohonan EIA yang dikemukakan oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd; namun mereka boleh beroperasi secara haram sejak lebih 30 tahun lalu,” tegas Zainuddin yang takjub dengan sikap taksub pemimpin Barisan Nasional Silam untuk membuka mulut menegur perbuatan jenayah oleh ‘Penjenayah’ Alam Sekitar seperti pemilik kuari haram ini.

KAWAL..... Jalan masuk ke kuari haram ini dikawal ketat dan berpalang sedangkan ianya jalan awam yang dibina di kawasan simpanan jalan Tanah Bumiputera Silam.

Kata Zainuddin, jika di Semenanjung, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memburu pemimpin Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, Selangor, Perak dan Kedah seperti memburu babi hutan dan menjatuhi ‘hukuman’ sebelum dihadapkan ke mahkamah; namun SPRM di Sabah seperti ‘makan sepiring dan minum secawan’ dengan penjenayah alam sekitar yang dilindungi Adun dan Ahli Parlimen.

Zainuddin menyifatkan SPRM di Tawau dan Pengarah SPRM Sabah sebagai ‘bacul’ kerana hanya berani bertindak terhadap ‘ikan kecil’ namun gentar kepada ‘jerung’ yang menjadi penjenayah alam sekitar dan didalangi konglomerat perladangan yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

“Bukankah sudah jelas, ada laporan polis dibuat; laporan rasmi telah difailkan terhadap SPRM, berita telah disiarkan media dan rungutan rakyat telah disampaikan secara rasmi; namun kenapa sehingga ke hari ini mereka bebas melakukan jenayah dengan meletupkan batu granit pada waktu malam dan memunggah batu secara haram melalui hutan simpan dan tanah adat bumiputera?,” tanya Zainuddin dalam nada kesal kerana Mantan Ketua Polis Daerah, Superintendan (B) Haji Idris Jikon dan Ketua Polis Daerah kini tidak mengambil tindakan sekalipun kuari haram berkenaan menggunakan bahan letupan tanpa lesen.

Sehubungan itu, Zainuddin menggesa agar sebuah Task Force ditubuhkan untuk memantau semua kuari haram bukan sahaja di Lahad Datu, malah di seluruh Sabah akibat berleluasanya rasuah di kalangan penguatkuasa termasuk Penolong Pemungut Hasil Tanah, Polis, Jabatan Perhutanan, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan sebagainya kerana setiap daerah mempunyai kes kuari haram.

Tegas Zainuddin, sebelum satu kuari boleh beroperasi, satu penilaian impak alam sekitar harus dijalankan demi mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, (Akta 127) dan Perundangan di bawahnya (Perubahan 2000) Seksyen 34A dan di bawah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Impak Alam Sekitar) Orde 1987, Jadual 14, namun kuari haram ini gagal mendapat kelulusan daripada JPAS.

“Apakah wajar jika saya mencadangkan agar pejabat SPRM di Tawau ditutup kerana mereka membutakan mata terhadap kegiatan kuari haram yang semakin berleluasa di Lahad Datu sehingga menjadi salah satu punca pencemaran udara dan alam sekeliling,” ujar Zainuddin yang turut mendesak Unit Khas SPRM Putrajaya dihantar untuk memberhentikan kegiatan kuari haram ini.

Sehubungan itu, Zainuddin turut mendesak agar SPRM menyiasat Ahli Parlimen Silam, Adun Lahad Datu, Pegawai Daerah Lahad Datu, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Audit Negara, Polis Di Raja Malaysia dan Penolong Pemungut Hasil Tanah Lahad Datu yang gagal mengambil tindakan terhadap pengusaha kuari haram ini.

Mengikut siasatan Sabahkini.net, Silam Quarry yang dimiliki sepenuhnya oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd dan merupakan anak syarikat Kwantas Corporation Berhad iaitu konglomerat perladangan yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur yang dimiliki ‘Bumiputera’ melalui perolehan Sijil Anak Negeri Palsu daripada Mahkamah Anak Negeri Kota Kinabalu (Bandaraya).

Siasatan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia mendapati Fordeco Construction Sdn.Bhd dimiliki oleh Kwan Bersaudara iaitu, Kwan Min Nyet (12,500 unit saham), Kwan Ngen Wah (1,512,500 unit saham), Kwan Jin Nget (12,500 unit saham) dan Kwan Ngen Chung (1,512,500 unit saham) yang mempunyai modal berbayar RM3.050 juta daripada modal dibenarkan sebanyak RM5 juta yang mencatatkan keuntungan bersih RM30 juta setiap tahun daripada operasi kuari.

Kedua-dua pemegang saham, Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung turut menjadi pengarah Fordeco Construction Sdn.Bhd dan lebih 40 syarikat gabungan Kwantas Corporation Berhad.

Mengikut rekod Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS), permohonan Silam Quarry di Bukit Silam oleh Fordeco Construction Sdn.Bhd dihantar pada 10 Oktober 2005 namun pada 26 September 2006 JPAS Tidak Meluluskan permohonan yang dikemukakan melalui Sinoh Environmental Sdn.Bhd