Jumaat, 30 April 2010

Laporan saksi cetus tanda tanya remaja ditembak, kata MP Khalid

Oleh Syed Mu’az Syed Putra


SHAH ALAM — Dengan mendedahkan kandungan laporan saksi insiden Aminulrasyid Amzah, 15, mati ditembak, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad (gambar) meminta polis menghentikan segala ‘drama’ berkaitan kematian remaja tersebut awal minggu ini.

“Ini kerana laporan yang dikeluarkan media bercanggah sama sekali dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh saksi kejadian.

“Bagaimana seorang yang sudah meninggal dunia boleh mengundurkan kenderaan dipandunya?” kata beliau pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

“Dan, bagaimana parang boleh ada dalam kereta sedangkan cuma ada kasut dan patung sahaja? Ini memang tidak logik,” katanya lagi. Persoalan itu juga ditimbulkan oleh ibu Aminulrasyid beberapa hari lalu.

Khalid berkata, menurut saksi kedua, Zafrullah Ahmad Zainal Abidin yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor malam tadi, jiran mangsa itu mengatakan ketika hari kejadian dia terdengar bunyi tembakan kira-kira pukul 1.30 pagi.

Dia membuat laporan polis kira-kira 10.30 malam tadi.

“Pada mulanya saya menyangka bunyi mercun tetapi bunyi tersebut semakin kuat dengan rumah saya dan ia diselangi dengan bunyi siren polis.

“Kemudian saya terdengar bunyi dentuman yang kuat seperti ada objek yang melanggar dinding dan saya terus keluar dari rumah dan melihat dua buah kereta peronda mengepung sebuah kereta yang terbabas.

“Saya terus meluru keluar ke tempat kejadian dan ternampak seseorang (saksi utama) berlari ke arah saya serta terdengar polis menjerit kepada individu tersebut supaya jangan lari,” kata Zafrullah dalam laporannya, yang salinan turut diedarkan kepada media.

Dalam laporannya dia mendakwa “saya mendapati kereta tersebut sudah terbabas dan melihat seorang lelaki berpakaian kemeja-T dan seluar pendek dalam keadaan muka tersembam di tempat duduk pemandu.”

Selain itu menurut Zafrullah Ahmad, dia melihat polis menggeledah kenderaan itu dengan menyuluh bahagian dalam kereta dengan menggunakan lampu suluh tetapi tidak melihat sebarang objek dalam kereta itu dialihkan atau dibawa masuk.

“Semasa polis menggeledah saya tidak nampak sebarang objek dalam kereta itu dialihkan ataupun dibawa masuk.

“Kemudian polis menyuruh kami (penduduk) berundur kira-kira lima meter dari tempat kejadian dan mereka memasang pita kuning di kawasan kejadian.

“Saya juga lihat dua anggota polis menyuluh dan menanda kesan tembakan di sepanjang kawasan kejadian. Kira-kira pukul 3.30 pagi seorang anggota polis mengarahkan orang awam untuk beredar dari tempat kejadian,” katanya dalam laporan polis yang dibuat.

Aminulrasyid, 15, mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis di kawasan Seksyen 11 Shah Alam awal pagi Isnin lalu.

Khalid berkata, bagaimana polis boleh membuat siasatan dan kesimpulan tanpa mendapatkan keterangan daripada saksi.

“Polis buat siasatan tetapi tanpa saksi. Jadi bagaimana siasatan itu dibuat tanpa mendapat pengakuan daripada saksi terlebih dahulu?

“Saksi cerita lain tetapi dalam media dilaporkan lain, saya sendiri yang bawa saksi ke balai polis untuk membuat laoran dan dia telah menceritakan perkara sebenar kepada saya.

“Jadi, saya harap polis boleh membetulkan kembali segala kenyataan yang memberikan gambaran buruk kepada Allahyarham Aminulrasyid,” katanya.

Beliau turut membidas kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar supaya ahli politik tidak masuk campur dalam kejadian tersebut.

“Ahli politik ada tanggungjawab untuk ambil berat akan kes ini lagipun saya sebagai Ahli Parlimen tidak boleh buat tidak tahu sahaja.

“Ini kawasan saya, jadi saya mesti ambil tahu dan bertanggungjawab sebagai wakil rakyat,” katanya sambil menambah, beliau bukan mahu mempolitikkan perkara itu.

“Saya mahu kebenaran didedahkan dan mangsa yang terkorban mendapat pembelaan yang sepatutnya,” katanya.

Khalid juga merayu orang ramai yang melihat kejadian itu supaya memberikan keterangan kepada polis supaya proses siasatan dapat dijalankan dengan dengan baik.

“Saya mahu orang ramai yang melihat kejadian supaya menjadi saksi dalam kes ini dan sekiranya takut untuk pergi seorang diri mereka boleh berjumpa dengan saya.

“Ini kerana saya yakin ramai yang melihat kejadian itu, dan saya amat berharap mereka tampil ke hadapan dan memberikan keterangan bagi mendapatkan keadilan bagi pihak mangsa dan keluarga,” katanya.

Tambahnya, tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang yang bersedia mengarahkan anggotanya supaya tidak lagi mengawal jika itu kehendak rakyat adalah tidak profesional.

“Kalau itu kenyataan yang dikeluarkan, saya rasa lebih baik beliau meletakkan jawatan.

“Rakyat tegur kerana mahu penjelasan dan beliau perlu memberikan respons wajar dan profesional,” katanya lagi.

Sementara itu, ibu kepada Aminulrasyid, Norsiah Mohamad berkata dia masih belum membuat keputusan untuk mendapatkan khidmat guaman kerana memerlukan masa untuk berbincang bersama ahli keluarga.

“Saya belum buat keputusan untuk mengambil peguam dari mana kerana kena berbincang dahulu dengan ahli keluarga,” katanya.

Tiada ulasan: