Khamis, 29 April 2010

Kementerian Pertahanan Diminta Telus Perjelas LOI Kereta Perisai

FREE MALAYSIA TODAY

se-equity-ST PULAU PINANG : Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua menggesa Kementerian Pertahanan lebih telus dalam menjelaskan pembelian 257 kereta perisai tentera bersaiz 8×8 pada harga yang terlampau tinggi, iaitu sejumlah RM8 bilion dan berharga RM31.1 juta seunit melalui surat hasrat (LOI) yang ditandatangani dengan Defense Technologies Sdn Bhd (Deftech).

Mengulas penafian Mindef semalam mengenai laporan yang didedahkan MalaysiaKini dan Malaysian Insider sebagai "tidak tepat", Tony mencabar menteri berkenaan supaya menjelaskan perkara tersebut dan mendedahkan kandungan LOI kepada umum.

"Mengapa Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mengumukan jumlah RM8 bilion semasa pameran Defence Service Asia (DSA) 2010 di Kuala Lumpur namun perkara ini dinafikan Unit Korporat Komunikasi seminggu selepas itu?

Adakah menteri juga membuat kenyataan tidak tepat?," katanya dalam kenyataan hari ini. Mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Deftech Datuk Seri Mohd Khamil Jamil,

Tony Pua turut mempersoalkan ketelusan LOI tersebut untuk memperoleh 257 unit kereta perisai sedangkan prototaip kenderaan itu tidak akan siap sehingga tahun 2012.

"Harga kereta perisai ini tiga kali ganda lebih mahal daripada kereta buatan luar negara yang terbaik seperti ‘General Dynamics Land Sustems-Canada (LAV III) hanya berjumlah RM9 juta seunit sahaja, begitu juga dengan kereta perisai keluaran Sweden MoWAG GmbH yang berharga hanya RM4 juta seunit.

"Rakyat berhak tahu maksud tersirat disebalik LOI ini dan kementerian perlu memberi jaminan pembelian menggunakan wang rakyat ini perlu dibelanjakan dengan berhemah berdasarkan harga pasaran," katanya.

Selain itu, Tony Pua turut mempersoalkan mengenai pembelian dua kapal selam yang berharga RM3.4 bilion yang membabitkan pemberian komisyen sejumlah RM500 juta dalam urusan lojistik dan sokongan yang diuruskan syarikat milik rakan sekutu Datuk Seri Najib Razak, Abdul Razak Baginda.

"Kita mahu Kementerian Pertahanan jelaskan isu sebenar dan jangan putar belitkan fakta kerana kita tahu mereka sebelum ini pun tidak telus dalam menjelaskan isu mengenai rancangan pembelian aset termasuklah isu membabitkna kontrak PSC Naval Dockyards pada tahun 2007 berjumlah RM24 bilion," katanya.

Deftech merupakan anak syarikat kepada DRB Hicom Bhd, sebuah syarikat yang mempunyai kaitan dengan kerajaan (GLC).

Tiada ulasan: