Jumaat, 30 April 2010

5,000 lulusan SPM dilatih guru Bahasa Inggeris

BERNAMA

KUCHING— Kementerian Pelajaran akan melatih 5,000 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia untuk menjadi guru bahasa Inggeris bermula tahun ini, kata Rektor Institut Pendidikan Guru (IPG) Datuk Dr Haili Dolhan.

Beliau berkata dalam usaha mengeluarkan guru bahasa Inggeris berkualiti, pelatih berkenaan akan mengikuti kursus selama lima tahun setengah di empat buah kampus IPG dan sebuah pusat bahasa yang telah dikenalpasti.

“Pelatih akan diambil pada sesi kemasukan yang akan datang. Mereka akan mengikuti kursus persediaan selama setahun setengah sebelum menyambung kursus empat tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri konvokesyen ke-11 IPG Tun Abdul Razak di Kota Samarahan, dekat sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.

Mengulas mengenai laporan kekurangan guru bahasa Inggeris di negara ini, Haili berkata masalah itu tidak wujud sebaliknya berpunca daripada kesilapan penempatan guru, khususnya di kawasan pedalaman.

“Kami sedang menangani masalah itu dengan menghantar guru-guru ke sekolah-sekolah yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pembayaran insentif tambahan antara RM500 dan RM1,500 untuk guru bahasa Inggeris yang ditempatkan di kawasan pedalaman juga menerima sambutan menggalakkan.

“Terdapat sedikit perubahan yang menyaksikan hanya segelintir guru meminta dipindahkan keluar daripada kawasan pedalaman sekarang,” katanya.

Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan Sarawak telah menghantar cadangan kepada Kementerian Pelajaran untuk mempertimbangkan pengambilan lebih ramai penduduk Sarawak sebagai guru.

“Mereka ini boleh ditempatkan semula di tempat asal mereka. Selain itu terdapat banyak permintaan daripada penduduk tempatan yang mahu menjadi guru. Kita berharap pihak kementerian akan mempertimbangkan perkara ini,” katanya.

Tiada ulasan: