Rabu, 28 April 2010

Hasan Ali buat laporan polis atas tuduhan guna masjid untuk politik

BERNAMA


SHAH ALAM: Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Ali, hari ini membuat laporan polis bagi mempertahankan dirinya berhubung tuduhan membaca khutbah berbaur politik ketika solat Jumaat di Masjid As-Salam Bukit Sentosa, Hulu Selangor pada 23 April lalu.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di sini kira-kira jam 3 petang tadi

Hasan berkata, laporan itu juga dibuat bagi menjelaskan tuduhan yang beliau menjadikan masjid sebagai medan untuk berpolitik semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor itu tidak benar.

"Tuduhan itu tidak benar dan saya juga tidak menderhaka titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hassan berkata, beliau juga ingin menjelaskan yang ketika itu beliau tidak tertinggal mana-mana rukun khutbah seperti yang dituduh.

Beliau berkata, selama 40 tahun beliau membaca khutbah tiada sebarang laporan dibuat mengenai perkara itu.

"Pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang berada di masjid berkenaan juga telah mengesahkan saya tidak tertinggal sebarang rukun khutbah ketika itu," katanya.

Ada pihak mendakwa beliau telah tidak membaca salawat ke atas Nabi SAW dalam khutbahnya.

Tiada ulasan: