Khamis, 29 April 2010

Asariah: Lebih 3,000 kelas Pemulihan Khas di seluruh negara

KENINGAU: Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia, Datuk Asariah Mior berkata, kerajaan telah mengwujudkan sebanyak 3,339 kelas Pemulihan Khas di seluruh negara.

Katanya, penubuhan kelas itu bertujuan bagi menangani masalah kegagalan menguasai literasi dan numerasi, sekaligus mengurangkan kadar keciciran serta tahap pencapaian pelajar.

Berucap semasa menjadi tetamu Majlis Sambutan Jubli Perak Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Keningau, Asariah berkata, daripada jumlah itu sebanyak 111 iaitu 3.3 peratus kelas itu telah siap dibina, 2,917 atau 85.9 peratus sedang dalam pembinaan, manakala 3 atau 0.1 peratus diperingkat prabina.

Asariah berkata, kementeriannya kini menyasarkan golongan kanak-kanak normal yang mengikuti alam persekolahan, untuk menguasai asas membaca, menulis dan mengira atau 3M, ketika melangkah ke Tahun Empat sekolah rendah sebelum penghujung 2012.

Katanya, KPM telah mengenalpasti beberapa kaedah proses pembelajaran berkesan, yang antaranya ialah kemudahan pembelajaran yang mencukupi dan perlaksanaan pelbagai program meningkatkan penguasaan 3M, seperti kelas Intervensi Awal Membaca dan Menulis, Program Pemulihan Kemahiran Membaca dan Menulis serta Mengira (PROTIM).

Program Membaca, Menulis dan Mengira (PROBIM) dan Program Pemulihan Khas juga termasuk dalam kerangka perlaksanaan.

Beliau memberitahu, KPM turut melaksanakan penambahbaikan kurikulum pra-sekolah, termasuk menambah waktu interaksi dalam Bahasa Inggeris selain penambah bilangan pra-sekolah sedia menerusi pembinaan 4,194 kelas baru menjelang tahun 2012.

Katanya, KPM turut bertanggungjawab melaksanakan empat komponen kecil Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), iatu meningkatkan kadar penyertaan murid pra-sekolah sebanyak 20 peratus, menjelang akhir tahun 2012.

Menurutnya ini bertujuan untuk memastikan semua murid normal boleh menguasai asas kemahiran literasi dan numerasi selepas tiga tahun mengikuti pendidikan rendah, mengwujudkan sekolah berperistasi tinggi dan memperkenalkan New Deal kepada pemimpin sekolah dengan hasrat meningkatkan profesionalisme pengurusan dan kecemerlangan sekolah.

Beliau berkata, KPM juga menimbang untuk mengwujudkan kemudahan prasekolah berpusat, kemudahan asrama dan pengangkutan kepada murid di luar bandar khususnya di kawasan pedalaman negeri ini.

Tiada ulasan: