Khamis, 29 April 2010

Ramakrishnan fail usul kes polis tembak mati pelajar

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Senator Dr. S. Ramakrishnan daripada DAP memfailkan satu usul di Dewan Negara untuk membahaskan kes polis menembak mati seorang pelajar, Aminulrasyid Amzah, 15, pagi Isnin lepas.

Bercakap pada satu sidang media di lobi Parlimen hari ini, Ramakrishnan berkata, perkara itu mesti dibahaskan supaya satu siasatan dijalankan secara profesional dan telus terhadap pihak yang telibat.

Usul di bawah 17 (1) itu dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Nika Ujang.

"Semalam saya telah hantar satu usul kepada Tan Sri Abu Zahar dan berharap ianya dapat dibahaskan pada Isnin depan.

"Kes ini bukan kes yang pertama berlaku di negara ini. Disember lalu ada wanita yang ditembak polis sebelum disahkan dia penjenayah," katanya.

Beliau turut menuntut inkues bebas ditubuhkan setiap kali berlakunya kes polis polis menembak orang awam.

"Apabila berlakunya kes polis menembak orang awam yang menyebabkan kematian, satu inkues bebas mesti ditubuhkan bagi membolehkan satu siasatan telus diadakan.

"Tugas polis adalah menjaga keselamatan awam," katanya.

Sementara itu, Senator Zamri Yusuf dari PKR berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) harus mengambil tanggungjawab memantau operasi polis dalam usaha mencegah jenayah.

Ini kerana ujarnya, pihak polis seakan-akan melakukan tugas dalam keadaan tertekan hanya kerana ingin memenuhi tuntutan bidang keberhasilan utama nasional (NKRA).

"Yang kita bimbangkan kes begini sekali lagi menjadi kes terpencil seperti mana kes yang berlaku sebelum ini yang akhirnya akan ditutup begitu sahaja.

"Kita nak kes ini dibincangkan. KDN perlu ambil tanggungjawab kerana kita lihat polis agak tertekan bila disebut NKRA yang salah satunya untuk menangani jenayah di Malaysia.

"Ini itu hanyalah satu slogan yang dibentangkan oleh kementerian tetapi tidak ada satu kaedah terperinci bagaiamana cara untuk menangani jenayah. Bila polis dalam keadaan tertekan inilah akibatnya.

“KDN harus fikir cara terbaik untuk menangani jenayah bukan membiarkan polis menjalankan tugas dalam keadaa tertekan," katanya yang juga Ketua PKR Cabang Padang Terap.

Dalam pada itu, Ramakrishnan memberitahu, empat soalan Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim kepada Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi ditolak Dewan Negara hari ini atas alasan menyentuh rahsia ketenteraan.

Antara soalan berkenaan ialah mengenai status pembangunan peluru berpandu Taming Sri XK98 dibangun oleh STRIDE dari segi perbelanjaan dan kerjasama teknologi dengan negara mana serta latar belakang, keberkesanan pembangunan dan status peluru berpandu ini.

Tunku Abdul Aziz dalam kenyataannya yang diedarkan kepada media bagaimanapun menganggap penolakan soalan itu sebagai tidak munasabah.

"Dalam hal ini, saya rasa tidak munasabah Kementerian Pertahanan menolak soalan tersebut memandangkan jelas isu menyentuh rahsia ketenteraan adalah tidak wujud.

"Saya memahami pembelian kelengkapan tentera adalah sensitif dan perlu menjaga rahsia ketenteraan seperti unsur-unsur spesifikasi dan atur gerak.

"Tetapi soalan saya bukan bertujuan untuk mengetahui rahsia ketenteraan seperti yang disebut, tetapi untuk mendapat maklumat latar belakang pembelian dan pembangunan kelengkapan tentera yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertahanan sendiri," katanya.

Tiada ulasan: