Oleh Norasikin Samsi
KUALA LUMPUR- Tindakan Kementerian Pertahanan menolak empat soalan lisan daripada Ahli Dewan Negara Pakatan Rakyat, Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim semasa sidang Dewan Negara pagi tadi dinaggap tidak munasabah.
Menurut Tunku Aziz keputusan Speaker menolak soalan beliau kononnya dibuat berdasarkan faktor empat daripada tujuh soalan yang dikemukakan menyentuh mengenai rahsia ketenteraan.
"Dalam hal ini, saya rasa adalah tidak munasabah untuk Kementerian Pertahanan menolak soalan-soalan tersebut memandangkan jelas isu menyentuh rahsia ketenteraan tidak wujud.
"Saya memahami pembelian kelengkapan tentera adalah sensitif dan perlu menjaga rahsia ketenteraan seperti unsur-unsur spesifikasi dan atur gerak.
"Tetapi soalan yang ditanya itu bukan bertujuan untuk mendapat rahsia ketenteraan seperti yang disebut, tetapi untuk mendapat maklumat latar belakang pembelian dan pembangunan kelengkapan tentera yang telah diumumkan oleh Kementerian Pertahanan sendiri," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Berikut dinyatakan kesemua soalan yang ditolak itu:
1. Minta Menteri Pertahanan menyatakan latar belakang kerajaan membeli sistem Vera-E sepertimana yang dinyatakan dalam laporan tahunan kementah 2007 pada muka surat 72. Adakah ia mempunyai kaitan dengan projek Padas dan ancaman dari pesawat 'Stealth' luar negeri?
2. Minta Menteri Pertahanan menyatakan latar belakang pembelian 'Cruise Missile' yang akan dilancarkan oleh kerajaan sepertimana dinyatakan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Zainal Abidin pada 4 Julai 2007 di Dewan Rakyat?
3. Minta Menteri Pertahanan menyatakan status pembangunan peluru berpandu Taming Sari XK98 dibangun oleh Stride dari segi pembelanjaan dan kerjasama teknologi dengan negara mana serta latar belakang, keberkesanan pembangunan dan status peluru berpandu ini?
4. Minta Menteri Pertahanan menyatakan senarai kelengkapan dalam pecahan jenis, bilangan dan peruntukan yang akan dilancarkan dalam masa lima tahun depan oleh TDM, TLDM, TUDM, dan Markas ATM/AB?
Tunku Aziz turut menegaskan jika Kementerian Pertahanan sendiri yang membuat pengumuman pembelian kelengkapan tersebut, maka ini tidaklah dikira sebagai rahsia lagi.
"Antaranya seperti pembelian Vera-E Radar Pasif dari Omnipol, Republik Czech telah beberapa kali dicatatkan dalam laporan tahunan Kementerian Pertahanan 2007 dan 2008. Dan laporan tersebut telah menyatakan projek timbal balas Vera-E sedang dipantau oleh kementerian," katanya.
Begitu juga menurutnya mengenai pembelian Cruise Missile yang diumumkan bekas Timbalan Menteri Pertahanan di Dewan Rakyat serta Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (Strike) telah menunjukkan peluru berpandu Taming Sari XK98 kepada ke seluruh negara pada 31 Ogos 2007 bersempena Perarakan Merdeka 2007 di Dataran Merdeka.
Tambah Abdul Aziz, pembelian kelengkapan ketenteraan menggunakan peruntukan awam dan perlu mendapat persetujuan dari Parlimen.
"Oleh itu, adalah munasabah dan berpatutan untuk Ahli Parlimen membincang dan mengetahui latar belakang mengenainya," ujarnya.
Ahli Parlimen dan rakyat juga katanya mempunyai hak untuk mengetahui senarai pembelian kelengkapan ketenteraan yang akan dilancar pada lima tahun akan datang iaitu dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh.
"Memandangkan pembelian kelengkapan ketenteraan adalah sangat mahal dan mudah berlaku penyelewengan, maka adalah perlu dipantau oleh Parlimen dan rakyat supaya selaras dengan prinsip-prinsip 'good governance' dan meningkatkan lagi ketelusan kerajaan," katanya lagi.
Beliau juga percaya rakyat tidak membantah pembelian kelengkapan ketenteraan penting demi untuk memastikan keselamatan negara, namun adalah mustahak bagi rakyat memastikan peruntukan tersebut kerana wang mereka digunakan bagi tujuan sedemikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan