Rabu, 16 Disember 2020

Ungku Aziz gigih pejuang isu kemiskinan Melayu - Syed Husin

KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia petang tadi, disifatkan sebagai satu kehilangan besar kepada negara.

Pengerusi Yayasan Usman Awang, Dr Syed Husin Ali, menyifatkan Allahyarham sebagai seorang tokoh paling disegani dan gigih memperjuangkan isu kemiskinan rakyat dan nasib orang Melayu.

"Sejak saya mengenali arwah di Universiti Malaya, Singapura pada 1956, ketika itu beliau sebagai pensyarah, beliau amat berminat dalam soal masyarakat kampung dan kemiskinan yang mereka hadapi.

"Arwah amat gigih memperjuangkan nasib orang miskin dan membuat kajian mengenainya serta terbabit rapat dengan pekebun kecil di seluruh Semenanjung dan menjadi penasihat terutama di Johor," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini, malam ini.

Katanya, beliau mula rapat dengan Ungku Aziz ketika belajar dan bersamanya membuat kajian mengenai kemiskinan dalam kalangan penduduk kampung.

Selain itu katanya, Ungku Aziz seorang yang terkenal memperjuangkan bahasa Melayu sehingga dilantik sebagai Pengerusi Dewan Bahasa Dan Pustaka yang pertama.

"Arwah gigih memperjuangkan soal bahasa sejak berada di Universiti Malaya dan pernah menguruskan kongres bahasa di Singapura dan Johor pada masa itu.

"Sejak sebelum beliau terkenal, arwah memperjuangkan soal bahasa lebih awal daripada kebanyakan orang lain," katanya.

Jelas Syed Husin, Ungku Aziz seorang yang prihatin dengan isu politik negara dan mengikuti rapat perkembangan politik negara.

"Politik adalah perkara yang berkait rapat dengan soal kemiskinan rakyat dan juga bahasa, justeru beliau amat berminat dalam politik tetapi tidak terbabit dengan mana-mana parti politik," katanya.

Tiada ulasan: