Sabtu, 12 Disember 2020

TUDM terbangkan 3 bayi hadapi masalah jantung

Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ibu dan bayi dibawa masuk ke pesawat TUDM untuk diterbangkan ke Kuala Lumpur hari ini. Foto Ihsan TUDM

Kuala Lumpur: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melaksanakan penerbangan ihsan membawa tiga bayi lelaki dari Kota Kinabalu, Sabah ke Pangkalan Udara Subang bagi mendapatkan pembedahan segera dan rawatan selanjutnya di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan berkata, ketiga-tiga bayi berkenaan sebelum ini menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah.

Menurutnya, bayi berkenaan, Alvanneo Franruvis berusia 17 hari mengalami masalah saluran darah pada jantung, manakala Oddey Chin Kian Sin berusia 18 hari dan bayi Mohamad Afif Hakim Afifi Wahyudi berusia 21 hari masing-masing mengalami masalah jantung berlubang.

"Penerbangan ihsan ini menggunakan pesawat pengangkut A400M dari No 22 Skuadron, Pangkalan Udara Subang dan diterbangkan oleh dua set juruterbang iaitu set pertama Mejar In'Amul Hasan Shuhaimy Basha TUDM selaku juruterbang dan Kapten Mohd Amir Shahrin TUDM sebagai pembantu juruterbang,"katanya.

Menurutnya, set kedua juruterbang pula adalah Mejar Khairul Ikhmal Ishak selaku juruterbang dan Kapten Mohd Mazhan Puteh @ Abdullah sebagai pembantu juruterbang.

"Mengiringi bayi dalam penerbangan ini adalah pegawai perubatan, Dr Tan Wei Wern; paramedik, Dr Dominica Hiew Hui Wen dan ibu kepada bayi terbabit.

"Pesawat itu berlepas dari Kota Kinabalu pada 1.09 tengah hari dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada 6.10 petang seterusnya dibawa ke IJN oleh pasukan petugas yang sedia menunggu ketibaan pesakit," katanya.

Menurutnya, warga TUDM mendoakan supaya semua bayi berkenaan menjalani rawatan dengan segera serta diberikan kesembuhan dan kesihatan yang baik.

"Semoga usaha yang dilaksanakan TUDM dengan kerjasama bersama pasukan perubatan melancarkan proses rawatan perubatan serta membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga bayi berkenaan.

"TUDM sentiasa komited di dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan di dalam menjaga kedaulatan negara tercinta dan di dalam masa yang sama turut menunaikan tanggungjawab kemanusiaan khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan,"katanya.

Tiada ulasan: