Isnin, 21 Disember 2020

TH cadang beli menara 20 tingkat

Oleh Luqman Arif Abdul Karim 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Pengarah Eksekutif Pelaburan Lembaga Tabung Haji Hizamuddin Jamalluddin (dua, kiri) serta Pengarah Urusan Damansara Assets Sdn Bhd, Hazman Hilmi Sallahuddin (dua, kanan) pada Majlis Menandatangani Tawaran Pembelian Menara VSQ 1 antara Lembaga Tabung Haji dan Bukit Damansara Development Sdn Bhd hari ini. Turut serta, Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Md Nor Yusof (kanan).  - NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) berhasrat membeli sebuah menara pejabat 20 tingkat bagi memacu dan mengukuhkan pulangan menerusi sektor pelaburan hartanah.

Rancangan membeli bangunan Menara VSQ 1 di Jalan Utara, di sini itu ialah perolehan kedua selepas penstrukturan semula kendalian Urusharta Jamaah Sdn Bhd Berhad (UJSB) selesai dilaksanakan pada akhir 2018 lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata pelaburan TH dalam menara berkenaan menunjukkan komitmen berterusan untuk memberi nilai tambah dan pulangan baik kepada pendeposit, selain membantu merancakkan sektor hartanah negara.

"Saya percaya pelaburan ini akan memberi pulangan baik, memandangkan kedudukan hartanah yang strategik dan sudah disewa sepenuhnya.

"Difahamkan QSR Brands ialah penyewa utama di bangunan ini dan mereka terkenal dengan rangkaian restoran makanan segera KFC dan Pizza Hut di Malaysia, selain pengeluar utama di Malaysia yang menumpukan kepada aspek halal serta patuh syariah dari awal hingga akhir produk.

"Saya percaya pasukan pelaburan di TH yang merangkumi profesional mahir dalam bidang pelaburan dan hartanah mampu mengenal pasti segmen hartanah yang boleh beri pulangan baik.

"Perlu saya tekankan, tujuan utama TH buat pelaburan dalam sektor penting negara ialah untuk membantu mengembangkan simpanan pendeposit yang berhasrat menunaikan rukun Islam kelima," katanya, hari ini.

Majlis menandatangani perjanjian tawaran pembelian itu menyaksikan TH diwakili Pengarah Eksekutif Pelaburannya, Hizamuddin Jamalluddin, manakala Bukit Indah Damansara Development Sdn Bhd diterajui Pengarah Urusan Damansara Asset Sdn Bhd, Hazman Hilmi Sallahuddin.

Zulkifli berkata, jumlah deposit di TH setakat 30 November lalu ialah RM75.58 bilion, tertinggi dalam sejarah.

"Pencapaian ini mencerminkan keyakinan rakyat dan pendeposit terhadap TH kekal utuh, meskipun negara berdepan dengan persekitaran ekonomi yang sukar.

"Dengan termeterai perjanjian tawaran pembelian ini nanti, saya harap ia akan menjadi pemangkin ke arah lebih banyak lagi usaha yang bakal dilaksanakan demi kepentingan umat dan agama," katanya.

Sementara itu, Hizamuddin menaruh keyakinan pelaburan terbaharu TH itu dijangka memberikan pulangan antara 5.5 hingga enam peratus, berdasarkan perjanjian penghunian penuh dan sewaan jangka panjang bangunan.

Katanya, TH turut dalam perancangan untuk membuat perolehan ketiga iaitu sebuah prasarana logistik di Tanjung Pelepas, Pasir Gudang, Johor yang dijangka diumumkan sebelum penghujung tahun ini.

"Setakat ini, rangka kerja Alokasi Aset Strategik (SAA) merekodkan segmen hartanah mewakili sembilan peratus atau RM7.09 bilion daripada keseluruhan portfolio pelaburan," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI 

Tiada ulasan: