Selasa, 15 Disember 2020

Tak perlu pakai pelitup muka di tempat awam jika bersendirian dan tak sesak

MGF14072020_GELAGAT-BALIK-KERJA_12
Pemakaian pelitup muka di dalam kenderaan awam diwajibkan bermula 1 Ogos 2020- Arkib

KUALA LUMPUR – Orang ramai tidak perlu pakai pelitup muka di tempat awam seperti taman jika hanya bersendirian dan kawasan itu tidak bersesak.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, kekeliruan Prosedur Operasi Standard (SOP) itu masih berlaku apabila terdapat kes seorang individu yang dikompaun kerana berada di taman awam secara bersendirian baru-baru ini.

Jelas beliau, pemakaian pelitup muka juga tidak diperlukan sekiranya terdapat penjarakan sosial di restoran dan ketika hendak makan.

“Sebenarnya masih terdapat kekeliruan dari segi penguatkuasaan SOP baru-baru ini tular di media sosial individu berada di tempat awam seorang dan kena kompuan.

“Saya sentiasa tegas wajib pelitup muka ketika di tempat awam yang bersesak dan ramai yang persoal pengumuman bersesak itu. Ini yang kita hendak elak, tempat awam banyak dan taman awam adalah tempat awam. Kalau bersendirian tidak perlu pakai pelitup muka di tempat awam kecuali bersesak seperti pasar, dalam bas dan LRT kerana duduk berhimpit maka perlu pakai pelitup muka.

“Kalau bersendirian dan ada penjarakan sosial seperti di restoran kita akan buka dan tidak pakai pelitup masa makan dan ia tidak perlu,” katanya pada sidang media Covid-19 di sini hari ini.

Pada 11 Disember lalu, polis menafikan pihaknya mengenakan kompaun RM1,000 terhadap seorang warga emas kerana tidak memakai pelitup muka di hadapan rumahnya sendiri di Klang.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lelaki berkenaan sebenarnya berada di kawasan awam iaitu di sebuah taman permainan yang terletak tidak jauh dari kediamannya.

Dalam satu kenyataan semalam, beliau berkata, pihaknya mengeluarkan kompaun ke atas lelaki berusia 65 tahun itu kerana berada di tempat awam tanpa memakai pelitup muka kira-kira pukul 11 pagi di Taman Eng Ann, Klang. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: