Jumaat, 11 Disember 2020

Suri rumah rugi RM177,500 ditipu African Scam

fazleensafina

 

Mangsa perlu bayar cukai, insurans tuntut barangan dihantar suspek

KEPALA BATAS  – Seorang suri rumah kerugian sebanyak RM177,500 selepas wanita itu ditipu lelaki dari Poland yang dipercayai sindiket penipuan African Scam, dalam kejadian di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 40-an itu mendakwa dia mengenali lelaki itu menerusi laman sosial Facebook bulan lepas sebelum suspek memaklumkan dia telah mengirimkan hadiah serta wang tunai melalui sebuah syarikat perkhidmatan penghantaran di Kuala Lumpur.

“Beliau kemudiannya dihubungi wakil syarikat penghantaran itu dan meminta wanita tersebut membayar cukai, insurans dan caj perkhidmatan lain bagi menuntut barang-barang dihantar teman lelakinya itu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, mangsa yang percaya telah membuat 17 transaksi pemindahan wang ke lima akaun bank tempatan dalam tempoh dua hari iaitu Isnin dan Selasa lepas membabitkan jumlah keseluruhan RM177,500 sebelum dia masih dihubungi untuk menambah pembayaran.

Beliau berkata, mangsa yang curiga membuat semakan dengan syarikat penghantaran itu sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut semalam kerana percaya dia telah menjadi mangsa penipuan.

“Semua duit yang digunakan wanita itu adalah hasil simpanan semasa bekerja sebagai ejen insurans dan mangsa turut meminjam duit simpanan emak serta adiknya. Polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes itu disiasat menurut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu,” katanya. -Bernama

Tiada ulasan: