KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menitahkan Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri Johor memastikan keabsahan terkini status wanita bangsa Johor yang dikatakan telah melangsungkan pernikahan tidak berdasarkan hukum Syara’ d India.
Dalam kenyataan hari ini, baginda melahirkan rasa dukacita kerana berita mengenai perkahwinan tersebut bertebaran tanpa ditentukan kesahihannya, justeru Pihak Berkuasa Agama Islam Johor perlu mendapatkan kepastian melalui ahli keluarganya dan juga kedutaaan Malaysia di India.
“Saya percaya kita semua akan dapat memastikan kesahihan berita tersebut dalam tempoh terdekat,” titah baginda.
Sultan Ibrahim turut menasihat semua pihak supaya tidak membuat sebarang kesimpulan dan tindakan pra-matang dalam menangani berita tersebut.
Titah baginda, wanita berkenaan sedang melalui satu proses penghakiman melalui platform media sedangkan beliau tidak pun setakat ini mengisytiharkan ingin keluar dari agama Islam.
“Jika kita tergesa-gesa dalam tindakan kita menghukum beliau, maka kita akan membina tembok yang tinggi untuk beliau kembali semula ke neara kita dan menjarakkan lagi jurang antara keluarganya di Malaysia dan beliau di India,” titah baginda.
Baginda juga menitipkan nasihat kepada wanita berkenaan supaya memastikan tindakan yang dibuat mendapat restu ibu bapa dan tidak melanggar norma-norma yang dtetapkan agama Islam.
Sultan Ibrahim juga yakin Jabatan Agama Islam Johor dan Jabatan Mufti negeri itu akan memberikan semua bantuan yang perlu kepada wanita tersebut bagi mengekalkan akidahnya dalam lingkungan syariat Islam.
“Apa juga berita yang kita terima yang berkaitan hubungan silaturrahim sesama imat Islam hendaklah diteliti tanpa berprasangka buruk.
“Kita juga perlu berlapang dada dan bersangka baik. Kita juga perlu dan mengambk tindakan meneliti akan berita tersebut daripada sumber yang pasti dan tepat,” titah baginda.
Illi Najwa Anuar Hussin Saddique dilaporkan berkahwin dengan kapten hoki India, Manpreet Singh dan majlis resepsi yang berlangsung di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab minggu lalu mencetuskan pelbagai persoalan kerana dikatakan melibatkan amalan yang dikatakan menyalahi agama. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan