GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mengadakan siasatan awam berhubung kegagalan perkhidmatan feri sedia ada.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, perkara itu perlu dilakukan sebelum SPPP menggantikan perkhidmatan feri dengan bot laju atau katamaran bermula tahun depan.
Menurut beliau, peruntukan sebanyak RM64 juta bagi membeli bot laju atau katamaran dan menaik taraf terminal adalah pembaziran memandangkan jeti dan terminal sedia ada boleh ditambah baik dengan kos lebih rendah.
“Siasatan awam itu kelak dapat mengenal pasti masalah yang dihadapi perkhidmatan feri sedia ada supaya bot laju atau katamaran yang mahu diperkenalkan kelak tidak mengalami nasib serupa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohideen turut menggesa informasi berkenaan masa menunggu perkhidmatan feri disediakan di jeti sebagai panduan pengguna.
Menurut beliau, maklumat itu penting supaya pengguna sama ada pejalan kaki atau penunggang motosikal dapat merancang perjalanan mereka menggunakan laluan alternatif sekiranya tidak dapat menunggu feri.
“Kecekapan perkhidmatan feri yang cemerlang seperti ini dapat menarik lebih ramai orang menggunakannya sekali gus trend penurunan pengguna dapat dielakkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan