Rabu, 9 Disember 2020

Satu lagi laporan pengamal perubatan Islam cabul pesakit

Oleh NOOR HAYATI MAMAT
MOHD. ADLI MAT DAUD

HULU TERENGGANU: Polis menerima satu lagi laporan salah laku membabitkan pengamal perubatan Islam bergelar ustaz yang disyaki mencabul pesakit wanitanya semasa menjalankan rawatan. 

Ketua Polis Daerah, Deputi Superitenden Mohd. Adli Mat Daud berkata, laporan itu dibuat seorang jurujual berusia 25 tahun di Balai Polis Kuala Berang di sini kira-kira pukul 1.15 petang tadi sekali gus menjadikan dua laporan diterima setakat ini. 

Katanya, kejadian berlaku tiga tahun lalu ketika mangsa bersama adiknya yang berusia 20 tahun datang mendapatkan rawatan dengan suspek pada 9 September 2018, kira-kira pukul 2 petang. 

“Suspek mengatakan mangsa dan adiknya terkena buatan orang dan semasa rawatan, dia bertindak  memeluk lalu memegang  payudara serta alat sulit mangsa.

“Perkara sama turut dilakukan suspek terhadap adik mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Mohd. Adli, curiga dengan tindakan ustaz berkenaan, mangsa dan adiknya dengan ditemani ibu mereka  pergi ke pusat rawatan Islam cawangan Kampung Butut di sini lima hari kemudian bagi mendapatkan kepastian adakah suspek bekerja di situ. 

Katanya, warga pusat itu, bagaimanapun mengesahkan suspek yang berusia 52 tahun merupakan salah seorang perawat di cawangan tersebut. 

Menurutnya, berkemungkinan kerana rasa takut suspek tidak membuat sebarang laporan pada masa tersebut dan tampil mendedahkan perkara itu selepas terbaca laporan media membabitkan suspek semalam. 

Suspek kini direman hingga esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, pengamal perubatan Islam itu dicekup polis pada Sabtu lalu susulan laporan dibuat pesakitnya yang berusia 30 tahun di Balai Polis Kuala Berang. -UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: