Oleh Noor Atiqah Sulaiman
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk air minuman berbungkus (AMB) jenama Meadows keluaran Malaysia dari pasaran Singapura dan sedang mendapat maklumat lanjut daripada Agensi Makanan Singapura (SFA).
Pengarah Keselamatan dan Kualiti Makanan, Mohd Salim Dulatti, berkata SFA mengarahkan
produk AMB berkenaan ditarik balik kerana dikesan tercemar dengan bakteria Pseudomonas aeruginosa.
Katanya, bakteria Pseudomonas aeruginosa adalah sejenis bakteria yang terdapat secara meluas di persekitaran dan boleh ditemui di dalam air, najis, sisa kumbahan dan tanah.
"Bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan penyakit kepada manusia khususnya kepada golongan yang mempunyai sistem ketahanan badan yang rendah.
"Namun, produk makanan yang dicemari bakteria ini jarang memberikan kesan kesihatan kepada individu yang sihat," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Salim berkata produk AMB yang ditarik balik itu berisipadu 1.5L dengan tarikh luput 9/11/2022.
"Bagaimanapun, semakan awal mendapati kilang yang menghasilkan produk ini mempunyai Pensijilan HACCP (Hazard Analysis Critical Control Point) dan Lesen Air Minuman Berbungkus dari KKM.
"Selain itu, keluaran kumpulan (batch) dari jenama yang sama tidak dipasarkan di Malaysia," katanya.
Dalam pada itu, Mohd Salim menegaskan produk AMB untuk jualan perlu mematuhi Peraturan 360B, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 di bawah Akta Makanan 1983.
"Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 dan menetapkan bahawa mana-mana orang yang menyediakan atau menjual apa-apa makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan.
"Apabila disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Mohd Salim berkata, KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.
Tanbahnya, sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan